MELAKA – Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 disambut pada Ahad dengan majlis kemuncak sambutan diadakan di Banda Hilir, Melaka.
Pada majlis yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA 22) kepada Kumpulan Karangkraf, yang diterima Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
“Anugerah itu merupakan penghargaan bagaimana wartawan, akhbar dan organisasi media tersebut boleh memberi impak kepada masyarakat,” kata Hussamuddin.
Menurutnya, ini termasuk beberapa siri program dan kempen yang diperkenalkan serta dilaksanakan seperti Rumah Ngaji, kempen World #QuranHour dan #RasuahBusters.
“Pengiktirafan itu juga menunjukkan bahawa apa yang diusahakan selama ini bukan setakat menyampaikan berita, namun dapat menukarkan budaya dan juga mengembalikan integriti yang telah hilang kepada masyarakat.”
Tambahnya lagi, di mana nilai moral dan karakter bangsa yang telah runtuh sebelum ini dapat dipulihkan melalui usaha-usaha yang telah dibuat oleh wartawan.
“Syukur Alhamdulillah, Karangkraf diiktiraf pada hari ini dan di Karangkraf kita berpadu tenaga,” katanya sambil menambah bahawa kejayaan sedemikian juga tidak akan dicapai tanpa sokongan media-media lain untuk memulakan kempen-kempen tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Sambutan HAWANA perlu dijadikan agenda nasional sebagai mengiktiraf peranan profesion wartawan dan pengamal media di negara ini.
HAWANA 2022 yang disambut di Melaka itu turut mengetengahkan Deklarasi Melaka 2022 yang mengandungi pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka dalam melaksanakan tugasan serta peranan bersama-sama dalam membangun negara.
Wujudkan Persatuan Wartawan Malaysia
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpendapat pentingnya penubuhan Persatuan Wartawan Malaysia untuk menaungi wartawan di setiap peringkat termasuk eksekutif.
“Biarpun terdapat persatuan seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), namun terdapat keperluan untuk mewujudkan persatuan itu bagi menjaga kepentingan wartawan.”
Beliau menyatakan bahawa sudah sampai masanya ditubuhkan persatuan wartawan.
“Memang saya tahu kita ada Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) tetapi tentulah NUJ memainkan peranannya tersendiri.”
Beliau berkata, salah satu daripada apa yang telah dilakukan NUJ untuk memastikan kebajikan para wartawan terbabit dalam perbincangan perjanjian kolektif dan sebagainya.
“Kita tidak menafikan peranan itu tetapi lebih daripada itu, saya fikir sebagai para wartawan kita perlu bersatu dalam satu gerakan,” jelasnya pada Forum Media Nasional Mengintai Landskap Masa Depan Media sempena HAWANA 2022.
Beliau juga percaya bahawa Persatuan Wartawan Malaysia ini harus berdikari, bebas digerakkan karyawan atau wartawan sendiri untuk memastikan bahawa suara para wartawan itu lantang.
Kredit foto: Menteri Komunikasi dan Multimedia