Hampir Sejuta Penagih Dadah: Selamatkan Anak Muda

Hampir Sejuta Penagih Dadah: Selamatkan Anak Muda | IKRAM

“Saya sanggup tak makan dan simpan duit sekolah yang diberi ayah untuk beli dadah setiap hari.”

“Semuanya berpunca akibat kesilapan saya terpengaruh dengan jiran yang juga penagih dadah,” kata seorang remaja lelaki 16 tahun selepas ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam satu serbuan dua tahun lalu.

Remaja (anak muda) terbabit mengaku terlibat dalam pengambilan dadah sejak setahun sebelumnya, apabila jirannya yang berusia 18 tahun menyuruhnya menghisap syabu.

“Saya cuba berulang kali untuk berhenti menghisap benda kotor itu, namun gagal selepas ketagihan dadah menguasai diri,” katanya yang masih bersekolah di tingkatan empat.

Sementara itu, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan bekalan dadah. Dia yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan terpengaruh dengan rakan sebaya dan menghisap dadah sejak berusia 13 tahun.

Begitulah realitinya, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merupakan kategori penagih dadah tertinggi iaitu 65 peratus daripada 53,000 individu yang ditangkap.

Lagi menyedihkan, ramai dalam kalangan mereka terlibat kerana terdesak memerlukan wang untuk membeli dadah, berakhir dengan melakukan pelbagai jenayah lainnya, hingga melibatkan ancaman nyawa.

Sukar Dibendung

Kitaran berkaitan masalah ketagihan dadah dengan aspek kesejahteraan dan keselamatan masyarakat akan menjadi sukar dibendung jika kurangnya usaha efektif pencegahan dalam kalangan generasi muda.

Jika kumpulan penagih ini gagal dipulihkan, mereka akan melalui hidup dalam sengsara serta akan menjadi warga yang tidak atau kurang produktif, seterusnya menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Penagihan dadah adalah suatu fenomena buruk yang telah berpanjangan di Malaysia. Tambahan lagi, apa yang paling membimbangkan semua pihak adalah trend penagihan semula di samping kes penagih baharu pula semakin bertambah hari demi hari.

Ancaman Generasi Muda

Laporan tahunan AADK menunjukkan trend peningkatan kes penagihan pada setiap tahun yang melibatkan generasi muda iaitu remaja. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Dato’ Razarudin Husain berkata, salah guna dadah dilihat tidak akan selesai sebaliknya terus kritikal apabila setiap keluarga di negara ini dikhuatiri bakal mempunyai seorang yang akan terjebak dengan penyalahgunaan dadah menjelang 2029 (Utusan Malaysia, 27 April 2021). 

Dalam pada itu, Kajian Institut Keselamatan Awam (IPSOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Universiti Teknologi Malaysia mendapati dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara akan merekodkan seramai 2.5 juta penagih dengan purata penggunaan 319,400 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM16 bilion.

Gejala penyalahgunaan dadah yang semakin serius itu dilakukan secara berkumpulan dengan nisbah penagih dalam komuniti kini adalah 1:7 orang, memberi makna jumlah sebenar penagih sudah lebih tiga juta.

Tidakkah keadaan ini membimbangkan kita?

Hampir Sejuta Penagih?

Pada Mei 2022, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan bahawa seramai 119 orang penagih dadah baharu dikesan setiap minggu di seluruh negara pada tahun 2021.

Jumlah penagih pada tahun 2021 adalah seramai 129,604 orang dan 15 peratus daripadanya, iaitu 6,480 merupakan penagih baharu.

Bagi seorang penagih dadah yang dikesan, terdapat tujuh lagi penagih yang tidak dapat dikesan.

Mengikut jumlah statistik yang ada, ini bermakna bilangan penagih dadah di Malaysia tahun lalu adalah hampir sejuta orang iaitu 907,222.

Beliau berkata demikian berdasarkan kepada statistik United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang merekodkan nisbah penagih dadah bahawa seorang bagi setiap lapan keluarga dan bilangan tersebut dijangka akan meningkat kepada dua penagih bagi setiap lapan keluarga dalam tempoh kira-kira 10 tahun lagi.

Atas dasar tahap keseriusan berdasarkan maklumat tersebut, pendidikan anak yang pertama dan paling utama dalam Islam ialah pendidikan dalam keluarga yang berperspektif Islam.

Berani Katakan Tidak

Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Keibubapaan atau ‘parenting’ hari ini tidak sama dengan zaman dahulu. Perubahan yang mendadak dalam keadaan hidup kita ibarat tsunami yang memberi kesan kepada nilai dan corak kehidupan kita.

Maka, pendekatan ‘Lebih Baik Cegah’ akan meningkatkan prestasi bukan risiko.

Penerapan penghayatan nilai agama dalam keluarga adalah pendidikan yang utama untuk membentuk anak-anak agar menjadi manusia yang beriman, berakhlak mulia yang mencakupi etika, moral, budi pekerti, serta memiliki pemahaman dan pengamalan nilai keagamaan dalam kehidupan seharian.

Manakala, bagi golongan remaja dan belia, mereka perlulah membekalkan diri dengan ilmu pengetahuan agar dapat menangkis gejala sosial, terutama yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

Generasi muda juga perlu berani dan tegas mengatakan ‘tidak’ kepada dadah.

Kita juga berharap janganlah ada keluarga yang mengambil pendekatan yang merugikan masa depan penagih dadah itu sendiri dengan ‘melindungi’ mereka berbanding menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tujuan rawatan dan  pemulihan.

Tentunya rakyat Malaysia mengharapkan ada sinar dalam menangani permasalahan dadah ini dengan serius dan konsisten kerana ia merupakan satu ancaman besar terhadap generasi lingkungan apalagi negara.

Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah nak menuding siapa yang bersalah. Generasi muda negara perlu diselamatkan.

Semua pihak perlu memainkan peranan agar situasi yang membimbangkan ini dapat dibendung dengan bersungguh-sungguh.

Maka, marilah bersama-sama membanteras najis dadah ini demi kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

Faridah Maludin
Ketua Unit Putuskan Rantaian Dadah
Kluster Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia