Harga Barang Naik Mendadak: Kerajaan Digesa Bertindak

Harga Barang Naik Mendadak: Kerajaan Digesa Bertindak | IKRAM

Kenaikan harga komoditi bukanlah masalah baru yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia setiap tahun.

Isu harga barang keperluan yang naik mendadak seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran serta bahan makanan lainnya, meresahkan dan membimbangkan rakyat, apatah lagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Keluhan daripada pemborong dan peniaga yang bergelut untuk menetapkan harga jualan kepada pengguna sentiasa kedengaran, bukan sahaja ketika ke kedai atau pasar-pasar, tetapi di media sosial juga rintihan itu dapat dibaca.

Jangan terus meremehkan rakyat, prihatinlah apa yang terpaksa didepani rakyat. Sebagaimana baru-baru ini, ada yang menyarankan rakyatnya untuk membeli ikan air tawar jika harga ikan laut meningkat.

Tidakkah mereka sedari ikan air tawar juga tidaklah murah?

Barangkali mereka yang hidupnya selesa dengan segala keperluan tersedia dan segala makanan terhidang apabila mengidamkannya tidak merasakan keperitan yang cukup hebat sebegini.

Namun, golongan sebegini diseru agar menyelami dan empati terhadap apa yang dirasai oleh golongan marhaen ini, tanpa perlu menunggu pilihan raya umum atau waktu tertentu menzahirkan simpati itu.

Tentu dengan adanya kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti serta berwibawa, juga memiliki kebolehan juga kemahiran tadbir urus yang terbaik mampu menangani ‘tragedi’ berat yang ditanggung rakyat ini.

Perbelanjaan meningkat

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Muhammad Fadli Sabri berpandangan, perbelanjaan setiap isi rumah di Malaysia meningkat sehingga 30 peratus pada tahun ini.

“Pihak keluarga perlu menambah perbelanjaan bulanan sehingga RM600 jika anggaran perbelanjaan sebelum ini RM2,000 sebulan.”

Jelasnya lagi, pendapatan rakyat di negara ini sekadar ‘cukup makan’ untuk menampung keperluan bulanan berdasarkan purata gaji yang diterima keluarga.

Dalam pada itu, harga barangan makanan kering seperti keropok, sardin dan milo akan meningkat antara lapan hingga 10 peratus, sebagaimana menurut Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin pada awal tahun ini.

“Kebanyakan pengeluar telah memberitahu bahawa harga barangan akan meningkat selepas kenaikan harga bahan mentah dan kos logistik.”

Sudah pasti dengan kenaikan harga komoditi ini, ia akan memberi impak yang besar kepada kos sara hidup rakyat.

Maka, jika kekayaan negara diagihkan saksama dan tidak berlegar hanya dalam kalangan sekumpulan kecil masyarakat agar tidak wujud jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin, semua ini tentunya tidak akan berlaku hingga menjadi krisis yang membimbangkan.

Mana pakej rangsangan kerajaan?

Negara telah pun terpaksa berhadapan dengan realiti ekonomi yang tidak menentu akibat Covid-19.

Pandemik yang melanda menampakkan keperitan hidup semasa rakyat yang mendesak mereka untuk melipatgandakan usaha mencari jalan penyelesaian bagi menyara diri dan keluarga serta mengharapkan bantuan dan insentif daripada kerajaan.

Sebagaimana kata pakar keselamatan makanan di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr M Nasir Shamsudin pada tahun 2020 lalu, negara mungkin menghadapi cabaran dari segi logistik dan tekanan import makanan.

Berikutan itu, Malaysia mungkin akan menghadapi gangguan dalam rantaian bekalan makanan jika pakej rangsangan tidak dilaksanakan dengan cekap.

Tidak mustahil negara ini juga mungkin menghadapi risiko krisis makanan jika langkah tidak diambil dengan cepat untuk melindungi kesan pandemik ke atas rantaian bekalan makanan yang paling mudah terjejas dan menyimpan bekalan makanan mencukupi.

Menurutnya, ia bukan sekadar menjamin, tetapi menstabilkan bekalan makanan berkualiti dan selamat pada harga berpatutan melalui peningkatan pengeluaran serta simpanan makanan.

Jika pembangunan negara berlangsung tanpa menyebabkan apa-apa kerosakan kepada persekitaran dan alam sepenuhnya tanpa pembaziran, segalanya dapat disalurkan dengan sebaiknya kepada rakyat tanpa berlaku ketirisan di sana sini.

