Gejala buli dan kesannya kepada masyarakat

Gejala buli dan kesannya kepada masyarakat

Buli merupakan tindakan dengan niat untuk menyakiti hati dan memberi tekanan terhadap individu atau sekumpulan individu.

Buli juga didefinisikan sebagai tingkah laku agresif yang berulang dilakukan oleh individu atau sekumpulan individu berkuasa yang dengan sengaja menakut-nakut, menyalahgunakan atau memaksa mangsa dengan niat untuk menyakitinya secara fizikal atau emosi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Pelajar Edisi Kedua, buli adalah perbuatan mendera dan mempermainkan mangsa untuk mendapatkan keseronokan.

Pembuli juga bertindak menggertak, menakut-nakut dan mencederakan mangsa buli. Tindakan membuli adalah untuk menunjukkan bahawa pembuli lebih berkuasa sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi atau tempat kerja jika dibandingkan dengan mangsa.

Pembuli juga mendapat kepuasan apabila membuli orang lain. Semakin mangsa berasa takut atau terancam semakin tinggi darjah kepuasan yang dirasai oleh pembuli.

Larangan buli

Islam amat melarang keras perbuatan buli. Insan yang benar-benar beriman nescaya tidak akan membudayakan buli yang merupakan benih kediktatoran dalam masyarakat. 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan sesiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11)

Tindakan membuli merangkumi tiga ciri berikut:

1. Sengaja – tingkah laku itu adalah agresif dan sengaja untuk menyakiti orang lain.

2. Berulang – tindakan agresif tersebut berulang kali berlaku terhadap individu atau kumpulan individu yang sama.

3. Ketidakseimbangan kuasa – individu yang membuli mempunyai lebih banyak kuasa fizikal atau sosial berbanding mangsa buli.

Buli tidak hanya terbatas kepada perbuatan mendera atau mencederakan mangsa, malahan turut melibatkan tindakan yang boleh menjejaskan kesihatan mental seperti ejekan, menghina, makian, memalukan mangsa di khalayak ramai, gemar mengarah orang lain, bersikap seperti bos, tidak mahu mengaku salah sebaliknya suka menuding jari, suka mengumpat, dibebani kerja secara berlebihan dan terpaksa menanggung kerja yang sepatutnya dilaksanakan oleh orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Buli lisan

Buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara fizikal dan mental. Buli secara mental pula boleh dibahagikan kepada beberapa jenis antaranya adalah buli lisan, perhubungan, siber dan prasangka. 

Buli secara lisan merupakan tindakan yang kerap berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira umur dan latar belakang pendidikan. Contoh buli lisan adalah mengejek, mengugut atau mengancam dan menyebarkan fitnah. 

Buli perhubungan

Buli berkaitan perhubungan pula dilakukan dengan niat untuk memulau atau meminggirkan individu atau sekumpulan individu dengan cara enggan bercakap atau menghasut orang lain untuk membuli.

Sebagai contoh di tempat kerja, pekerja-pekerja lama berpakat untuk memulaukan pekerja baharu yang lebih berpengalaman dengan cara tidak mengendahkan buah fikiran pekerja baharu tersebut.

Buli perhubungan ini juga berlaku atas faktor cemburu dengan pengalaman, kejayaan dan pujian yang diterima oleh seseorang itu. 

Di institusi pendidikan pula, pelajar lelaki yang tidak cukup kacak dan pelajar perempuan yang dianggap tidak cantik akan dipinggirkan oleh pelajar-pelajar lain yang berasakan lebih kacak atau cantik.

Perbezaan status sosial seperti miskin dan kaya juga mempengaruhi buli perhubungan. Pelajar yang kaya tidak mahu berkawan dengan yang miskin kerana dianggap tidak layak untuk menjadi kawan. Maka pelajar yang miskin itu terus terpinggir.

Buli prasangka

Buli prasangka amat berkait rapat dengan prasangka buruk terutama apabila individu itu berbeza bangsa, agama dan budaya. Prasangka buruk wujud apabila seseorang itu gagal mengenali orang lain.

Islam amat menggalakkan penganutnya saling mengenali bukan sahaja sesama agama dan bangsa, malahan dengan penganut agama dan bangsa lain. Oleh sebab itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.” (Al-Hujurat: 13)

Buli siber

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, buli juga semakin maju apabila mula menceroboh ruang siber.

Pembuli menggunakan pelbagai aplikasi seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram, WeChat dan YouTube untuk mengganggu, mengugut dan memalukan mangsa.

Mangsa buli siber mengalami kemurungan dan depresi yang amat teruk kerana penyebaran maklumat palsu berkaitan mangsa lebih mudah diakses oleh khalayak ramai. 

Gangguan seksual

Gangguan seksual pula merupakan campuran buli secara fizikal dan mental. Hal ini kerana terdapat mangsa gangguan seksual yang bukan sahaja diganggu secara lisan dengan kata-kata berunsur lucah, malahan anggota badannya disentuh atau diraba.

Mangsa gangguan seksual sudah tentu tidak mahu ke sekolah atau tempat kerja kerana wujud ketakutan dan kerisauan dalam diri.

Insan yang beriman sama sekali tidak akan tergolong dalam kalangan pembuli. Hal ini bertepatan dengan satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: 

“Bukanlah seorang mukmin itu orang yang suka mencaci, orang yang gemar melaknat, orang yang suka berkata-kata lucah dan orang yang berkata-kata kotor.” (HR Tirmidzi)

Kesan buli

Perbuatan membuli amat memberikan kesan terhadap pembuli dan mangsanya. Mangsa buli akan mengalami masalah-masalah seperti kemurungan, kerisauan, gangguan makan, tiada keyakinan diri, rasa rendah diri, rasa ingin membunuh diri, sakit kepala, masalah tidur, sakit abdomen dan keletihan. 

Masalah-masalah tersebut dialami oleh mana-mana mangsa buli sama ada yang bergelar pelajar mahupun pekerja.

Bagi mangsa buli daripada golongan pelajar, akan timbul masalah seperti ketidakhadiran ke sekolah, kolej atau universiti, prestasi pelajaran merosot mengakibatkan markah peperiksaan rendah, peningkatan kadar keciciran dalam pelajaran dan menghadapi masalah penyesuaian diri apabila dewasa atau melangkah ke alam pekerjaan.

Pekerja yang menjadi mangsa buli juga akan berasa bimbang untuk datang ke tempat kerja sekali gus memberi kesan terhadap kadar kehadiran dan prestasi pekerja.

Bagi pembuli, mereka akan cenderung untuk terlibat dengan aktiviti jenayah dan mengalami gangguan psikiatri atau mental.

Jika pembuli adalah golongan pelajar khususnya kalangan belia, mereka lebih berisiko untuk menghisap rokok dan vape, menagih dadah serta meminum minuman alkohol.

Prestasi kurikulum dan kokurikulum mereka juga teruk. Pembuli dalam kalangan pekerja pula akan berasakan diri mereka hebat, enggan mendengar pandangan orang lain serta mewujudkan suasana tempat kerja yang sentiasa tegang, bermasam muka dan tidak selesa.

Buli benih kediktatoran

Buli adalah benih kediktatoran yang tersemai dalam diri pembuli. Pembuli dianalogikan sebagai diktator kerana hilangnya sifat perikemanusiaan.

Buli tidak sepatutnya menjadi norma dalam masyarakat. Semua pihak tidak boleh memandang enteng masalah buli yang kian membarah dalam masyarakat.

Tugas menangani masalah buli harus dipikul bersama bak kata pepatah “bagai aur dengan tebing” dan untuk mencapai solusi pula haruslah umpama “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”

 

Zulfiqar Mohd Yusof
Pensyarah Kolej Al-Quran Sayyidina Ali

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia