Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada Wanita IKRAM Sepang, Wanita IKRAM Kajang serta AJK Suri Rumah Rahmah sebuah agensi di bawah Wanita IKRAM Pusat, turut menghadiri program ini.
“Program yang diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran menulis terutamanya dalam penulisan artikel dan berita,” kata pengarah program, Puan Roselinee Mohammad Radzi.
Beliau berkata, program ini juga menggalakkan budaya perkongsian maklumat dalam menyampaikan mesej yang betul dan jelas kepada masyarakat.
“Islam menggalakkan umatnya menulis. Ini adalah berdasarkan 17 ayat al-Quran dan beberapa hadis yang menyentuh tentang menulis,” jelas Pegawai Media Ibu Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Puan Atriza Umar, yang bertindak sebagai pemudah cara bengkel sehari itu.
Beliau menekankan bahawa penulisan adalah sebagai salah satu wadah untuk menyebarkan dakwah yang bersifat rahmah kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Sebelum menulis kita hendaklah mengikhlaskan niat supaya penulisan tersebut dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.”
Atriza turut berkongsi medium dan cara-cara bagaimana untuk menerbitkan penulisan yang telah dihasilkan.
“Program ini bukan sahaja memberi ilmu baru kepada saya, namun penceramah berjaya mencetuskan minat yang tinggi untuk menghasilkan penulisan berita dan artikel agar menjadi medium dakwah yang bermanfaat,” ujar salah seorang peserta yang ditemui.
Menurut Puan Marihah, program sebegini diharapkan dapat memberi impak yang besar kepada para peserta amnya dan kepada Wanita IKRAM khasnya untuk terus menulis dan mengetengahkan bakat penulisan dengan memanfaatkan setiap ruang yang ada.
“Saya berharap bengkel seumpama ini dapat diperluaskan lagi kepada peringkat serta kumpulan sasaran yang lain dalam IKRAM,” kata Puan Putri yang gemar menghasilkan penulisan cerpen.
Sesi keempat antara sesi yang paling mengujakan para peserta bengkel kerana para peserta diminta untuk menyiapkan satu berita ringkas dalam masa 30 minit sahaja.
“Dapat dilihat kesungguhan setiap peserta menumpukan perhatian serta memerah otak bagi menyiapkan berita dalam masa yang ditetapkan,” kata Atriza lagi.
Seterusnya, para peserta membacakan hasil penulisan berita yang dibuat bersama peserta-peserta yang lain pada sesi kelima.
“Bengkel ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran kami dalam penulisan artikel dan berita, malahan kami juga didedahkan dengan peluang sedia ada bagi menempatkan karya kami,” ujar Nuratiqah.
Menurut Roslinee lagi, amat melucukan apabila kebanyakan peserta yang agak malu-malu mahu membacakan hasil penulisan masing-masing pada awalnya, akhirnya mendapat tepukan semangat daripada rakan peserta yang lain seusai mereka membacakan hasil penulisan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, para peserta berazam untuk menghasilkan penulisan yang bermanfaat dan terus berkarya demi menyebarkan dakwah kepada semua lapisan masyarakat untuk mencapai “Malaysia Negara Rahmah” dan konsep Rahmatan Lil Alamin.
“Ternyata para peserta hari ini sangat berbakat dan mampu menghasilkan penulisan yang baik jika terus digarap bakat dan kemahiran yang ada,” ujar Puan Atriza lagi.