Inisiatif yang wajar dilaksanakan

Justeru, untuk menjayakan pakej rangsangan jaminan makanan, Dr M Nasir mencadangkan beberapa inisiatif berikut:

1. Sistem amaran awal yang berkesan bagi mengurangkan risiko dalam pengeluaran makanan dan sistem pengedaran ekoran sektor ini terdedah kepada risiko dan ketidakpastian dibandingkan perindustrian. 

2. Usahawan tani yang boleh mengamalkan pengeluaran makanan secara komersial dan berteknologi tinggi,

3. Melaksanakan dasar guna tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk pengeluaran makanan.

4. Melaksanakan program khas yang akan meningkatkan produktiviti dengan tujuan mengurangkan kos dan meningkatkan serta menstabilkan pengeluaran dan pendapatan golongan miskin. 

5. Memperkasakan peranan koperasi dalam meningkatkan pendapatan petani.

6. Sektor pengeluaran makanan perlu membangunkan dan menggunakan pelbagai teknologi dan amalan ladang berkonsepkan pertanian pintar.

7. Negara yang mencapai sekuriti makanan mapan umumnya mempunyai rekod sokongan kuat kepada sektor pertanian, pertimbangan teliti terhadap insentif ekonomi untuk pengeluaran pertanian, pelaburan dalam penyelidikan, pengembangan dan latihan.

8. Hasil sebenar penyelidikan adalah nilai dan kekayaan dijana pengkomersialan. Melalui itu, hasil penyelidikan perlu dipakej merangkumi inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan.

“Apa yang penting, kecekapan penghantaran pakej rangsangan kepada pihak berkepentingan agromakanan seperti petani, pemproses dan pengedar perlu dipastikan, supaya ia boleh dilaksanakan dengan cekap dan cepat untuk mengelakkan kekurangan bekalan makanan.”

Segala masalah ini perlu ditangani segera. Apatah lagi jika pemimpin negara ini peka dengan kebajikan rakyatnya seperti keperluan asas kehidupan yang mencukupi, rumah kediaman, kemudahan kesihatan, pengangkutan dan pendidikan yang sewajarnya, ia mampu ditangani dengan realistik lagi bijak.

Perhatian serius!

Pada masa sama, kerajaan Keluarga Malaysia ini seharusnya memberi perhatian serius dan menentukan mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah ini sebelum ia menjadi krisis yang lebih teruk dan buruk kepada rakyat serta negara.

Kerajaan juga perlu bijak mengkaji mekanisme kawalan dan tindakan bagi menangani isu ini dengan strategik lagi rasional, selain mengambil langkah-langkah intervensi yang dapat menjadi solusi kepada isu kenaikan harga barang.

Tidak terkecuali, pihak berkuasa wajib terus memantau harga makanan dan barangan.

Kerajaan perlu sentiasa mengukuhkan penyeliaan pasaran, memastikan penghantaran input pertanian termasuk makanan ternakan yang berkesan dan memastikan kelancaran operasi logistik rantaian bekalan pertanian.

Selain itu, ia perlu memastikan aliran perdagangan yang lancar serta memanfaatkan pasaran antarabangsa sepenuhnya sebagai alat penting untuk mendapatkan bekalan makanan.

Pemantauan yang menyeluruh dan tindakan penguatkuasaan di lapangan perlu ditingkatkan dari masa ke masa serta mengenakan tindakan tegas bagi yang sewenangnya melanggar had segala yang ditetapkan.

Apa yang penting, pihak kerajaan Keluarga Malaysia seharusnya melaksanakan sesi libat urus secara berkala dengan pemegang taruh yang dilihat amat signifikan dalam mencari solusi yang tuntas dan efektif dalam menangani permasalahan ini.

Jika semua itu dapat direalisasikan oleh pihak kerajaan dengan keupayaan yang terserlah tersebut, ia mampu mewujudkan kembali pasaran ekonomi negara yang mampan.

Ini kerana, semua itu hanya akan lahir daripada usaha-usaha pembangunan ekonomi yang menyeluruh oleh rakyat yang aktif dan pihak kerajaan yang berkompetensi, integriti serta bersungguh-sungguh.

Contoh nyata telah tercatat dalam sejarah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang sentiasa mengenyangkan rakyatnya sehingga tiada peminta sedekah dan penerima zakat lagi.

Ayuh, kembalikan kesejahteraan dan kegemilangan Malaysia!

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia