Umum mengetahui bahawa zaman remaja merupakan suatu fasa peralihan yang berlaku dalam kehidupan seorang manusia. Mengikut Rogers, (1951) ’Adolescence’ bermaksud membesar menjadi matang.
Fasa remaja merupakan satu perubahan ataupun transisi daripada usia kanak-kanak sebelum memasuki usia dewasa. Fasa remaja ini juga merupakan suatu fasa yang sangat penting kerana berlaku perubahan biologi, psikologi, sosial dan ekonomi serta melibatkan perubahan peringkat tidak matang ke peringkat matang (Azizi et. Al.,2005).
Mengikut Abdurrahman Al-Aisawi, remaja adalah fasa transformasi antara fasa akhir kanak-kanak menuju ke fasa dewasa. Setiap kali melalui fasa-fasa peralihan hidup, seseorang akan melalui fasa ketegangan dan keresahan. Tidak hairanlah ada yang menyifatkan fasa remaja sebagai masa-masa yang sukar dan sulit untuk diatur.
Namun begitu, jika fasa remaja ini jika ditangani dengan baik dan diberikan perhatian khusus oleh kedua-dua ibu bapa, anak-anak remaja ini mampu untuk tumbuh sebagai susuk remaja yang hebat kelak.
Dekati Anak Remaja
Rasulullah SAW juga menyarankan agar kita mendekati anak-anak remaja ini dengan cara berkawan dengan mereka. Komunikasi merupakan kunci untuk mendapatkan kepercayaan mereka.
Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Elakkan mengherdik atau memarahi mereka jika mereka ada melakukan kesalahan terutamanya di hadapan adik-beradik yang lain.
Berikan mereka panduan dan amalkan sikap diplomasi agar kita mendapat kepercayaan total daripada mereka dan tiada orang ketiga dalam hidup mereka yang mereka jadikan tempat rujukan serta meminta pandangan.
Ibu bapa perlu melaburkan masa untuk belajar memberikan panduan kepada anak-anak remaja tentang ‘nature’ yang berlaku kepada anak-anak remaja dalam bagi fasa ini.
Contohnya, bagi anak-anak perempuan, berbincanglah dengan mereka tentang haid dan berikan panduan kepada mereka untuk menghadapinya.
Apabila ibu bapa faham dan cakna, lebih mudah untuk memahamkan mereka tentang proses yang sedang berlaku ketika ini. Selain daripada komunikasi, kesabaran juga antara faktor utama untuk membimbing anak-anak remaja.
Bagaimana untuk mereka lalui zaman remaja dengan baik jika mereka juga tidak faham dengan diri mereka terutama perubahan fizikal dan emosi yang berlaku secara mendadak.
Fasa Yang Sukar
Apa sebenarnya yang berlaku sehingga ibu bapa merasakan fasa ini merupakan fasa yang sukar ditangani?
Walaupun fasa ini adalah fasa peralihan sahaja, namun banyak yang berlaku sehinggakan anak-anak remaja sendiri berasa keliru.
Ini kerana perubahan yang berlaku kepada mereka sangat cepat berbanding fasa kanak-kanak terutamanya perubahan hormon yang berlaku pada fasa ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perubahan emosi mereka.
Perubahan emosi yang sangat cepat berbanding pertumbuhan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak remaja, menyebabkan mereka dilihat sering tidak berfikir panjang dan mengambil tindakan yang melulu.
Di sinilah sepatutnya orang tua seperti ibu bapa, para guru serta orang sekeliling yang lebih dewasa boleh memainkan peranan untuk memandu mereka.
Perubahan-perubahan yang berlaku ini perlu diberi perhatian khusus oleh kedua-dua ibu bapa. Remaja mahu diraikan sebagai orang dewasa dan mereka juga mahu pendapat mereka bukan sahaja didengari, malah diambil kira dalam keputusan penting keluarga.
Ibu bapa tidak wajar lagi melayan mereka seperti anak-anak kecil. Walau perkara ini dilihat remeh, namun kepada anak-anak remaja, ia bermaksud suatu bentuk penghormatan kepada mereka oleh kedua-dua ibu bapa dan akan membantu meningkatkan jati diri mereka.
Perlu Disantuni
Hari ini, pelbagai masalah sosial melibatkan remaja dapat kita lihat. Antara kesalahan jenayah yang tertinggi membabitkan pelajar adalah berkaitan kes curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun.
Sangat mendukacitakan apabila pada usia seawal ini anak-anak kita telah terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah. Inilah generasi pewaris yang akan mengemudi dunia pada masa akan datang.
Sebelum terlambat, anak-anak ini perlu disantuni dengan baik. Mereka perlukan perhatian bukan sahaja ibu bapa dan keluarga, malah ahli masyarakat juga berperanan membentuk keperibadian mereka.
Segalanya perlu bermula dari rumah. Terapkanlah elemen yang baik dalam diri anak-anak agar mereka mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas. Apabila mereka mempunyai matlamat serta jati diri yang kuat, tingkah laku mereka akan lebih terarah.
Jika dari awal elemen-elemen yang baik tidak kita semaikan dalam diri mereka, maka elemen luaran yang tidak baik akan mudah mengambil alih jiwa anak-anak kita ini.
Suatu ketika dahulu, Sukarno pernah berkata, “Beri aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia.”
Sebuah kalimat legenda ini jelas menunjukkan betapa berharganya nilai seorang pemuda dalam usaha melonjakkan kehebatan sesuatu bangsa.
Bagi Iman Hassan al-Banna pula, pemuda merupakan tonggak kepada kebangkitan. Dalam setiap kebangkitan, beliau menyifatkan pemuda sebagai rahsia kekuatannya dan dalam setiap fikrah, pemuda merupakan pengibar panji-panjinya.
Begitulah hebatnya aura seorang pemuda yang digambarkan oleh dua orang tokoh hebat ini. Mereka daripada zaman yang berbeza, namun mempunyai kepercayaan yang sama tentang kemampuan pemuda untuk melonjak perubahan kepada generasi masing-masing.
Untuk menggalas tugas merubah sesuatu bangsa, sudah pasti pemuda yang diperlukan adalah susuk pemuda yang mempunyai kualiti serta jati diri yang tinggi. Ia mustahil terjadi dalam sekelip mata sahaja.
Sudah tentulah mereka perlu dibina dan dididik dengan sebaiknya sehingga apabila mencapai usia pemuda, mereka telah siap untuk menggalas amanah yang besar.
Julang Kehebatan Islam
Rasulullah SAW juga pernah memberikan amanah yang besar sebagai panglima perang kepada salah seorang remaja pada zaman baginda iaitu Usamah bin Zaid.
Ketika itu Usamah baru sahaja berusia 17 tahun. Begitu hebat susuk pemuda yang dibina oleh Rasulullah SAW pada ketika itu sehingga membawa kepada zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu.
Hari ini, tugasan berat ini berada di pundak kita. Untuk menjulang kembali kehebatan Islam di mata dunia, generasi hari ini perlu diperkasakan.
Tidak cukup hanya dengan melihat dalam lingkungan anak-anak kita sahaja, malah gerak kerja perlu disusun agar setiap remaja perlu disantuni sebaiknya agar mereka menjadi anasir-anasir yang baik kepada masyarakat.
Kerja ini tidak mudah, namun dengan pengemblengan tenaga yang terancang serta tersusun dalam kalangan seluruh anggota masyarakat, ia tidak mustahil untuk kita melahirkan generasi yang kompeten untuk menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar.
Roselinee Mohammad Radzi
Setiausaha Wanita IKRAM Selangor