Isu Palestin sering dibingkaikan dalam dua sudut pandang berbeza. Di satu pihak, ada rakyat yang ditindas, dibungkam dan cuba dipadamkan suaranya.
Di sisi yang lain, berdiri kuasa tentera dominan yang mendakwa menjadi mangsa, menggunakan teknologi tinggi dan pengaruh media perdana antarabangsa untuk menyebarkan naratifnya dan menghalalkan kekerasan.
Namun angka tidak pernah menipu. Ia mendedahkan realiti sebenar yang cuba disembunyikan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak serangan ganas Israel dilancarkan pada 7 Oktober 2023, lebih 55,000 rakyat Palestin telah dibunuh, manakala lebih 127,000 lagi cedera. Ribuan masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang dibedil tanpa henti.
Insiden ini bukan konflik antara dua pihak. Ia adalah satu bentuk pembasmian etnik yang kini telah digambarkan oleh badan hak asasi antarabangsa sebagai jenayah genosid.
Apa yang berlaku adalah pembasmian etnik yang dilakukan secara sistematik oleh rejim penjajah Zionis dan telah diiktiraf sebagai jenayah genosid oleh Human Rights Watch. Kita mesti berani menyebutnya dengan nama yang sebenar iaitu genosid.
Memahami dan mengakui kebenaran ini adalah langkah pertama menuju keadilan. Tanpa keberanian untuk menamakan kezaliman genosid dengan jelas, segala usaha membela mangsa akan sia-sia.
Sejarah penindasan: Dari Balfour ke Gaza
7 Oktober 2023 bukan permulaan serangan Hamas ke atas Israel tetapi sebaliknya adalah kemuncak kepada penentangan rakyat Palestin terhadap penjajahan dan siri keganasan Israel sejak lebih satu abad lalu.
Untuk memahami penentangan rakyat Palestin hari ini, kita mesti menelusuri akar sejarah yang penuh episod luka dan pengkhianatan.
Segalanya bermula lebih satu abad yang lalu, apabila kuasa penjajah British melalui Deklarasi Balfour 1917 berjanji untuk memberikan tanah milik penduduk Arab Palestin yang sah kepada gerakan Zionis Yahudi. Walhal ketika itu, lebih 90% penduduk asal wilayah berkenaan adalah rakyat Palestin.
Deklarasi ini bukan sahaja menandakan permulaan kepada penjajahan yang zalim. Di bawah mandat British, imigrasi Yahudi dari Eropah ke Palestin dipermudah, disokong pula dengan rampasan tanah dan pengusiran paksa ke atas penduduk Palestin.
Penjajah British bersetuju dengan penubuhan negara Yahudi bukan semata-mata atas dasar simpati, tetapi kerana mereka mahu menghalang masuknya pelarian Yahudi yang ditindas di Eropah daripada berhijrah ke tanah-tanah mereka sendiri.
Sebahagian besar imigran Yahudi ini berasal dari Eropah Timur termasuk Rusia, Poland, Ukraine dan Jerman. Mereka melarikan diri daripada Holocaust serta siri diskriminasi kejam yang dilakukan oleh rejim-rejim Eropah, termasuk Nazi di Jerman.
Perlu disemat dalam fikiran, penindasan terhadap Yahudi dilakukan oleh negara-negara Eropah, bukan oleh umat Islam atau bangsa Arab. Malah, Yahudi yang sedang menetap di negara-negara Arab seperti Iraq, Morocco, Iran dan Palestin sendiri hidup dalam keadaan aman bersama masyarakat majoriti Muslim.
Namun pada tahun 1948, rakyat Palestin menjadi mangsa paling besar dalam sejarah moden apabila Zionis mengisytiharkan penubuhan negara haram Israel.
Dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakba (malapetaka), lebih 750,000 rakyat Palestin diusir secara paksa dari tanah kelahiran mereka. Lebih 500 kampung Palestin dimusnahkan dan 78% daripada keseluruhan wilayah Palestin dirampas oleh Israel.
Rakyat Palestin terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri iaitu sama ada di Gaza, Tebing Barat atau negara-negara jiran seperti Lubnan, Syria, Jordan dan Mesir.
Ironinya, penubuhan Israel diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui undian pada tahun 1947, dengan sokongan lebih 30 negara Barat walaupun pada waktu itu hanya terdapat 55 negara anggota PBB kerana sebahagian besar dunia masih dijajah.
Eropah telah mengambil alih takdir rakyat Palestin sesuka hati dengan menyerahkan hak yang bukan milik mereka.
Penjajahan Israel tidak pernah terhenti sejak saat itu. Selepas menawan Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada tahun 1967, Israel mula membina penempatan haram di wilayah-wilayah tersebut.
Meskipun komuniti antarabangsa mengiktiraf sempadan 1967 sebagai asas penyelesaian dua negara (two-state solution), Israel terus mencabuli resolusi ini dan merampas lebih banyak tanah, dan sehingga hari ini menguasai sekitar 80% tanah asal Palestin, termasuk kawasan Tebing Barat.
Pembinaan penempatan haram secara terang-terangan ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan sempadan yang dipersetujui PBB sendiri.
Sejak tahun 2007, Gaza dikenakan sekatan menyeluruh dari darat, laut dan udara. Lebih dua juta rakyat Palestin hidup dalam keadaan terkepung, terputus akses kepada keperluan asas seperti ubat-ubatan, air bersih dan elektrik, menjadikan Gaza penjara terbuka terbesar di dunia.
Serangan-serangan ketenteraan ke atas Gaza yang berlaku hampir setiap tahun telah membunuh ribuan nyawa, memusnahkan infrastruktur dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang berpanjangan dan tidak tertanggung.
Maka, naratif sebenar yang harus difahami dunia ialah Israel bukan sahaja dibina atas rampasan tanah dan darah rakyat Palestin, tetapi turut memperluas penjajahan kepada jiran-jirannya dan mengucar-kacirkan rantau Asia Barat untuk menjamin dominasi mutlaknya sepertimana yang sedang dilakukannya sekarang.
Ironinya, semua ini dilakukan atas nama “keselamatan”, padahal sejarah mencatat bahawa merekalah yang menanam benih ketakutan, kehancuran dan penjajahan.
Genosid yang didokumentasikan tapi dibisukan
Walaupun selama ini Israel giat mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka dan bertindak keras, namun hari ini, tindakan itu menjadi jauh lebih kejam dan berbahaya.
Ia didorong oleh penggunaan senjata moden, teknologi canggih serta sikap tidak takut dihukum yang membolehkan mereka terus bertindak tanpa sebarang pertanggungjawaban.
Kini, Gaza telah menjadi padang jarak padang tekukur yang dipenuhi runtuhan dan mayat yang mereput di bawah puing bekas hospital dan klinik. Mereka yang masih hidup berjuang untuk bertahan dalam keadaan amat menyayat hati.
Israel dan sekutunya pula secara sedar dan sengaja telah menyebabkan kebuluran serta menyekat segala keperluan asas sebagai sebahagian daripada taktik perang yang kejam.
Dunia mula sedar, tapi adakah kita cukup berani?
Dunia Barat telah lama mendiamkan diri, menyifatkan isu Palestin sebagai terlalu rumit dan kontroversi, lalu ramai mengambil jalan mudah dengan bersikap berkecuali. Malah ada yang mempercayai fitnah terhadap rakyat Palestin tanpa menyelidik kebenaran.
Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, kezaliman Israel yang semakin kejam telah memecahkan tembok kejahilan dan kebisuan global dan membuka mata masyarakat dunia.
Liputan media yang berani dan pengorbanan wartawan di lapangan telah membongkar realiti sebenar yang ditanggung oleh rakyat Gaza dan seluruh Palestin selama beberapa generasi. Dunia akhirnya membuka mata.
Negara-negara seperti United Kingdom, Kanada dan Perancis mula menyatakan bantahan terbuka terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza, manakala Australia, New Zealand dan Norway telah mengenakan sekatan ke atas dua menteri kanan Israel atas tuduhan menghasut keganasan.
Semasa sesi pengundian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 4 Jun 2025, sebanyak 14 daripada 15 negara anggota menyokong resolusi yang menuntut gencatan senjata serta-merta tanpa syarat dan berkekalan di Gaza, serta pembebasan tahanan Israel. Hanya Amerika Syarikat menolak resolusi tersebut dengan menggunakan kuasa vetonya.
