Gangguan Seksual: Maksud, Cabaran dan Peranan Kita

Gangguan Seksual: Maksud, Cabaran dan Peranan Kita | IKRAM

Isu gangguan seksual bukanlah isu baharu di Malaysia, malah semakin membimbangkan. Sebanyak 11,914 kes gangguan seksual telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 hingga Ogos 2021.

Ini menunjukkan lebih 3,000 kes direkodkan setiap tahun. Dalam persekitaran norma baharu pun, jumlah kes tidak menunjukkan penurunan.

Ketika negara bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 sehingga terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 2 Mei 2020, dan diikuti PKP Bersyarat pada 4 Mei hingga 9 Jun 2020, kes gangguan seksual yang direkodkan masih tinggi iaitu 3,176 kes.

Ia mencerminkan bahawa kes gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan.

Penulisan ini bertujuan meninjau peranan yang boleh dimainkan oleh pelbagai pihak dalam usaha membantu mereka yang mengalami gangguan seksual dan intervensi-intervensi awal yang boleh diambil untuk mencegah berlakunya gangguan seksual.

Apa itu gangguan seksual?

Gangguan seksual ialah perlakuan yang kurang disenangi melalui lisan, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang biasanya dilakukan berulang-ulang.

Definisi ini menunjukkan bahawa gangguan seksual boleh mengambil pelbagai bentuk dari sentuhan secara paksa atau renungan secara tersembunyi pada bahagian sulit; menghantar audio, gambar atau video lucah; ungkapan berbaur seksual hingga mengekori secara terang atau sembunyi. 

Dahulu, gangguan seksual sering berlaku secara bersemuka tetapi dengan kepesatan penggunaan media massa, ia kini telah menular ke alam maya. 

Siapa mangsa?

Kaum wanita lebih kerap menjadi mangsa tetapi kaum lelaki tidak terkecuali. Kajian yang dijalankan oleh PDRM dari tahun 2013 hingga 2017 mendapati 21 peratus daripada keseluruhan kes gangguan seksual yang dilaporkan dialami oleh kaum lelaki.  Namun yang agak menyedihkan, kanak-kanak juga tidak terlepas dari menjadi mangsa gangguan seksual.

Statistik PDRM menunjukkan dari 1076 kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di Selangor sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini, 514 kes atau 48 peratus adalah berkaitan gangguan seksual.  Pemangsa tidak mengira umur, jantina, agama, bangsa dan status mangsa.

Siapakah pelaku?

Gangguan seksual boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki, lelaki terhadap wanita, wanita terhadap lelaki atau wanita terhadap wanita.

Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 di Amerika terhadap lebih 700 pekerja mendapati kesemua 100 peratus mangsa wanita mengaku bahawa gangguan seksual tersebut dilakukan oleh pelaku lelaki, 59 peratus mangsa lelaki  gangguan  seksual  mengaku  diganggu oleh wanita dan selebihnya 41 peratus  mangsa  lelaki  pula mengaku diganggu oleh pelaku lelaki.

Kajian PDRM juga mendapati hampir 90 peratus pelaku atau pemangsa seksual adalah individu yang dikenali seperti keluarga, kenalan mahupun individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat sementara 10 peratus lagi daripada individu tidak dikenali.

Apa yang menyedihkan, mangsa gangguan seksual boleh menderita daripada kesan fizikal dan mental yang teruk. Mangsa mengalami trauma, hidup dalam ketakutan, serangan panik dan gangguan tidur hingga menjejaskan rutin harian.

Dalam keadaan yang lebih kritikal, terdapat juga mangsa yang cenderung untuk membunuh diri. Ini secara tidak langsung menjejaskan produktiviti dan keberhasilan kerja seseorang individu.

Cabaran tangani isu

Jumlah kes gangguan seksual yang kian meningkat dan berleluasa menjadikan segolongan manusia mula menormalisasikan perbuatan tidak bermoral ini. Normalisasi bermakna gangguan seksual diterima sebagai satu kebiasaan dalam masyarakat dan menjadi lumrah kehidupan.

Dalam persekitaran ini, adalah amat sukar untuk mangsa mendedahkan identiti pelaku gangguan seksual. Mangsa berasa takut membuat laporan polis sebab ada kemungkinan mereka pula yang akan dipersendakan dan dipersalahkan.

Pada pandangan mangsa, opsyen yang terbaik adalah berdiam diri. Tanpa disedari, sebenarnya golongan yang menormalisasikan gangguan seksual ini telah menyumbang kepada peningkatan kes gangguan seksual.

Apa peranan kita?

Masalah gangguan seksual perlu dipandang serius. Kita semua mempunyai peranan dalam usaha membantu para mangsa yang mengalami gangguan seksual dan intervensi-intervensi awal yang boleh diambil untuk mencegah berlakunya gangguan seksual.

1. Peranan sebagai individu

Jika sahabat kita mengalami gangguan seksual, kita masih boleh mambantu walaupun kita bukan pakar psikologi. Wujudkan saluran komunikasi dua hala dengan sahabat tersebut. Tanamkan kesedaran bahawa dia tidak keseorangan dalam mengharungi cabaran ini.

Kita boleh membantu dengan memberi nasihat dan menaikkan semangat, kumpul bukti sebelum membuat laporan polis atau menemaninya semasa rawatan pemulihan. 

Sebagai individu, kita juga boleh menawarkan diri sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan atau NGO yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti pencegahan gangguan seksual.

2. Peranan sebagai ibu bapa

Ibu bapa wajar memberi pendidikan seksual kepada anak-anak sejak kecil lagi. Anak-anak perlu diajar bahagian anggota badan yang tidak boleh disentuh oleh orang lain kecuali diri sendiri dan ibu bapa (semasa mereka masih kanak-kanak sahaja).

Mereka dididik agar dapat membezakan antara sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. Wujudkan persekitaran yang mana anak-anak bebas bersuara dan berkongsi pengalaman harian mereka.

Dengan cara ini, ibu bapa dapat mengesan jika berlaku sesuatu yang mencurigakan atau perubahan pada perilaku anak-anak.

Ibu bapa juga perlu memantau penggunaan media massa oleh anak-anak. Luangkan masa bersama-sama anak-anak menggunakan media massa melihat program-program berbentuk informatif dan kekeluargaan.

Guna masa ini untuk berkongsi kebaikan dan keburukan media massa terutama dalam hal-hal berkaitan gangguan seksual.

3. Peranan sebagai majikan

Gangguan seksual jika berlaku dan dibiarkan secara berleluasa boleh menjejaskan produktiviti, meningkatkan beban kos dan mencemar imej organisasi berkenaan. 

Oleh itu, pihak majikan perlu menyediakan persekitaran bekerja yang bebas diskriminasi dan gangguan kepada pekerja-pekerja mereka.

Pihak majikan juga perlu akur dengan Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja yang telah memperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia sebagai langkah mencegah, menangani dan membasmi masalah ini.

4. Peranan Badan Bukan Kerajaan

Negara kita amat bertuah mempunyai banyak NGO yang menghulurkan bantuan kepada mangsa gangguan seksual seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia, All Women’s Action Society (AWAM), Women’s Centre for Change (WCC) dan banyak lagi. 

NGO memainkan peranan penting membantu kempen advokasi menentang gangguan seksual yang boleh mempengaruhi kerajaan untuk menerima pakai reformasi dasar. Ia juga menjadi salah satu saluran yang boleh dihubungi jika mangsa gangguan seksual memerlukan bantuan.

Dalam masa yang sama, NGO meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan isu-isu gangguan seksual menerusi program webinar dan bual bicara yang dianjurkan. 

5. Peranan Kerajaan

Pada masa ini, Malaysia tiada undang-undang khusus bagi mengadili kes-kes gangguan seksual. 

Oleh itu, rang undang-undang gangguan seksual yang lebih holistik wajar digubal dan dibentangkan di Parlimen. Ini merupakan satu intervensi yang dapat mencegah penularan gangguan seksual dan memberi keadilan kepada semua pihak.

Sebagai contoh, kerajaan Selangor telah menubuhkan Pusat Khidmat Krisis Sehenti yang memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa-mangsa penderaan, perkosaan dan juga keganasan rumah tangga.

Salah satu objektif pusat ini adalah memberikan maklumat dan kefahaman yang sahih mengenai isu-isu gangguan seksual di tempat kerja.

Perlu dipandang serius

Oleh yang demikian, semua pihak perlu memandang serius isu gangguan seksual yang kian meningkat di negara ini. Impaknya bukan hanya kepada individu yang mengalaminya tetapi membabitkan masyarakat secara keseluruhan.

Penting bagi semua pihak untuk mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual, saling bekerjasama memikirkan dan melaksanakan intervensi-intervensi awal untuk menghindari berlakunya gangguan seksual.

Dan dalam masa yang sama, semua pihak perlu turut menyediakan kepada mangsa pembelaan undang-undang yang lebih berkesan serta membantu mereka kembali ke dalam masyarakat.

Umi Sawiyah Ahamad
Peserta Pertandingan Penulisan
Kempen Gangguan Seksual Katakan Tidak
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia