IKRAM menghormati keluhuran Perlembagaan, mendukung prinsip-prinsip keadilan, memperjuangkan kesaksamaan dalam proses perbicaraan serta hak rakyat berhimpun mengikut peruntukan Perlembagaan.
IKRAM berpendapat bahawa kes perbicaraan DSAI adalah sebuah kes berprofil tinggi kerana melibatkan individu penting dalam percaturan politik tanah air. Maka, sebarang kemungkinan tentang wujudnya tekanan dan gangguan berunsur politik tidak dapat dinafikan dan apatah lagi ditambah dengan isu integriti terhadap badan kehakiman Malaysia yang sering dipersoalkan. Justeru, tidak hairanlah sekiranya rakyat mempunyai persepsi negatif dalam kes ini.
Lantaran itu, IKRAM menyeru pihak berkewajipan supaya memastikan agar:
- semua pihak yang terlibat dalam kes ini diberi hak untuk mendapat keadilan sepenuhnya dalam proses perbicaraan dan penghakiman;
- tahap pembuktian beyond reasonable doubt “melampaui keraguan yang munasabah” mestilah dilaksanakan;
- konsep pengasingan kuasa antara badan kehakiman, badan legaslatif dan badan eksekutif wajib berlaku dengan jelas.
IKRAM juga menyeru para penganjur dan polis untuk bekerjasama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semasa perhimpunan terjamin.
Ahli-ahli IKRAM bebas untuk melibatkan diri dalam perhimpunan berdasarkan penglibatan politik mereka.
Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)