Fenomena Penyalahgunaan Agama

Masyarakat Islam meletakkan golongan berilmu dalam bidang agama di tempat yang tinggi. Golongan seperti ustaz atau tok guru bukan sahaja dihormati malah menjadi rujukan utama dalam pelbagai aspek kehidupan, terutama sekali yang berkaitan dengan agama Islam.

Pengaruh besar mereka ini disebabkan oleh status Islam sebagai tunjang utama kehidupan umat Muslim di Malaysia. Islam bukan hanya sekadar agama, tetapi satu cara hidup yang komprehensif. Oleh itu, usaha untuk melindungi ajaran Islam dan memelihara kesuciannya menjadi satu kewajipan yang amat penting.

Peranan agamawan dalam masyarakat

Golongan agamawan mempunyai peranan yang amat signifikan dalam memastikan ajaran Islam terus dijunjung tinggi. Mereka bertindak sebagai penyampai ilmu, memberi panduan kepada masyarakat dan menjadi benteng mempertahankan keutuhan agama. Bimbingan dan nasihat yang diberikan oleh tokoh agama sering kali menjadi rujukan utama dalam membentuk sahsiah dan pemikiran umat Islam di negara ini.

Walaupun begitu, bukan semua yang diangkat sebagai agamawan dalam masyarakat menepati nilai-nilai selayaknya bagi seorang agamawan. Sebahagiannya tidak mempunyai latar belakang agama yang jelas dan mendalam. Malah, ada antara mereka yang hanya memanfaatkan status agamawan untuk kepentingan peribadi atau populariti semata-mata.

Fenomena ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menyebabkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau salah tafsir terhadap ajaran Islam. Lebih membahayakan lagi, ia berpotensi mengelirukan masyarakat dan mencemarkan imej Islam yang sebenar.

Sebahagiannya telah mencemar kesucian agama dengan mempergunakan kedudukan yang dihormati atau lingkungan pengaruh yang dimiliki hingga terlibat dalam kemelut pertengkaran atau lebih malang, terperosok dalam pelbagai skandal sama ada jenayah seksual, penggelapan wang atau penyebaran ajaran yang menyeleweng.

Tangan-tangan yang menunggang agama ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam dan mencemarkan kredibiliti institusi keagamaan. Oleh itu, adalah penting bagi masyarakat untuk lebih berhati-hati dan kritis dalam memilih sumber ilmu agama. Mereka perlu memastikan bahawa individu yang dirujuk sebagai tokoh agama memiliki kelayakan yang sewajarnya, bukan hanya popular di media sosial atau pandai berpidato sahaja.

“Agamawan celup” dan penyalahgunaan agama

Mutakhir ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa kes kontroversi melibatkan pempengaruh dan selebriti agamawan yang disanjung ramai. Ada yang didakwa terlibat dalam salah laku moral dan jenayah berat. Lebih membimbangkan, terdapat pengikut yang cuba menghalalkan perbuatan individu-individu berpengaruh ini walaupun perbuatan mereka disabitkan sebagai jenayah dan jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Isu sebegini membawa fitnah pada agama dan menambah malu apabila melibatkan pergaduhan terbuka sesama umat Islam yang tidak mencerminkan ajaran Islam itu sendiri.

Keadaan ini menimbulkan persoalan besar tentang prinsip dan pendirian yang wajar diambil oleh masyarakat apabila berhadapan dengan sosok individu yang dihormati tetapi telah melakukan kesalahan.

Islam menekankan kepentingan bersikap adil dan berhati-hati dalam membuat penilaian. Kedudukan tinggi atau status terhormat seseorang tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kesalahan mereka.

Dalam menghadapi isu sebegini, masyarakat perlu memberi ruang kepada proses perundangan untuk berjalan dengan adil dan telus bagi menghormati prinsip keadilan dan mengizinkan sistem kehakiman menjalankan tugasnya tanpa sebarang campur tangan atau prejudis.

Dalam masa yang sama, status seseorang sebagai agamawan atau tokoh penting tidak wajar menjadi perisai untuk melindungi mereka daripada tanggungjawab atas perbuatan salah. Islam mengajar umatnya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang.

Maksudnya, tidak terburu-buru menghukum, tetapi juga tidak menutup mata terhadap kesalahan yang jelas. Dengan ini, integriti institusi keagamaan terpelihara dan pada masa yang sama, menjunjung prinsip keadilan yang menjadi tunjang ajaran Islam.

Keadilan tanpa pilih kasih dan menjauhi sifat taksub

Bertanya dan berhujah meletakkan akal itu pada aras pemikiran yang sihat. Sifat patuh dan taat diperlukan tetapi ia perlu diimbangi dengan pemikiran kritis agar tidak melampaui batas sehingga mendatangkan taksub yang boleh membawa kepada ekstremisme atau pengabaian tanggungjawab peribadi dalam berfikir dan membuat keputusan.

Sifat taksub kepada seorang pemimpin agama  akan mengakibatkan pengikut atau masyarakat mengabaikan segala keburukan atau kesilapan yang dilakukan oleh seseorang. Bagai lembu dicucuk hidung, perasaan taksub ini boleh menyebabkan pengikut tidak dapat berfikir secara rasional dan membodohkan diri untuk terus mengikuti apa sahaja yang diajar  walaupun menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Islam menggalakkan dialog terbuka dan pertukaran pendapat sekalipun dengan pemimpin tertinggi. Ketika Perang Badar berlangsung, keberanian seorang sahabat, Al-Hubab bin Al-Mundhir untuk bertanya dan memberi cadangan kepada Nabi menggambarkan suasana keterbukaan yang wujud dalam kepimpinan Islam.

Asalnya, Nabi Muhammad SAW telah memilih satu lokasi untuk meletakkan tentera Islam. Kemudian, Al-Hubab bertanya kepada Nabi, “Wahai Rasulullah, adakah kedudukan ini telah ditetapkan oleh Allah sehingga kita tidak boleh maju atau mundur daripadanya, atau ia adalah pandangan dan strategi perang?” Nabi menjawab bahawa ia adalah pandangan peribadinya dalam hal strategi perang.

Mendengar jawapan itu, Al-Hubab mencadangkan agar tentera Islam diletakkan berdekatan dengan sumber air. Beliau berhujah bahawa lokasi tersebut akan memberi kelebihan strategik kepada tentera Islam. Rasulullah SAW lantas bersabda, “Kamu telah memberi pandangan yang tepat” dan mengubah kedudukan tentera.

Begitulah Islam mengajar penganutnya agar sentiasa menggunakan akal yang diseimbangkan dengan ilmu dan takwa dalam membuat keputusan.  Kisah ini menjadi contoh tentang bagaimana seharusnya sikap umat Islam terhadap pemimpin mereka yakni menghormati tetapi tidak taksub, berani menyuarakan pendapat tetapi dengan adab yang baik.

Fenomena penyalahgunaan agama dan kemunculan “agamawan celup” merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh masyarakat Islam kini. Namun, dengan berpegang kepada prinsip-prinsip Islam yang sebenar, menggunakan akal secara bijak dan mencontohi teladan Nabi Muhammad SAW serta sahabat, kita mampu menghadapi cabaran ini.

Dalam pada itu, isu yang terjadi  sehingga menular sebegini  membuktikan kepentingan memahami asas-asas ajaran Islam yang benar. Pendidikan agama yang kukuh akan membantu umat Islam membuat penilaian yang lebih kritikal terhadap apa-apa maklumat atau ajaran yang disampaikan.

Akhirnya, masyarakat perlu sentiasa ingat bahawa tujuan utama agama adalah untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada manusia. Ia bukan alat untuk mencapai kepentingan peribadi atau menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. Dengan memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, kesucian agama terpelihara dan pada masa yang sama, membina masyarakat yang harmoni dan progresif.

Basmin Maarof

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia