Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 27 Januari lalu yang mengarahkan Israel supaya mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Ini termasuklah mengarahkan Israel agar mencegah tindakan genosid, menghalang dan menghukum tindakan hasutan yang mengarahkan kepada genosid serta melaporkan semua tindakannya dalam tempoh sebulan, juga memperbaiki situasi kemanusiaan penduduk awam di Palestin.
Namun begitu, HIKAM menzahirkan rasa kecewa kerana arahan itu tidak diiringi dengan tuntutan supaya Israel menamatkan operasi ketenteraan dan melakukan gencatan senjata dengan HAMAS.
Walaupun arahan ICJ terhadap Israel telah dikeluarkan, Israel tetap berdegil dan tenteranya terus-menerus melakukan serangan demi serangan terhadap penduduk yang tidak berdosa di Gaza termasuk golongan rentan seperti wanita dan kanak-kanak.
Seramai 373 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 643 cedera seperti yang dilaporkan oleh Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean yang memantau jenayah rejim Zionis Israel dalam tempoh 48 jam selepas keputusan ICJ dibuat.
Rejim Zionis masih melakukan pengeboman besar-besaran terhadap infrastruktur awam dan bangunan-bangunan di Gaza, meneruskan pencerobohan di tahap yang sama, termasuk membunuh orang awam, memindahkan mereka secara paksa, menghalang penduduk pulang ke rumah mereka dan terus mengenakan sekatan bantuan kemanusiaan.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan atas keberanian Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ dengan dakwaan negara haram itu melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948.
HIKAM menyeru agar kerajaan Malaysia mengenakan tekanan diplomatik bagi mendesak kerajaan-kerajaan berkaitan untuk mengadakan tindakan lebih efektif bagi menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
HIKAM juga menggesa komuniti antarabangsa terus berpadu tenaga melakukan tekanan terhadap Zionis Israel dari pelbagai sudut, sama ada diplomatik, ekonomi, pendidikan, sukan dan sebagainya agar negara itu menghentikan operasi ketenteraannya di Gaza.
HIKAM menyokong penuh supaya diadakan satu lagi himpunan besar-besaran membantah kezaliman berterusan rejim Zionis Israel dan tanda solidariti teguh kita terhadap rakyat Palestin.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)