Larangan hijab: IKRAM kesal keputusan Mahkamah Tinggi di India

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di wilayah Karnataka, India pada 15 Mac 2022 yang mengekalkan keputusan kerajaan di wilayah tersebut untuk melarang pelajar perempuan yang beragama Islam daripada memakai hijab ketika hadir ke sekolah.

 

IKRAM menegaskan bahawa larangan bertarikh 5 Februari 2022 tersebut adalah jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan beragama yang telah diterima sebagai hak asasi manusia serta diterima oleh Perlembagaan India.

 

Bahkan Artikel 25 Perlembagaan India menyatakan bahawa seluruh rakyat di India mempunyai hak yang sama untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing di negara tersebut, dan ini sudah tentu termasuk memakai pakaian yang menutup aurat bagi seorang Muslim.

 

IKRAM berasa amat terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Karnataka yang telah menyokong larangan tersebut, serta menganggap hijab bukan sebahagian daripada ajaran penting dalam Islam dengan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis tanpa merujuk kepada pandangan-pandangan ulama Islam yang muktabar, termasuklah dengan merujuk kepada kitab-kitab tafsir, hadis, mazhab fiqah dan fatwa yang terpakai.

 

Lebih mengejutkan, Mahkamah tersebut telah merujuk kepada kertas semester seorang pelajar kolej dari Centralia, Illinois, Amerika Syarikat dalam menyokong keputusannya walaupun tulisan tersebut bukanlah satu autoriti dalam undang-undang.

 

IKRAM selanjutnya mengambil maklum bahawa Artikel 25 Perlembagaan India juga memperuntukkan bahawa jaminan kebebasan beragama ini adalah tertakluk kepada ketenteraman awam, moral dan kesihatan.

 

Namun IKRAM tidak melihat bagaimana pakaian menutup aurat boleh membawa kepada gangguan terhadap ketenteraman awam, moral dan kesihatan yang mewajarkan kerajaan untuk membuat larangan tersebut memandangkan memakai hijab sama sekali tidak akan mengganggu sesiapa.

 

Sebaliknya, IKRAM bimbang bahawa keputusan Mahkamah sebegini boleh membawa kepada ketidaktenteraman awam kerana ia boleh mencetuskan ketegangan di antara pengikut-pengikut agama di India dan membawa kepada pertumpahan darah.

 

Oleh yang demikian, IKRAM dengan tegas menyeru kepada Kementerian Luar Malaysia, semua pihak yang berautoriti dan masyarakat dunia untuk memberikan tekanan kepada kerajaan India khususnya kerajaan di wilayah Karnataka agar menarik balik larangan pemakaian hijab di sekolah.

 

Usaha ini bagi membolehkan umat Islam di India dapat kekal mengamalkan agamanya dengan sebebas-bebasnya dan seterusnya rakyat pelbagai agama di sana dapat hidup bersama dengan harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

 

Prof. Dato’ Dr Hassan Basri bin Awang Mat Dahan
Pemangku Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia