Gabungan M4E dilancarkan, tuntut kembalikan hak rakyat Mesir

Majlis dimulakan ucapan wakil-wakil NGO Gabungan M4E yang terdiri daripada Sdr Marwan Abdullah (Setiausaha IKRAM Siswa), Dr Mohd Fauzi Zakaria (AJK MAPIM), Dr Abdul Rahman Awang (AJK SHURA), Rosmihayati Khairuddin (Timb Pengerusi MAWADDAH), Sdr Khairul Anuar Ismail (AJK ABIM).

Ucapan Dr Abdul Rahman, Khairul Anwar & Hj Syed Ibrahim

Seterusnya, Tuan Haji Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Jawatankuasa Penaja Gabungan M4E merangkap Naib Presiden IKRAM menyampaikan ucapannya. Sejak rampasan kuasa tentera Mesir, katanya, beliau percaya seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam jenayah pembunuhan oleh rejim tentera Mesir ke atas rakyatnya sendiri yang berhimpun secara aman tanpa senjata.

“Atas sebab itu dan atas prinsip keadilan dan kemanusiaan, sekumpulan badan-badan bukan kerajaan terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik, agama dan budaya di Malaysia telah sepakat untuk menyatakan sokongan dan solidariti terhadap rakyat Mesir yang menuntut hak mereka,” tambahnya.

Katanya lagi, Gabungan M4E telah ditubuhkan untuk menggambarkan kebersamaan rakyat Malaysia dengan rakyat Mesir.

Sajak Pak Samad, pidato YB Tian Chua & Dr Athif

Seusai ucapan beliau, hadirin dihidangkan video montaj Pelancaran M4E. Selepas rehat, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said mendeklamasikan sajak yang bertajuk ‘Murbawan Mesir’:

Tidak pernah terasakan pilu sekudus ini:
Alam di Mesir mekar sesuci di dalam diri.
Segala luka, segala lara, mula sebati,
memanglah jarang diri terasa sesyahdu ini.

Buana tidaklah sekadar di sini nafasnya,
setiap degup tetap dirasa di mana-mana.
Lalu, di sini bermula tapak–temu yang marak.
Kami bangun demi menimbusi setiap jarak!

Api di Mesir ganas, tajamnya amat meretak,
kami tidak serasi oleh cakaran sekejam ini.
Maka di sini mulanya tapak–temu yang marak.
Kami azam berbakti, malah bakal sebati.

Kini serentak semua batas mula berbenih,
yang kami suburkan hanyalah kasih, kasih, kasih.

Seusai sajak, Ahli Parlimen Batu YB Tian Chua meyampaikan pidatonya. Bagi beliau, isu ini bukan sahaja berkaitan isu Mesir, tetapi juga isu kemanusiaan, isu hak demokrasi dan isu kebebasan berpolitik.

Beliau mengucapkan tahniah atas inisiatif gabungan M4E ini dan percaya usaha M4E ini akan berjaya dalam meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap isu-isu penting di dunia.

Persembahan menarik Flashmob Egypt oleh remaja dan pelajar IPTdiiringi dengan nyanyian bertenaga Mu’adz memeriahkan lagi majlis tersebut.

Kumpulan flashmob, Mu’adz & barisan wakil-wakil NGO Gabungan M4E

Kemudian wakil dari Mesir, Dr Athif al-Hadidi, bekas pegawai kempen pilihanraya Presiden bagi Dr Mohamed Morsi, menyampaikan pidato sekitar pengalamannya selama berada di Medan Rabi’ah Adawiyyah pada Ramadhan lalu.

Katanya, manusia tak bersenjata termasuk kanak-kanak dibunuh dengan kejam oleh tentera. Beliau menceritakan bagaimana rakan sejawatnya, seorang doktor terselamat daripada maut ketika merawat mangsa kecederaan di Hospital Rabi’ah, kerana dibentengi seorang lagi doktor yang berdiri, yang ditembak tentera.

Beliau sangat menghargai sokongan rakyat Malaysia dalam mengembalikan hak dan kebebasan rakyat Mesir yang telah dirampas oleh tentera.

Kemuncak majlis berupa gimik pelancaran M4E berupa susunan logo gabungan oleh beberapa wakil NGO dan kotak terakhir logo dilengkapkan oleh Syed Ibrahim, sebagai tanda Gabungan M4E dengan rasminya telah dilancarkan.

Sidang media selepas pelancaran, forum “Egypt Today & The Future” pada sebelah petang & para petugas majlis

Tahniah kepada semua NGO yang menyertai gabungan ini dan tahniah buat semua petugas yang menjayakan pelancaran gabungan M4E yang bersejarah ini.

Semoga usaha ini dapat menyemarakkan solidariti dan sokongan antarabangsa terhadap majoriti rakyat Mesir yang menuntut demokrasi, kebebasan dan keadilan dikembalikan di negara mereka, insya-Allah.

Ayuh, kembalikan hak rakyat Mesir!

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia