Eufemisme: Nilai Komunikasi dalam Sosiobudaya Masyarakat

Eufemisme: Nilai Komunikasi dalam Sosiobudaya Masyarakat | IKRAM

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 30 Ogos 1970 dilihat sebagai satu piagam yang besar ke arah mewujudkan suasana keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ia juga bertujuan bagi menangani konflik perkauman serta membina kehidupan yang aman dan harmoni.

Rukun Negara mengandungi cita-cita dan prinsip yang murni bagi mendapat persetujuan daripada semua kaum pada masa itu. Ia juga boleh dianggap sebagai satu lagi kontrak sosial masyarakat Malaysia yang bersetuju untuk mencapai perpaduan yang lebih erat.

Kesejahteraan sesuatu kehidupan bermasyarakat serta seluruh aspek  kehidupan manusia sejak zaman dahulu lagi sehingga hari ini berkait rapat dengan komunikasi.

Komunikasi merupakan suatu medium penting yang dapat memberikan kestabilan pada sesebuah institusi kemasyarakatan, organisasi dan juga dapat memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara itu sendiri. 

Eufemisme merupakan suatu ungkapan atau kata yang lebih lembut, sopan, dan manis didengar sebagai usaha untuk menggantikan ungkapan atau kata yang lebih kasar.

Eufemisme atau bahasa halus merujuk kepada penggunaan perkataan atau ungkapan menggantikan perkataan asal yang apabila tidak digantikan, pengungkapannya boleh menyebabkan pembaca atau pendengar yang disasarkan tersinggung atau berasa tidak senang.  

Bahasa memainkan peranan penting sebagai alat komunikasi dan ciri asas sesebuah tamadun untuk membina konsep diri seseorang penutur. 

Ia juga menjadi salah satu unsur penting dalam pertumbuhan dan perkembangan tamadun manusia sebagai pandangan semesta masyarakat, sebagai pengungkapan falsafah, ilmu dan pemikiran serta alat kreativiti manusia dalam pelbagai bidang kehidupan.

Letakkan di tempat sewajarnya

Justeru, bahasa harus diletakkan di tempat yang sewajarnya bersesuaian dengan konteks pembinaan dan pemantapan sesebuah masyarakat yang bertamadun.

Sosiobudaya meliputi aspek amalan yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat. Pegangan terhadap sosiobudaya yang diwarisi menggalakkan perkembangan sosial dalam kalangan masyarakat dan membentuk sebuah identiti kelompok masyarakat.

Amalan kesantunan dalam pertuturan sukar didapati dalam kalangan golongan belia. Keadaan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan dan bercakap kasar merupakan contoh berbahasa yang dapat dilihat hari ini. (Jumiati Rosli 2009)

Ucapan terima kasih juga sukar dilihat dalam amalan masyarakat kita. Hal ini menunjukkan sikap menjaga hati dan perasaan orang yang dilawan berbicara dan pendengar kian tiada.

Kesantunan dalam pertuturan merujuk kepada pertuturan yang sopan, elok, halus dan indah serta tingkah laku yang mulia. Tindakan ini boleh dimanifestasikan melalui tingkah laku dan penggunaan bahasa seseorang individu. 

Menggabungkan komunikasi dengan nilai eufemisme, bahasa dan sosiobudaya dengan melihat kepada pengamatan orang Melayu terhadap keadaan sekeliling membolehkan mereka mencipta perlambangan berdasarkan objek yang wujud dengan tujuan berkias dan menyampaikan nasihat.

Kelakuan dan budaya masyarakat

Selain itu, peribahasa berunsurkan eufemisme yang digunakan sejak dahulu sangat berkait rapat dengan kelakuan dan budaya masyarakat Melayu. Kiasan yang digunakan semasa berkomunikasi ini jelas mencerminkan ketajaman fikiran dan kekayaan bahasa orang Melayu. 

Mari kita hayati bait lirik “Sopan-santun anak Melayu, senyum terukir, senyum terukir bila disapa” lagu Lemak Manis nyanyian Roslan Madun berjaya mencuit hati pendengar masa kini.

Bahasa yang halus, sopan dan santun atau juga dikenali sebagai eufemisme melambangkan kandungan pemikiran, sikap dan tingkah laku penutur dalam masyarakat yang bertamadun. Bahasa mampu menyatupadukan dan mencerminkan jati diri masyarakat Malaysia yang berbeza etnik. 

Hubungan kesantunan berbahasa dengan sosiobudaya berjaya dilihat melalui nilai malu, nilai menghormati dan nilai budi bahasa masyarakat Malaysia.

Menurut Clegg (2005), komunikasi  juga  bukan  hanya  dikenali  sebagai  penyampaian  maklumat  dan  idea  antara manusia, tetapi ia amat penting dalam proses menghasilkan, membentuk dan mengekalkan perhubungan dan nilai-nilai murni, budaya, sasaran dan juga bagi mencapai sesuatu matlamat komunikasi  dalam  setiap  aspek  kehidupan bermasyarakat.

Penggunaan media baharu sebagai medium menyalurkan maklumat sememangnya  mempunyai  kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Ia bergantung kepada cara dan tujuan penggunaannya sama ada memberi kesan yang positif atau negatif kepada penerima mesej atau maklumat yang disampaikan.

Tidak salah untuk menggunakan teknologi media baharu, tetapi ia harus digunakan  dengan rasa tanggungjawab dan beretika. Ia tidak harus disalahgunakan bagi tujuan kepentingan diri dengan mensensasikan  berita  yang tidak dipastikan kebenarannya semata-mata ingin memaksimumkan pelawat dan pendapat di laman atau blog peribadi.

Langley (2006) menyatakan bahawa tanpa komunikasi “seluruh aspek kehidupan kita akan runtuh.” Di sini dapat kita tafsirkan bahawa komunikasi itu amat penting bagi mengekalkan keharmonian masyarakat dan mengelakkan perbalahan sesama manusia. 

Peranan sastera 

Dalam kehidupan seharian, kita secara langsung atau tidak terlibat dalam aktiviti komunikasi yang boleh mempengaruhi orang lain dalam  masyarakat.

Sastera mampu meningkatkan keupayaan pemikiran manusia dalam pelbagai aspek untuk melahirkan generasi yang intelek, pandai mengawal emosi dan sebagainya.

Sebagai contoh, pantun dan sajak merupakan asas kepada usaha peningkatan tersebut. Konsep akal budi adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ia merupakan salah satu cara untuk membendung pemikiran yang negatif yang mampu merosakkan kehidupan seseorang individu. 

Penggunaan eufemisme dalam komunikasi sangat penting dengan ungkapan kiasan yang bergantung kepada sikap, tingkah laku, peranan dan latar masyarakat yang terlibat dalam sesuatu pertuturan.

Ungkapan kiasan ini dalam komunikasi seharian selaras dengan slogan “Budi Bahasa Budaya Kita.”

Dalam konteks masyarakat Malaysia, kesantunan berbahasa amat dititikberatkan sebagai cerminan nilai kelompok masyarakat di Malaysia. Komunikasi mampu mempengaruhi pemikiran dan juga tingkah laku seseorang.

Mesej yang disampaikan dan diterima oleh pendengar mampu memberi kesan kepada pemikiran, mencorak sikap penerima dan akhirnya memberi tindak balas positif atau negatif.

Maka berhati-hatilah dalam berbicara kerana gula dan garam terlihat sama tapi berbeza rasanya. 

“Sehebat mana kau berilmu dan maju, jangan sesekali lupa budi bahasamu pada setiap masa.” 

Mari kita fikirkan bersama!

 

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & 
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia