Beberapa hari ini tular sedutan drama picisan bertajuk ‘Perempuan Itu’ yang sungguh mencabar sensitiviti umat Islam di media sosial.
Di keheningan nisfu Syaaban dan bersemaraknya roh ummah untuk menyambut Ramadan yang bakal tiba, sedutan drama ini benar-benar menyentap sensitiviti umat Islam yang menontonnya.
Adegan-adegan yang mengghairahkan dihidangkan tanpa segan silu. Di mana letaknya akal fikiran dan sensitiviti penerbit, pengarah, pelakon dan sesiapa sahaja yang bersekongkol menerbitkan sedutan ini?
Di mana rasa malu yang telah lama menghiasi diri ummah di Nusantara ini sejak zaman berzaman? Mengapa kalian sungguh berani mencabar sensitiviti umat di ambang Ramadan ini?
Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri radiallahuanhu, ia berkata:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ. رواه البخاري
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara yang didapati manusia daripada kalimat kenabian yang pertama ialah: ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.’ “ (HR Bukhari, No. 3483)
Bertakwalah kalian! Kebejatan sosial adalah sangat menyesakkan dada dewasa ini. Di saat pelbagai usaha dilakukan untuk membasmi pornografi di akar umbi, sungguh sedutan filem yang secara terang-terangan menayangkan aksi-aksi pornografi ini benar-benar menjengkelkan.
Rangsangan seksual yang berterusan ini mempunyai kesan buruk jangka panjang terhadap institusi keluarga dan psikologi seperti isu ketagihan dan juga pelbagai masalah melibatkan kesihatan mental seperti depresi dan keresahan.
Kami menyeru pihak terlibat melihat semula kesan negatif yang timbul daripada penayangan adegan sebegitu rupa ke khalayak apatah lagi pada era kini di saat segalanya begitu pantas dan mudah diakses hatta oleh anak kecil.
Kami percaya ruang, peluang dan bakat yang ada boleh dimanfaatkan dengan memaparkan drama dan lakonan yang bersifat mendidik.
Kami berharap pihak yang terlibat dapat meminta maaf secara terbuka kerana mencabar dan mencemar maruah umat ini di saat Ramadan yang hampir tiba.
Kami memerlukan intervensi dan ketegasan daripada pihak kerajaan atas penerbitan drama ini dan lainnya yang jelas bertentangan dengan norma budaya timur dan agama.
Kami percaya semua ini boleh mengancam kestabilan institusi keluarga, menggalakkan lagi maksiat yang sudah sedia parah.
Usaha menangani penyebaran dan penggunaan pornografi yang semakin menjadi barah di negara ini memerlukan satu kerjasama kolektif segenap lapisan masyarakat.
Dr Ummu Afeera Zainulabid
JK Advokasi
Wanita IKRAM Pahang