Fitrah yang menjadi fitnah

Hari Raya Aidilfitri merupakan satu anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya setelah sebulan berpuasa. Ia merupakan hari kemenangan umat Islam menghadapi ujian dan menyempurnakan sebulan berpuasa.

 

Ia adalah kemenangan dengan melawan hawa nafsu, membersihkan diri daripada dosa dan noda serta kembali kepada fitrah dengan menjadi orang beriman yang taat dengan perintah Allah SWT. Kemenangan ini disambut pada 1 Syawal dengan penuh kesyukuran atas segala nikmat dan limpahan kurnia Allah SWT.

 

Tiada hari kebesaran dan perayaan umat Islam yang lebih baik melainkan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Daripada Anas bin Malik RA, dia berkata:

 

“Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: “Aku datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kamu pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfiri.” (HR An-Nasa’i, No. 959)

 

Umat Islam yang benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan dan menghidupkannya dengan amal ibadah, sudah pasti akan merasai nikmat kemenangan yang disambut pada 1 Syawal. 

 

Hari kemenangan ini disambut dengan tangisan sedih kerana berpisah dengan Ramadan dan tangisan gembira kerana berjaya menyempurnakan perintah Allah SWT.

 

Sambutlah hari raya dengan sunnah Nabi SAW

 

Umat Islam menyambut perayaan tidak seperti agama lain. Ia disambut mengikut landasan syariat Allah SWT dan tatacara sunnah Nabi SAW. Berikut merupakan beberapa tatacara yang disyariatkan untuk kita sebagai umat Islam menyambut hari raya aidilfitri:

 

  • Mandi di pagi hari raya

Sunnah juga kepada kita untuk mandi di pagi hari raya sebelum berangkat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

 

  • Memakai pakaian yang terbaik

Disunnahkan untuk memakai pakaian yang terbaik. Pakaian yang terbaik tidak semestinya baru dan mahal, tetapi cukup ia pakaian yang bersih, kemas dan indah.

 

  • Menjamah makanan sebelum solat sunat Aidilfitri

Sebelum berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri, disunnahkan untuk kita menjamah sedikit makanan sebagai menutup anggapan dan prasangka bahawa dibenarkan untuk berpuasa pada 1 Syawal.

 

  • Berjalan kaki menuju tempat solat

Sunnah juga untuk kita berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika mampu dan jaraknya tidak terlalu jauh. Namun, tidaklah menjadi kesalahan untuk menggunakan kenderaan ke tempat solat tidak kuat untuk berjalan kaki.

 

  • Melaungkan takbir membesarkan Allah 

Disyariatkan untuk kita bertakbir pada 1 Syawal, iaitu bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Disunnahkan juga untuk bertakbir sejak mula keluar daripada rumah hingga ke tempat solat. Ini sebagai mengagungkan syiar Islam di sepanjang perjalanan ke tempat solat.

 

  • Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali daripada solat sunat Aidilfitri

Disunnahkan untuk kita mengambil jalan yang berbeza ketika pergi dan balik daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya agar perjalanan yang ditempuh ke masjid lebih banyak langkahnya. Selain itu, supaya kita dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan tersebut dan menampakkan syiar Islam di jalan-jalan tersebut.

 

  • Mengerjakan solat sunat Aidilfitri di tempat lapang

Adalah sunnah untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri di kawasan lapang atau tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Ini juga sebagai mengeratkan tali persaudaraan sesama umat Islam dengan berkumpul ramai-ramai di sebuah tempat yang luas dan terbuka. Dengan ini dapat menampakkan kekuatan umat Islam kepada orang kafir.

 

  • Mengerjakan solat Aidilfitri

Sunnah terbesar yang paling utama ketika menyambut Aidilfitri adalah melaksanakan solat sunat Aidilfitri sebanyak dua rakaat.

 

Demikianlah beberapa sunnah yang boleh sama-sama kita amalkan ketika menyambut hari raya aidilfitri pada 1 Syawal.

 

Kedatangan Syawal seharusnya menjadi titik permulaan untuk kita terus berubah dan istiqamah dengan amal ibadah yang telah kita lakukan semasa sebulan Ramadan. Tetapi menjadi kehairanan bagi kita apabila ada juga yang ponteng puasa Ramadan, namun bergembira menyambut hari raya. 

 

Yang paling menghairankan adalah apabila ada juga insan yang tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid untuk solat fardu atau solat tarawih, tetapi muncul untuk bersolat hari raya, walhal jarak dari rumah ke masjid tidak sampai 500 meter. 

 

Apakah erti kegembiraan hari raya ini bagi mereka?

 

Selamat hari raya untuk semua

 

Daripada Jubair bin Nufair, dia berkata, “Para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain, “Semoga Allah menerima (ibadah) daripada kami dan daripada kamu.” (Fathul Bari, 2/446)

 

Ibnu Taimiyah apabila ditanya tentang ucapan selamat pada hari raya, beliau menjawab, “Katakanlah kepada yang lain apabila bertemu dengan ucapan: “Semoga Allah menerima (ibadah) daripada kami dan daripada kamu.” (Majmu’ al-Fatawa, 24/253)

 

Apabila bertemu sanak-saudara, kenalan, jiran atau sesiapa sahaja, kita ubah ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada ucapan berikut: 

تقبل الله منا ومنكم

Maksudnya: “Semoga Allah menerima (ibadah) daripada kami dan daripada kamu.”

 

Kita mohon hanya kepada Allah SWT segala amal ibadah yang telah kita lakukan pada bulan Ramadan diterima Allah SWT.  Kita mohon hanya kepada Allah SWT hidayah dan taufik untuk terus istiqamah dan diberikan petunjuk di jalan yang lurus.

 

Kita mohon hanya kepada Allah SWT keampunan atas segala dosa yang kita terlupa, terleka atau tidak tahu. Kita mohon hanya kepada Allah SWT untuk ditetapkan dalam iman dan Islam dan mematikan kita dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik).

 

Kita mohon hanya kepada Allah SWT diberikan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Amin Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

 

Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM Muda Sabah

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia