Jumaat lepas, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.
Ekonomi MADANI adalah satu perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor dan aspek ekonomi untuk menstruktur semula ekonomi agar Malaysia menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.
Langkah-langkah Ekonomi MADANI meliputi pemacuan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif, berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global.
Ekonomi MADANI menetapkan tujuh (7) penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun, antaranya ialah untuk menjadikan Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.
Ekonomi MADANI menyasarkan agar peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan (sebagai rujukan, sasaran RMKe- 12 adalah 40 peratus menjelang 2025), kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.
Penanda-penanda aras ini adalah kritikal sebagai panduan utama oleh semua pihak, sama ada sektor awam, industri, sektor pendidikan dan lain-lain. Hal ini dinyatakan dengan jelas sebagai pendekatan Ekonomi MADANI, iaitu pendekatan seluruh Malaysia yang melibatkan rakyat, kerajaan dan industri.
Sehubungan dengan itu, komitmen dan fokus yang terbaik dan konsisten adalah diperlukan daripada semua pihak agar Malaysia dapat mencapai status negara yang maju dan makmur untuk kebaikan semua.
Ekonomi MADANI bersifat terangkum untuk menangani isu kemiskinan dan jurang pembangunan antara wilayah serta mewujudkan ekosistem yang kondusif dengan nilai tambah yang mampu mencipta peluang pekerjaan berkualiti.
Ekonomi MADANI turut memberi perhatian kepada isu-isu dan cabaran-cabaran semasa termasuk yang berkait dengan kos sara hidup dan keselamatan sosial.
Sedia maklum, penstrukturan semula ekonomi Malaysia adalah kritikal untuk mengeluarkan Malaysia daripada perangkap pendapatan pertengahan (middle-income trap) yang melanda negara setelah lebih dua dekad.
Melalui kestabilan politik, strategi yang tepat dan usaha yang dilipat ganda, diharapkan agar Ekonomi MADANI dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan seterusnya semua dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera.
Untuk menangani masalah struktur ekonomi yang melanda, langkah pembaharuan yang serius dan drastik diperlukan. Lonjakan inovasi dan produktiviti melalui usaha pembangunan yang holistik diperlukan untuk menjadikan Malaysia satu kuasa ekonomi yang bersifat inklusif untuk semua.
Untuk memacu inovasi dan persaingan, Ekonomi MADANI akan menambah baik ekosistem inovasi dan modal teroka di samping menggalakkan orientasi eksport sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ekosistem inovasi yang kondusif dapat diwujudkan apabila ia dipacu secara bersama oleh kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan dan rakyat secara keseluruhannya.
Pada masa yang sama, usaha memacu inovasi dan produktiviti perlu berlaku seiring dengan komitmen Ekonomi MADANI untuk menghapuskan ketirisan dan memerangi budaya rasuah. Hal ini menuntut kepada perubahan nilai oleh semua pihak, sebagaimana disebut dalam ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim:
“Pembangunan ekonomi memerlukan dukungan the right culture atau budaya yang tepat. Ia memerlukan dukungan etos kerja yang kuat, nilai motivasi serta moral yang tinggi.”
Ekonomi MADANI juga menekankan ekonomi berasaskan sedekah. Dalam ucapannya, Perdana Menteri menggesa agar kewangan Islam perlu berubah kepada suatu yang lebih mampan dan berkesan dengan berhijrah daripada Halal kepada Halal dan Tayyib.
Industri dan ekosistem kewangan Islam termasuk lembaga zakat dan wakaf, sistem perbankan dan pasaran saham Islam dan sukuk mempunyai peranan besar untuk mencapai hasrat ini.
Seiring dengan inisiatif kewangan sosial Islam yang dinyatakan dalam Ekonomi MADANI, IKRAM telah melaksanakan kajian awal sistem ekonomi yang berasaskan sedekah yang menyeluruh (sistemik) dan tersusun (sistematik) pada tahun 2022.
Inisiatif ini adalah ikhtiar IKRAM untuk mengembangkan sistem patuh syariah dengan memupuk kegiatan ekonomi yang berasaskan perkongsian keuntungan dan risiko secara saksama, serta aktiviti perdagangan yang tulen.
Sistem ekonomi berasaskan sedekah menekankan kepada budaya dan nilai-nilai murni dalam masyarakat serta semua pemegang taruh. Budaya menyumbang (filantropi) perlu disemarakkan dalam kalangan masyarakat dan industri.
Selain sumbangan wajib seperti zakat dan cukai, mereka yang berkemampuan perlu memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan mereka, seperti memberi hutang tanpa riba, bantuan kewangan atau harta benda, pengguguran tuntutan atau pengurangannya, waqaf, inisiatif taawuni, takaful dan lain-lain.
Budaya ini penting untuk mewujudkan negara yang makmur dengan agihan kekayaan yang saksama, di samping mengurangkan beban fiskal kerajaan yang kini menanggung hutang mencecah RM1.5 trilion.
Ikhtiar yang dilaksanakan IKRAM ini adalah bertujuan untuk mencari solusi kepada pelbagai isu dan permasalahan ekonomi yang melanda negara.
IKRAM mengalu-alukan sebarang kerjasama dan kolaborasi dengan mana-mana pihak dalam usaha untuk merealisasikan impian ini dan memacu ke arah tercapainya matlamat Ekonomi MADANI.
Mohammad Abdul Hamid
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Foto: The Star