Hadiah istimewa untuk Nabi dan umatnya

Menelusuri sirah panjang sebelum Israk Mikraj, ada beberapa peristiwa yang menyedihkan terjadi iaitu kematian Abu Talib, bapa saudara yang selalu melindungi dan membantu baginda saat menghadapi orang kafir dan kematian Khadijah RAisteri yang sangat setia, dicintai dan membantu dakwahnya.

 

Ia ditambah pula dengan hijrahnya sebahagian daripada sahabat baginda ke negeri Habsyah berkali-kali dalam tujuan menyelamatkan agama Allah ini. Baginda sempat pergi ke Taif dalam tujuan menyeru penduduknya untuk beriman, menerima Islam dan menjadi penolong agama Allah, namun mereka menolak baginda dan menolak ajarannya.

 

Tatkala menghadapi keadaan yang menyukarkan itu, Allah SWT telah menghadiahkan baginda dengan mukjizat besar dan kemuliaan yang tinggi yakni Israk Mikraj, sebagaimana firman Allah:

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚإِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1) 

 

Kata ‘asra’ sebagaimana dalam surah al-Israa’ ayat pertama bermaksud melakukan perjalanan pada malam hari. Israk yang dilakukan oleh Nabi SAW ialah melakukan perjalanan pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

 

Mikraj pula bermaksud naik. Mikraj adalah alat yang digunakan untuk naik. Namun mikraj Rasulullah SAW adalah naik dari bumi ke langit melewati lapis langit sampai ke langit ketujuh.

 

Menurut jumhur ulama, terjadinya pada 27 Rejab, setahun sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Pada malam tersebut, Rasulullah telah melakukan perjalanan yang jauh, iaitu dari Mekah ke Baitulmaqdis, Palestin.

 

Kemudian, baginda naik ke langit yang dinamakan Mikraj, bermula dengan langit yang pertama hinggalah ke langit yang ke tujuh. Selepas itu, baginda naik ke Sidratul Muntaha, hingga sampai ke suatu tempat yang bernama Mustawa.

 

Perjalanan dengan roh dan jasad itu berlaku dalam masa yang amat singkat. Bagi mereka yang menggunakan akal semata-mata, kisah perjalanan ini tidak masuk akal kerana jarak perjalanan tersebut hampir 1,250 kilometer.

 

Ketika Rasulullah menyampaikan berita Israk Mikraj, baginda mengkhabarkan perjalanan tersebut hanya mengambil masa tidak sampai semalaman. Disebabkan apa yang baginda sampaikan itu, ramai dalam kalangan orang yang beriman pada mulanya menjadi kufur disebabkan tidak percaya tentang apa yang dikhabarkan oleh baginda.

 

Jika hanya menggunakan logik akal semata-mata, maka kita akan menolak dengan serta-merta sebarang pengkhabaran yang bertentangan dengan akal fikiran itu. Namun hakikatnya, tidak ada yang mustahil bagi Allah bahkan semua yang Allah kehendaki jika Dia mengatakan jadi, maka akan terjadilah.

 

Tuntutan mengerjakan solat

 

Peristiwa Israk Mikraj ini mempunyai hubung kait dengan perintah menunaikan ibadah solat. Ibadah ini diperintahkan oleh Allah dengan menjemput Rasulullah SAW hadir mengadap-Nya di Arasy, bukan dengan mengutuskan malaikat Jibril alaihissalam untuk menyampaikannya ke dunia, sebagaimana perintah menunaikan ibadat puasa, zakat dan haji.

 

Ibadah solat menjadi perkara yang utama di sisi Allah SWT. Dengan mendirikan solat, maka tertegaklah agama Allah ini. Sebaliknya apabila meninggalkan solat, maka runtuhlah agama.

 

Ini bersesuai dengan hadis daripada Umar al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

“Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa yang mengerjakannya, bererti ia menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya, bererti ia telah meruntuhkan agama.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

 

Pada asalnya, ibadah solat diperintahkan sebanyak 50 kali, siang dan malam hinggakan Rasulullah SAW berulang kali mengadap Allah untuk memohon agar diringankan jumlahnya. Allah SWT lantas memperkenankan permintaan baginda dengan mengurangkannya kepada lima kali sahaja. Amalan yang akan dihisab yang awal di akhirat kelak ialah solat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 

“Persoalan pertama yang akan ditanya kepada manusia pada hari akhirat ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), makan akan diterima seluruh amalannya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), makan akan ditolak seluruh amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

 

Hadis ini memberi pengajaran kepada manusia bahawa walaupun seseorang itu melakukan puasa Ramadan, membayar zakat, menunaikan haji, bersedekah kepada fakir miskin, berjasa besar kepada bangsa dan negara, namun jika tidak mengerjakan solat, maka seluruh amalan kebaikannya akan ditolak oleh Allah SWT.

 

Solat adalah suatu ibadah yang dilakukan dengan menggerakkan seluruh jasmani dan rohani. Manakala lisan (dalam solat) pula mengucapkan kalimah-kalimah yang sangat indah, mengandungi pujian, penghormatan dan harapan tinggi yang ditujukan kepada yang Maha Esa.

 

Apabila setiap gerak badan dan bacaan yang kita lakukan dengan ikhlas, sempurna, khusyuk dan penuh keinsafan, maka semuanya itu akan mempengaruhi diri, jasmani, rohani dan pemikiran serta akhlak sehingga solat itu benar-benar dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

 

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

 

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut: Ayat 45)

 

Pengajaran penting buat umat

 

1. Hadiah Allah buat Nabi dan umatnya

 

Sebelum peristiwa Israk Mikraj, Nabi SAW telah dilanda dengan pelbagai ujian dan musibah seperti kematian isteri dan bapa saudara baginda. 

 

Kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT terutamanya ketika menghadapi kesulitan hidup. Jauhilah segala larangan-Nya dan berterusanlah meningkatkan keimanan kepada-Nya agar menjadi hamba yang sentiasa disayangi Allah SWT.

 

2. Kepentingan solat fardu

 

Antara yang terpenting dalam peristiwa ini adalah tentang perintah solat lima waktu sehari semalam. Antara kewajipan mendirikan solat dengan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubungan begitu mendalam sehingga digelarkan solat itu sebagai ‘al-Mikraj al-Ruhi’.

 

Kewajipan solat melebihi kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima secara langsung daripada Allah sewaktu Rasullullah SAW bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan.

 

Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab pada hari akhirat kelak.

 

3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat

 

Semasa Israk Mikraj, ketika Rasulullah SAW dibawa meninjau keadaan di neraka, baginda juga melihat pelbagai bentuk penyeksaan seperti hukuman kepada pemakan riba, penzina, pengumpat, pemfitnah dan lain-lain lagi.

 

Baginda juga ditunjukkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala.

 

Ini memberi iktibar supaya kita menjauhi semua perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Jika perbuatan itulah yang dilakukan, balasan seperti itulah yang bakal diterima kelak.

 

4. Mengakui kebesaran Allah SWT

 

Allah SWT memperlihatkan kepada Rasulullah SAW akan keagungan dan keajaiban ciptaan-Nya yang sememangnya tidak pernah terfikir oleh akal manusia. Baginda dibawa ke Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain.

 

Sesungguhnya Allah sentiasa mampu melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sebagai hamba kerdil yang diciptakan untuk beribadah kepada-Nya, kita wajib yakin dan percaya akan semua kekuasaan Allah SWT itu.

 

5. Amalan memberi salam

 

Sepanjang Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada para Rasul yang baginda temui. Ini memberi pengajaran kepada kita untuk melakukan hal yang sama sebagai penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan antara saudara sesama Islam.

 

Banyak pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk Mikraj terutamanya dalam melihat keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah SAW sebagai bukti kepada kita tentang ketinggian martabat baginda.

 

Israk Mikraj juga adalah ujian buat diri umat ketika itu bagi menguji tahap keyakinan dan keimanan tentang kesahihan berlakunya peristiwa itu. Peristiwa ini juga adalah berkaitan dengan perihal iman dan hati.

 

Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang berusaha menghayati hikmah dan mengambil pengajaran di sebalik peristiwa agung yang dihadiahkan-Nya hanya kepada Nabi SAW.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia