Filem, Drama Melayu Makin Mengarut & Tidak Mendidik?

Tahukah kita, industri hiburan tempatan suatu ketika dahulu sering menjadi medan menyampaikan mesej yang bermakna, antaranya kisah perjuangan, nilai kekeluargaan, ajaran agama dan moral yang baik.

Namun, hari ini, kita menyaksikan satu trend yang membimbangkan dalam konteks filem dan drama Melayu yang disiarkan di kaca TV dan platform penstriman, berikutan jalan cerita semakin mengarut, melampau dan tidak bermaruah.

Sebagai masyarakat berbudaya dan beragama, mempunyai nilai akhlak dan adab, kita tidak boleh terus berdiam diri.

Sudah tiba masanya kita menyuarakan pandangan membendung situasi yang tidak sejahtera dalam masyarakat ini supaya ia tidak terus dinormalisasikan, semakin hanyut dan leka serta memudaratkan generasi.

Kandungan hiburan yang merosakkan 

Antara perkara yang semakin menjadi kebiasaan dalam drama atau filem Melayu hari ini ialah:

  1. Kisah cinta yang keterlaluan, penuh fantasi dan tidak masuk akal.
  2. Normalisasi hubungan bebas antara lelaki dan perempuan.
  3. Paparan aurat secara terbuka oleh pelakon tanpa rasa malu.
  4. Dialog lucah dan kasar dijadikan bahan lawak.
  5. Jalan cerita yang tidak mendidik, malah menyebar budaya songsang.
  6. Merosakkan akidah

Adakah semua ini realiti dan sebati dengan norma masyarakat kita? Atau ia hanya bayangan palsu yang dicipta oleh mereka yang hanya mementingkan rating dan keuntungan semata-mata?

Yang lagi sadisnya, dalam setiap tontonan ada saja watak “maksiat” yang dipersembahkan, muncul untuk memancing emosi para penonton.

Teguran rahmah tapi tegas 

Perlu kita ketahui, Islam tidak menolak hiburan, tetapi menolak hiburan yang melalaikan, apalagi membawa kerosakan. Allah SWT memberi amaran yang sangat jelas melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan yang keji itu tersiar dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah An-Nur, 24:19)

Bayangkan betapa besar dosa menyebarkan adegan yang tidak senonoh dan mesej yang merosakkan, apatah lagi jika ia ditonton oleh seseorang yang sedang membentuk identiti diri.

Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda (maksudnya):

“Barang siapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan menanggung dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

Hal ini bermakna, setiap pelakon, penulis skrip, pengarah dan penerbit yang terlibat dalam karya yang membawa kerosakan, menanggung dosa berantai selama mana tayangan itu ditonton dan mempengaruhi orang lain.

Untuk menonton filem atau drama sekarang ini tidak lagi hanya melalui televisyen, tetapi semudah di reel media sosial, YouTube dan aplikasi lain. Inilah yang sangat menggusarkan hati masyarakat apabila yang ditayangkan itu sesuatu yang negatif dan berunsur maksiat apalagi menyentuh akidah Islam.

Cerminan dalam masyarakat 

Sebagaimana yang diutarakan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM), Prof. Madya Dr. Hamidah Mat, dari perspektif sosiologi, filem dan drama dilihat sebagai cerminan kepada apa yang ada dalam masyarakat.

“Maksudnya, ia bukan sahaja menggambarkan realiti sosial, malah turut berperanan dalam membentuk dan kadangkala mencabar norma yang sedia ada. Jika kita perhatikan, kebanyakan karya seni ini sering memilih tema yang sensasi seperti konflik keluarga, cinta terlarang atau keganasan rumah tangga.”

Beliau berkata, jalan ceritanya yang kelihatan “mengarut” atau tidak realistik secara halus mencerminkan isu-isu sebenar yang wujud dalam kalangan masyarakat tetapi jarang diperkatakan secara terbuka.

“Namun begitu, dalam era komersialisasi, banyak pengkarya lebih mengutamakan populariti dan keuntungan berbanding kualiti mesej yang disampaikan,” ujarnya. 

Menurut Dr. Hamidah lagi, keadaan tersebut mengakibatkan lambakan drama dengan jalan cerita yang pada mulanya mengarut, tetapi lambat laun berjaya menjadi bahan viral hingga akhirnya menormalisasikan perkara yang negatif dan tidak patut itu. 

“Inilah yang merisaukan sebahagian besar daripada kita. Drama dan cerita yang sepatutnya menjadi bahan hiburan mendidik yang membawa mesej yang jelas, akhirnya hanya mampu mengisi ruang kosong yang meninggalkan kesan yang negatif dalam pelbagai sudut kehidupan.”

Tegas Hamidah lagi, sudah tiba masanya para pengkarya mengambil tanggungjawab menggunakan medan kreatif ini untuk menghidangkan sesuatu yang positif dan lebih bermakna kepada masyarakat.

Tindakan tegas perlu dilaksana 

Tidak terkecuali, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih serius terhadap kandungan hiburan yang melampaui batas.

Antaranya ialah tapisan skrip berdasarkan moral dan agama. Sebelum sesuatu karya diterbitkan, ia perlu melalui panel semakan moral agar selari dengan nilai dan norma masyarakat Malaysia. 

Selain itu, Lembaga Penapis Filem (LPF), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahupun Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyemak semula polisi hiburan supaya tidak hanya menilai aspek teknikal, tetapi juga kesan akhlak dan sosial dalam masyarakat.

LPF juga perlu memperketat garis panduan penapisan untuk memastikan hanya kandungan yang sesuai dan bermoral ditayangkan kepada umum. Hal ini termasuk menilai semula kriteria kelulusan dan memastikan proses penapisan dilakukan secara telus dan konsisten.​

Selanjutnya, karya-karya yang memaparkan nilai-nilai budaya, moral dan realiti masyarakat perlu diberi galakan dan sokongan, termasuk dari segi pembiayaan dan promosi. Langkah ini akan membantu memperkaya kandungan tempatan dan memberikan alternatif kepada penonton.

Penonton juga memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju industri. Dengan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kandungan yang berkualiti dan bermoral, penonton boleh membuat pilihan yang lebih bijak dan menyokong karya-karya yang positif.

Islam mengiktiraf seni dan hiburan sebagai elemen kehidupan. Namun, hiburan yang sejati ialah hiburan yang menghiburkan jiwa tanpa menggelapkan hati. Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim)

Keindahan seni dalam filem dan drama adalah satu anugerah dan jika ia digunakan untuk membangunkan akhlak dan menyampaikan kebenaran, tentunya akan memberikan impak yang positif terhadap masyarakat dalam membangunkan negara.

Selamatkan industri hiburan kita 

Sudah terlalu lama kita dibuai dengan “hiburan kosong” yang bukan sahaja membuang masa, tetapi turut merobek maruah bangsa. Jika dibiarkan, generasi akan datang tidak lagi kenal nilai agama, adab dan akhlak yang seharusnya ada dalam diri mereka.

Walaupun para pengkarya merasakan bahawa melahirkan sesuatu filem atau drama yang persis dengan dunia realiti itu tujuannya hanyalah sebagai peringatan kepada penonton, namun jika sesuatu yang negatif itu dipersembahkan kepada khalayak, ia tetap akan menjadi panduan yang tidak baik dan dilakukan pula oleh mereka yang menontonnya.

Barangkali pihak yang terbabit dari permulaan, yang merangka idea dan menghasilkan skrip, wajar melihat pelbagai sudut demi menjaga agama, adat juga sentimen yang lainnya agar masyarakat atau mereka yang menontonnya mendapat panduan yang mendidik dan pengetahuan yang baik.

Industri perfileman dan drama Melayu menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu daripada semua pihak.

Dengan komitmen untuk meningkatkan kualiti, memperketat penapisan dan menyokong karya-karya yang bermoral dan berkualiti, kita boleh mengembalikan kegemilangan industri ini dan memastikan ia terus relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia