Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menzahirkan rasa kesal dan kecewa apabila isu-isu berkaitan Palestin diperalatkan untuk menyerang lawan politik, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK).
Isu-isu berkaitan Palestin adalah isu kemanusiaan dan pelanggaran prinsip hak asasi yang amat serius dan kritikal, yang tidak seharusnya diperalatkan untuk meraih sokongan politik.
Apabila dipolitikkan, isu Palestin yang sepatutnya menyatukan, berpotensi pula memecah-belahkan rakyat Malaysia angkara pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Melabel, memfitnah mana-mana pihak yang turut memperjuangkan isu Palestin adalah tidak wajar dan melanggar adab serta akhlak dalam menangani perselisihan.
Isu Palestin sewajarnya diperjuangkan dengan konsisten dan objektif, bukannya bersikap melampau dengan melabel dan memfitnah serta memperalatkan isu ini demi kepentingan dan pengaruh politik.
HIKAM berpandangan bahawa bibit-bibit ekstremisme telah mula kelihatan dengan menggunakan isu-isu berkaitan Palestin, boikot dan seumpamanya.
Cukuplah insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram menjadi pengajaran kepada kita bagaimana sikap ekstrem telah diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keharmonian negara.
Apa yang penting, usaha menentang kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin perlu diteruskan dan semua pihak perlu mainkan peranan dalam memperjuangkannya sama ada kerajaan, pembangkang, NGO dan masyarakat umumnya.
Dalam apa jua perjuangan, kemenangan diraih apabila kesatuan sejagat yang kukuh berlaku.
Sebarang pertelingkahan yang memudaratkan dalam isu yang sepatutnya membawa kita bersama, akan menjadikan pihak lawan ‘tersenyum’ dan objektif perjuangan tidak kesampaian.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Shahrul Aman Mohd Saari
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Muhammad Aliemran Norasid
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)