Walaupun belum benar-benar ada tindakan konkrit ke atas Israel, namun ini adalah perkembangan yang agak memberangsangkan kerana bantahan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini di dunia Barat. Tindakan ini menjadi isyarat jelas bahawa masyarakat antarabangsa menganggap kezaliman ini telah melampaui batas.
Ribuan orang di seluruh dunia telah dan masih konsisten berhimpun dari masa ke masa menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin, sebagai respons terhadap kekejaman perang yang dilancarkan Israel ke atas Gaza bagi menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang masih berterusan.
Isu Palestin bukan sekadar krisis kemanusiaan. Ia adalah penjajahan ketenteraan haram oleh Israel dan perampasan sistematik terhadap tanah, hak dan maruah rakyat Palestin. Berjuta-juta rakyat Palestin kini hidup di bawah rejim penjajahan paling lama dan paling ganas dalam sejarah moden. Kini, berjuta-juta manusia di seluruh dunia bangkit dalam solidariti, menyatakan dengan jelas bahawa genosid ini mesti dihentikan.
Segala kekejaman ini adalah sebahagian daripada strategi sistematik untuk menghapuskan rakyat Palestin dari identiti, budaya dan kewujudan mereka di tanah air sendiri.
Diam itu membunuh
Tiada siapa suka rasa tidak berdaya di hadapan kezaliman. Tetapi berdiam diri hanya membenarkan jenayah terjadi tanpa henti. Sikap berkecuali pada saat kezaliman berlaku akan menyebelahi penindas.
Perlu difahami bahawa keamanan tidak dapat dicapai tanpa keadilan. Gencatan senjata bukanlah damai sebenar tetapi cuma jeda sebelum peluru berikutnya. Keamanan hidup yang sebenar adalah hidup dalam kebebasan, kesaksamaan dan bermaruah.
Justeru, hari ini, kita mesti bangkit dan menggandakan usaha untuk menghentikan kegilaan ini. Sangat tidak wajar satu jenayah yang begitu jelas selama ini diteruskan tanpa dapat dihentikan. Tegakkanlah hak kemanusiaan dan keadilan dan tolaklah kekejaman. Israel mesti menghentikan segera genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Mari berpegang kepada prinsip moral yang teguh dan berpaksikan nilai kemanusiaan. Tidak ada suara yang kecil apabila bergabung secara beramai-ramai dengan suara lain. Mulakan dengan menyebarkan kesedaran tentang situasi sebenar di Gaza melalui media sosial dan menyertai perhimpunan aman.
Dalam masa yang sama, penting untuk memahami latar belakang konflik ini secara mendalam dengan mendengar dan membaca dari sumber rakyat Palestin sendiri, agar naratif yang adil dan benar dapat diperjuangkan.
Selain itu, bertindaklah dengan menuntut tanggungjawab korporat. Kenal pasti dan boikot syarikat yang terlibat dalam penindasan serta galakkan pilihan pengguna yang beretika.
Dalam pada itu, hulurkan bantuan kepada organisasi yang telus dan aktif di lapangan, kerana setiap sumbangan mampu membawa harapan baru kepada mereka yang sedang bergelut untuk hidup.
Seperti kata aktivis iklim terkenal, Greta Thunberg: “Rakyat Gaza tidak perlukan sesiapa untuk datang menyelamatkan mereka tetapi mereka perlukan kita untuk menyokong perjuangan mereka, agar kita mengakhiri keterlibatan kita, memberi tekanan dan memutuskan hubungan dengan pihak yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia.”
Hentikan Israel sebelum segalanya menjadi terlalu lewat, bukan sahaja buat rakyat Palestin, tetapi untuk seluruh nilai kemanusiaan.
Apa yang berlaku di Gaza bukan cerita jauh. Gaza menjerit dan masyarakat dunia sedang diuji. Ia adalah panggilan kepada kemanusiaan kepada semua di luar sana. Apa yang kita lakukan sekarang akan menentukan dunia bagi generasi akan datang.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia