Bukti tentang kebangkitan semula ada di sekeliling manusia. Pada alam langit dan bumi. Pada tanah landai dan gunung-ganang yang terkandung khazanah dan rezeki. Pada kebun-kebun dan biji-bijian yang menumbuhkan pelbagai jenis tanaman.
Pada umat-umat terdahulu yang ingkar dan mendustakan hari kebangkitan. Umat-umat yang Allah telah musnahkan dengan kekuasaan-Nya. Pada penciptaan manusia, pengetahuan manusia dan segala hal ehwal dirinya.
Allah pasti membangkitkan semua manusia di hari yang dijanjikan. Dengan tiupan sangkakala. Manusia semua berbondong-bondong ke mahsyar. Setiapnya bersama malaikat pengiring dan malaikat saksi. Dan ditentukan syurga dan neraka.
Demikian antara yang dibincangkan oleh Ustazah Dr Sofiah Samsudin dalam program Bicara Wanita: Kuliah Tafsir Surah Qaf: Bahagian kedua yang diadakan pagi tadi di Surau Darul Falah, Gombak. Ustazah Sofiah Samsudin merupakan pensyarah di Kuliyyah Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, UIAM.
Program yang dihadiri oleh 21 orang peserta ini dijadualkan bersambung ke Bahagian Tiga pada 17 Jun 2016. Program ini merupakan program bulanan anjuran bersama Surau Darul Falah dan Wanita IKRAM Daerah Batu.