Telah banyak sumber daya bumi diambil dan dieksploitasi atas keperluan ekonomi. Dengan ini banyak kerosakan berlaku seperti penipisan lapisan ozon, kepupusan spesis, pemanasan global, penyahhutanan, dan pencemaran sungai, laut, udara dan tanah yang memerlukan tindakan pemuliharaan yang proaktif daripada semua pihak.
Kesemua tragedi ini diibaratkan seperti kepingan-kepingan puzzle yang sama iaitu ‘pertembungan antara kemajuan peradaban seluruh dunia dan sistem ekologi bumi’.
Pertembungan ini berlaku disebabkan oleh tiga perubahan besar dari segi hubungan kita dengan bumi. Pertama, pertambahan bilangan penduduk dunia yang meningkat secara mendadak.
Kedua, revolusi ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang telah meningkatkan kemampuan kita untuk memanipulasi alam semula jadi dan memberi impak kepada dunia.
Dan ketiga, cara berfikir tentang hubungan kita dengan alam sekitar yang telah berubah (malangnya bukan ke arah yang lebih baik) kerana kita telah menerima tekanan modenisasi yang kuat untuk menafikan tanggungjawab untuk menanggung akibat pada masa hadapan hasil tindakan kita sekarang.
Persidangan PBB pertama mengenai Persekitaran Manusia yang diadakan di Stockholm, Sweden pada tahun 1972 membangkitkan kesedaran global mengenai keperluan bagi semua aktiviti pembangunan untuk patuh kepada peraturan dasar ekologi yang jelas.
Turut dinyatakan bahawa selagi kemiskinan yang berleluasa berlanjutan, tidak akan ada harapan untuk mencapai keharmonian antara manusia dan alam sekitar. Di sini, kita dapat lihat bahawa wujudnya ‘kesalingterkaitan’ antara ekologi dan ekonomi.
Dalam hal ini, kita perlu mencari perdamaian antara kepentingan pemeliharaan alam sekitar bagi jangka masa panjang dan keperluan mendadak yang memaksa pembangunan bagi memenuhi keperluan asas manusia. Untuk mencapai hasrat yang dinyatakan, keutamaan harus diberikan pada aspek praktikal dan juga sosioetika.
Amatlah sukar untuk mempertahankan dunia dan alam sekitar khususnya bagi jangka masa panjang bila mana 20 peratus penduduk menggunakan lebih daripada 80 peratus sumber yang sedia ada. Kedua-dua persekitaran dan pembangunan tidak akan dapat dikekalkan dan dijaga melalui kemiskinan dan perut yang lapar.
“Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Quran, 45:13)
Kita mengakui bahawa persekitaran yang baik adalah kondusif untuk sebarang pembangunan, tetapi tidak dilupakan juga bahawa pembangunan yang baik pasti dapat mengekalkan dan memelihara persekitaran.
Menurut petikan ayat Al- Quran di atas, jelas menunjukkan bahawa kita tidak dilarang bahkan dipermudahkan dan digalakkan untuk memanfaatkan hasil bumi.
Namun, eksploitasi melampau dari segi fizikal dan intelektual, gerakan sains dan teknologi secara membuta tuli tanpa tujuan spiritual dan teleologi, dan pembaziran sumber terbukti telah menyumbang kepada keadaan krisis semasa.
Pada dasarnya, corak pembangunan memainkan peranan penting dalam menentukan masalah alam sekitar di negara maju dan negara-negara membangun. Di negara maju, kebanyakan masalah muncul disebabkan oleh perkembangan saintifik dan teknologi yang maju tetapi kekurangan pembangunan dan kemajuan menjadi pemangkin kepada masalah persekitaran di negara-negara yang masih membangun.
Namun di sini, titik persamaan yang kita kongsi adalah sebuah persoalan, “Bagaimana untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup manusia dan dalam masa yang sama meminimakan kemerosotan alam sekitar secara fizikal?”
Masyarakat mula keliru apabila muncul beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut beberapa projek mega yang secara zahirnya dimaklumkan akan memberi manfaat kepada rakyat dan dapat memangkin ekonomi tempatan, supaya dibatalkan atau dikaji semula.
Projek-projek tersebut antaranya East Coast Rail Line (ECRL), projek tambak laut di selatan Pulau Pinang, pengeluaran hasil hutan secara besar-besaran daripada beberapa Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penyahhutanan HSK bagi tujuan pembangunan.
Tindakan ini seolah-olah menentang sebarang kegiatan pembangunan dan bersifat mundur. Namun dalam konteks ini, apa yang cuba disampaikan ialah kerugian yang akan diterima akibat kemusnahan ekosistem dan perubahan topografi adalah lebih tinggi daripada keuntungan yang dijangka.
Tragedi banjir akibat tiada sistem tadahan hujan alami daripada hutan yang telah digondol mampu mengakibatkan kerugian sehingga RM2 bilion setiap kali musim hujan.
Tanah runtuh akibat pembangunan di lereng bukit telah meragut 48 nyawa dalam tragedi keruntuhan Highland Tower pada tahun 1993.
Selain itu, kegiatan pembalakan dan penyahhutanan di kawasan HSK telah menimbulkan konflik antara manusia dan hidupan liar seperti kemusnahan kawasan ladang akibat gangguan haiwan liar dan serangan fizikal terhadap komuniti setempat oleh haiwan liar yang kehilangan habitat asal, yang mampu mengakibatkan kecederaan dan kematian.
Ini belum termasuk lagi dengan kes kemalangan jalan raya yang melibatkan haiwan-haiwan terlindung seperti harimau Malaya, tapir dan gajah.
Kesimpulannya, konservasi dan preservasi terhadap ekosistem bukanlah semata-semata untuk melindungi haiwan-haiwan liar dan pokok sahaja, namun kita harus sedar, kesan terhadap kemusnahan ekosistem juga akan memberi impak terhadap sosial, ekonomi dan budaya masyarakat tempatan.
Namun pada masa yang sama, kita tetap perlu menyokong mana-mana pembangunan yang bersifat lestari. Lestari ini bukan hanya pada nama, tetapi juga dari segi ketelusan yang bebas daripada korupsi dan manfaat yang dapat diberikan, kepada taraf hidup manusia, keberterusan ekonomi dan juga pemeliharaan alam sekitar.
Nizam Rahman
Aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia
Delegasi Malaysia bagi ASEAN + 3 Youth Environmental Forum 2019