“Saya sangat mengagumi keberanian dan pengorbanan setiap individu yang terlibat dalam flotila ini,” kata beliau dalam pertemuan bersama delegasi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan para peserta misi flotila di kediamannya semalam.
Tambahnya, dalam pasukan pelayaran ini juga ada Dr Fauziah Mohd Hasan yang merupakan salah seorang peserta Women’s Boat to Gaza 2016.
“Dia ditahan oleh rejim Israel tetapi masih tidak gentar untuk bersama memberi sokongan untuk rakyat Palestin terutama untuk ibu, wanita dan kanak-kanak. Dia bersedia menghadapi risiko yang sama sekali lagi,” ujar beliau.
Menurutnya, peserta lain juga adalah individu yang berani dan bersedia untuk meninggalkan kehidupan yang selesa, selamat dan terjamin di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam flotila ini.
“Mereka menunjukkan kepada kita bahawa kita perlu dan kita boleh menang atas ketakutan dan membuat perbezaan,” jelas Dr Wan Azizah yang turut mendoakan peserta flotila selamat pergi dan selamat pulang.
Delegasi MyCARE bertemu TPM diketuai Pengerusinya, Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Dr Fauziah Hasan bersama-sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Pengurus Besar Operasi, Pn Roha Hassan serta para peserta misi flotila ke Gaza.
Pertemuan hampir sejam itu membincangkan peranan MyCARE dalam membantu kerajaan memperkasakan isu Palestin dan isu-isu kemanusiaan sejagat dan antara inisiatif yang sangat disokong adalah misi flotila ke Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar kini sedang belayar bersama dengan Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr Nazari Ismail dan akan diikuti oleh 10 lagi peserta Malaysia yang lain secara berperingkat.