Ramai yang telah memberikan ulasan tentang filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’, kisah pahlawan Melayu terkenal yang menentang British di negeri Pahang, sama ada pro atau kontra setelah beberapa hari ia ditayangkan di pawagam.
Filem terbitan Studio Kembara dengan kos RM8 juta arahan Syamsul Yusof berinspirasikan sejarah pahlawan itu dilaporkan telah berjaya mengutip lebih RM23 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan yang bermula 23 Jun lalu.
Sebagai anak Pahang, penulis tidak melepaskan untuk menyaksikan filem kepahlawanan tersebut yang menampilkan ramai pelakon popular antaranya Dato’ Adi Putra, Beto Kusyairy dan Fattah Amin, termasuk pelakon filem Hollywood dari Indonesia, Yayan Ruhian.
Watak Dan Lakonan
Dato’ Adi Putra melakonkan watak Mat Kilau dengan aura yang tersendiri sebagai seorang yang tenang, berhati-hati, taat, berani dan tangkas mengalahkan lawan.
Boleh jadi bentuk badannya yang segak dan tegap menjadi faktor dipilih sebagai Mat Kilau agar dilihat lebih gagah untuk bersilat dan melawan tentera British.
Walaupun begitu, lakonan mantap Beto Kusyairy berjaya menjiwai watak Wahid sebagai seorang sahabat Mat Kilau yang setia, tabah hadapi dugaan kematian isteri serta bangkit daripada kesedihan dan terus berjuang.
Tidak keterlaluan dikatakan, jika Adi Putra tidak memegang watak Mat Kilau, Beto sudah pasti jadi pilihan terbaik untuk memegangnya. Lakonan Fattah Amin dalam filem ini juga tidak mengecewakan sebagai seorang yang bijak, tidak kaku dan lincah bertarung bagi membantu sahabat yang lain.
Kebanyakan pelakon berlakon dengan baik, namun watak Yassin yang dibawa Johan As’ari mungkin ada kekurangannya kerana dikatakan lakonannya seperti ‘tidak menjadi’.
Menariknya, pelakon-pelakon wanita semuanya menutup aurat yang melambangkan bahawa adab beragama turut dijaga dalam pembikinan filem ini.
Babak Filem
Babak awal saja sudah mengejutkan kerana dimulakan dengan tembakan dan pembunuhan oleh tentera British secara tiba-tiba terhadap penduduk kampung.
Mungkin pengarah ingin menampilkan kelainan dalam permulaan filem, namun babak sebegitu mungkin membuatkan mereka yang baru mula menonton tidak dapat ‘berehat’ pada awalnya kerana kejutan seperti itu.
Boleh dikatakan separuh babak daripada filem ini adalah gabungan beberapa aksi pertempuran dan boleh dianggap mempunyai banyak klimaksnya. Penulis menduga aksi berkuda, pedang, bertempur dan serangan gerila di hutan ini dilhamkan daripada drama bersiri Turki terkenal, Ertugrul.
Dari sisi lain, babak-babak yang emosional boleh dikatakan agak ringkas dan penonton tidak sempat ‘feel’ lebih lama dalam adegan tersebut kerana ia sentiasa diselangi dengan aksi konflik dan pertempuran.
Babak isteri Wahid dibunuh oleh pihak British pula boleh dipertikaikan dari sudut sejarah, adakah wanita pernah diperlakukan dengan kejam oleh British di Tanah Melayu? Atau ia sebagai sindiran untuk ‘wajah’ sebenar British secara tersiratnya? Mungkin ada mesej yang ingin disampaikan.
Walaupun Mat Kilau adalah filem fiksyen, faktor sejarah juga perlu diambil kira dan lebih berhati-hati dalam memperhalusi jalan cerita agar lebih hampir dengan faktanya.
Penulis juga cuba memahami mengapa watak isteri Mat Kilau yang setia dan isteri Wahid yang seperti menentangnya. Ini mungkin kerana pengarah tidak mahu melihat babak yang ‘skema’, perlu ada watak bertentangan dan konflik untuk menghidupkan filem.
Bahasa Dan Mesej
Dalam konteks bahasa yang digunakan dalam filem ini, mungkin penggunaan perkataan bahasa pasar seperti ‘engkau orang’ atau ‘je’ boleh dielakkan dalam skrip.
Penggunaan bahasa dalam filem ini bercampur-campur antara gaya bahasa moden, bahasa semasa penentangan (abad ke-18 dan 19) dan zaman sebelumnya. Gaya bahasa perlu dilihat konsisten sepanjang filem supaya ia mudah dihayati.
Dari sisi lain, memang wajar elemen loghat Pahang diketengahkan kerana Mat kilau adalah pahlawan yang merupakan anak jati Pahang.
Walaupun begitu, penulis memahami kesukaran yang dihadapi para pelakon jika mereka terpaksa belajar dan menggunakan loghat tersebut dalam filem yang mungkin akan mengambil masa yang lama.
Dalam pada itu, tidak dinafikan bahawa mesej berkaitan keberanian dan kepahlawanan Mat Kilau dan rakan-rakannya dalam menentang penjajahan British di Pahang, serta kelincahan seni persilatan yang dipersembahkan.
Namun, mesej berkaitan Melayu dan Islam dilihat lebih menonjol dengan skrip yang berulang-ulang tentang perpecahan dan kesatuan orang-orang Melayu.
Pada hemat penulis, pengulangan tersebut adalah tidak perlu kerana mesejnya sudah sampai dan boleh digantikan skrip lain dengan mesej yang bermakna sebagai nilai tambah dalam filem ini.
Sebagai contoh, menurut sejarah, Mat Kilau dikatakan pandai mengaji. Alangkah bagusnya jika babak beliau mengaji al-Quran yang memberi mesej bahawa beliau seorang yang kuat beramal dengan agama sebagai sumber kekuatannya.
Ucapan Mat Kilau pada akhir babak filem ini mungkin menjadi ‘penyelamat’ dengan mesej supaya berpegang dengan akidah, keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai hakikat kemuliaan dan kekuatan bagi manusia.
Secara keseluruhannya, pengarah Syamsul Yusof berjaya menggarap babak-babak dalam filem ini dengan baik, yang menaikkan semangat membela bangsa dan tanah air, meruntun emosi dan mendidik jiwa.
Pengajaran Filem Mat Kilau
- Kepahlawanan dan keberanian orang Melayu tidak boleh dinafikan melalui sejarah penentangan Mat Kilau terhadap British. Kekuatan persenjataan British yang besar tidak mampu membendung penentangan hebat Mat Kilau.
- Semangat persaudaraan dan persahabatan memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan sebuah perjuangan. Tanpa persahabatan, kuranglah dorongan dan hilanglah sebahagian kekuatan dalam perjuangan.
- Sikap suami isteri yang saling memahami dan memberi dorongan mampu membina keluarga yang utuh. Bijak mengawal emosi, sentiasa bersabar menghadapi konflik atau ujian, berakhlak dalam tutur kata menjadi sebahagian resipi kerukunan rumah tangga.
- Sebagai rakyat Malaysia, sewajarnya kita sentiasa menghayati sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu dalam menentang penjajahan kerana itulah yang menjadi jati diri yang menaikkan semangat patriotik dan cintakan negara.
- Sikap khianat terhadap perjuangan dan menjadi tali barut sentiasa ada pada bila-bila masa dan dalam mana-mana bangsa, tanpa mengira pangkat dan warna kulit. Yang penting, kita harus waspada dan sekurang-kurangnya mendidik diri agar menjauhi sikap tersebut.
- Amalan dasar kutipan cukai yang menindas penduduk dikatakan antara punca Mat Kilau menentang British. Kerajaan sekarang wajar mengambil iktibar daripada filem ini dengan tidak mengenakan cukai yang membebankan terhadap rakyat. Jika tidak, sikap ini sama saja dengan penjajah British.
- Sebagai umat Islam, tarbiah atau didikan agama perlu menjadi elemen penting, bukan sahaja di rumah dan sekolah, bahkan menjadi amalan dalam seluruh kehidupan, yang menjadi kekuatan sebenar dalam membina generasi rabbani dan berakhlak mulia.
Kesimpulan
Penerbitan filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang berinspirasikan sejarah pahlawan adalah satu usaha yang amat baik walaupun ada kekurangannya, bahkan sambungan kisah-kisah perjuangan beliau wajar difilemkan pada masa akan datang.
Negara kita juga tidak ketandusan sejarah pahlawan-pahlawan terdahulu yang menentang penjajahan seperti Datuk Maharaja Lela, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Rentap, Mat Salleh, Panglima Salleh, Syarif Masahor dan sebagainya.
Walaupun begitu, seharusnya karya-karya berindentitikan Malaysia, tidak sekadar berinspirasikan sejarah kepahlawanan, perlu dibanyakkan lagi oleh para penggiat filem negara dengan kerjasama pelbagai pihak yang berminat sama ada organisasi, syarikat atau individu.
Ini penting bagi mendidik rakyat bahawa kita mempunyai sejarah, keunikan dan identiti kita sendiri yang akan membentuk jati diri bangsa dan negara.