SERI KEMBANGAN – Berdepan dengan cabaran ekonomi yang boleh berterusan pada masa hadapan memandangkan situasi geopolitik dan ekonomi dunia yang tidak menentu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru supaya digerakkan sistem ekonomi yang lebih manusiawi.
Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin berkata, sistem tersebut berasaskan nilai yang menyuburkan semangat filantropi dan rasa ingin saling membantu antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat dan sektor korporat atau komuniti bisnes.
“(Ia) bukan sahaja melalui sumbangan wajib seperti zakat, bahkan juga sumbangan-sumbangan lain.”
“Sistem ini kita panggil sistem ekonomi berasaskan sedekah dan bersesuaian dengan konsep value-based intermediation (VBI) yang diperkenalkan oleh Bank Negara,” ujar beliau ketika menyampaikan Amanat Khas Ambang Tahun Baharu 2024 kepada ahli-ahli IKRAM.
Menurutnya, isu-isu ekonomi dan sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan harian masyarakat.
Ini kerana, meskipun sebahagian isu ini dapat dikendalikan oleh kerajaan seperti penurunan inflasi dan pengangguran, namun isu-isu luaran yang sukar dikawal seperti krisis peperangan Rusia dan Ukraine turut memberikan impak kepada rantaian sekuriti makanan apabila melibatkan bekalan barang makanan asas.
Selain itu, isu perpaduan kaum, keharmonian sosial dan kesihatan mental juga menjadi fokus. Menurut beliau, perpaduan dan pemeliharaan keharmonian sosial perlu diutamakan untuk mengelakkan konflik serta mengurangkan jurang perbezaan antara kaum.
“Negara ini yang dikenali dengan kepelbagaian etnik dan agama sudah tentu perlu berhati-hati dalam menjaga perpaduan dan persefahaman sosial bagi mengelakkan konflik, mengecilkan jurang polarisasi antara kaum, mengekalkan keharmonian dan memastikan pembangunan negara yang mampan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Badlishah turut menekankan bahawa isu kesihatan mental yang semakin meningkat perlu diberi perhatian serius.
IKRAM perlu berperanan sebagai suara penting dalam merealisasikan konsep madani. Walaupun kerajaan, pemimpin masyarakat, dan rakyat perlu berkolaborasi dalam menangani cabaran ini, kehadiran badan-badan bukan kerajaan termasuk IKRAM penting dalam membina masyarakat yang inklusif dan dinamik bagi masa depan rakyat dan negara.
Sehubungan itu, Hj Badlishah telah mengumumkan Rancangan IKRAM 2024-2027 (RI2427) dengan matlamat “Memacu Pembinaan “Negara Rahmah” melalui dakwah, tarbiah, khidmat, dan islah. Perancangan ini bertujuan untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara yang aman, makmur, serta sejahtera.
Empat teras dalam perancangan ini ialah meningkatkan hasil advokasi, menyemarakkan pendidikan masyarakat, meningkatkan hubungan antarabangsa, dan mengukuhkan penglibatan strategik. Setiap ahli memainkan peranan penting dalam mewujudkan misi ini.
IKRAM dengan keanggotaannya yang semakin meningkat, kini mencatat lebih 28,000 ahli. Antara cabarannya terletak pada kesediaan ahli yang lama tidak aktif untuk kembali ke arus tarbiah, memerlukan identifikasi dan sentuhan jiwa yang bermakna bagi mempereratkan ukhuwah serta memanfaatkan kepakaran mereka kepada masyarakat.
Menurut beliau, Jawatankuasa Tarbiah dan Modal Insan IKRAM sedang mengalami penyusunan semula melalui Projek Rejuvenasi Tarbiah IKRAM.
“Tiga inisiatif sedang digerakkan iaitu (1) Kempen Bangunkan Jiwamu, Teguhkan Ukhuwah dan Sebarkan Rahmah, (2) Rejuvenasi Tarbiah Harakiah dan Nizam Usrah dan (3) Pembangunan Nuqaba & Murabbi, ” jelasnya.
Saksikan rakaman Amanat Khas Presiden 2024; https://www.youtube.com/watch?v=I6HE-veL6pI