Muar, 11 Jun 2022 – Majlis Penyampaian Baucar Cermin Mata & Sumbangan Usahawan Muda telah berlangsung di Pejabat IKRAM Muar. Majlis ini adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia Kawasan Muar & Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.
Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran beserta terjemahan. Kemudian diiringi dengan ucapan ringkas oleh YDP Pertubuhan IKRAM Malaysia Kawasan Muar iaitu Cikgu Norhan bin Ahmari. Mengisi acara utama, majlis diteruskan dengan ucapan Yang Berhormat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula disusuli dengan penyampaian baucar dan sumbangan. Baucar cermin mata bernilai RM500 seorang (anggaran) diserahkan kepada 11 orang pelajar sekolah menengah daerah Muar. Mereka merupakan golongan keluarga B40 yang kurang berkemampuan.
Sumbangan untuk usahawan muda berupa cek bernilai RM2,500 pula telah disampaikan kepada dua orang Usahawan Tani. Amin Khalili bin Alias dan Mohd Salman bin Sakijan. Mereka mengusahakan tanaman sayur seperti cili, terung dan serai. Slot motivasi bersama saudara Amin dan Salman diharapkan dapat mendorong para pelajar di bangku sekolah agar terus gigih belajar. Semoga usaha kecil ini mendorong kejayaan yang besar buat mereka dan diberkati Allah.






