“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Baqarah: 218)
Hijrah mencakupi makna yang luas meliputi segenap aspek kehidupan bagi mencapai maksud perubahan dari satu tahap ke tahap yang lebih baik.
Meskipun secara umumnya hijrah dilihat sebagai satu perpindahan dari satu kawasan ke kawasan yang lain, hakikat hijrah yang sebenar adalah hijrah dengan hati kepada Allah SWT dan Rasul-Nya melalui pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan mengikuti syariat yang disampaikan baginda Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.
Hijrahkanlah diri kita kepada Allah SWT dengan bertaubat kepada-Nya, muhasabah dan memperbaiki diri seterusnya meningkatkan amal soleh serta menyebarkan kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Hijrahkanlah diri kita dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan terutamanya di luar negara seperti di Palestin, Syria, Iraq dan lain-lain serta menyantuni saudara kita yang baru masuk Islam agar teguh keimanan mereka dalam mengharungi cabaran kehidupan.
Hijrahkanlah diri kita sebagai pemimpin keluarga, masyarakat, daerah, negeri dan negara dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT serta melaksanakan setiap amanah yang diberikan dengan jujur, ikhlas serta penuh integriti.
Hijrahkanlah diri kita dengan keazaman untuk membangunkan negara yang lebih baik, rahmah dan lebih harmoni serta mendapat keampunan Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam al-Quran sebagai “baldatun tayyibatun warabbun ghafuur”.
Dalam sirah Rasulullah SAW, hijrah baginda bersama para sahabatnya menjadi anjakan yang signifikan dalam membawa perubahan masyarakat sehingga tertegaknya negara Madinah dan perlembagaannya yang membawa keadilan dan kesejahteraan dalam kehidupan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama.
Oleh itu, hijrahkanlah diri kita ke arah perubahan dalam negara ini agar wujud pemerintahan yang terdiri daripada pemimpin yang adil, yang menjunjung perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, meletakkan maqasid syariah sebagai asas kepada pemerintahan, memastikan tadbir urus yang baik serta menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama.
“Selamat Menyambut Maal Hijrah 1438H”
Semoga tahun baru hijrah ini membawa lembaran baru bagi memacu perubahan masyarakat dan negara kita, insya-Allah…!
Dr Mohd Parid Sheikh Hj Ahmad
Presiden IKRAM