Dua Insiden Tembakan Kejutkan Serbia: 17 Terkorban

Dua Insiden Tembakan Kejutkan Serbia: 17 Terkorban | IKRAM

Serbia telah digemparkan dengan dua insiden tembakan berasingan pada 3 dan 4 Mei lepas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, dan negara itu telah berkabung selama tiga hari menandakan penghormatan kepada mangsa. 

Tragedi ini melibatkan pembunuhan beramai-ramai di sebuah sekolah di ibu negara pada Rabu dan amukan di luar bandar keesokannya.

Kali terakhir kejadian tembakan rambang berlaku adalah pada 2013 melibatkan seorang veteran perang  yang membunuh 13 orang di Velika Ivanca, iaitu sebuah pekan yang terletak kira-kira 25 batu di selatan ibu kota, Belgrade

Dua Insiden Tembakan

Tembakan pada Khamis telah berlaku berhampiran bandar Mladenovac, yang mana suspek berusia 21 tahun telah melepaskan tembakan awal ke arah halaman sekolah di kampung Dubona sehingga membunuh seorang pegawai polis dan kakaknya berserta mangsa-mangsa yang lain.

Lelaki tersebut melarikan diri sebelum ditemui polis beberapa jam kemudian di rumah saudaranya pada awal pagi Jumaat.  Suspek yang ditangkap didapati memiliki empat bom tangan serta sejumlah besar senjata dan peluru haram.

Sebelumnya, berlaku tembakan di sekolah rendah Vladislav Ribnikar di tengah Belgrade melibatkan suspek berusia 13 tahun yang menggunakan senjata api milik bapanya dalam kejadian tersebut.

Polis berkata, remaja tersebut telah merancang serangan Rabu lepas selama sebulan, lengkap dengan lakaran bilik darjah dan senarai pelajar-pelajar yang ingin dibunuh. 

Remaja itu mencederakan enam pelajar lain dan seorang guru sebelum menghubungi polis sendiri dengan mengatakan, “Saya seorang psikopat dan perlu bertenang,” menurut ketua polis Belgrade, Veselin Milic.

Milic mengatakan, suspek telah membawa dua senjata api dari rumahnya dan mengetahui cara menggunakan senjata tersebut ketika mengikuti bapanya melakukan latihan tembakan sasaran.

Senjata tersebut telah disimpan dalam peti yang dikunci dengan kod keselamatan. Suspek didapati membawa empat Molotov cocktail (bom botol) bersama di dalam beg galasnya. 

Undang-undang Senjata

Menurut undang-undang Belgrade, suspek yang berusia 13 tahun tidak boleh disabitkan kesalahan jenayah kerana masih di bawah umur dan sedang diberikan penilaian psikiatri.

Undang-undang semasa mengenai pesalah juvana menyatakan bahawa kanak-kanak bawah umur mestilah sekurang-kurangnya 14 tahun untuk didakwa secara jenayah. 

Serbia mempunyai undang-undang senjata api yang ketat, namun rantau Balkan adalah antara wilayah dalam senarai teratas di Eropah dalam pemilikan senjata api per kapita. 

Menurut kumpulan penyelidikan Small Arms Survey, kira-kira 39 daripada 100 orang rakyat Serbia berserta seluruh wilayah Balkan memiliki senjata api [1].

Serbia masih dibanjiri dengan senjata termasuk senjata gred tentera di tangan persendirian yang tersisa daripada peperangan tahun 1990an yang memecahkan Yugoslavia kepada beberapa negara.

Menteri Letak Jawatan

Susulan kejadian ini, pihak polis menggesa orang ramai untuk menyimpan senjata mereka dalam tempat berkunci dan menjauhkannya daripada capaian kanak-kanak.

Pakar di negara itu telah berulang kali memberi amaran terhadap bahaya kewujudan senjata di negara itu yang masih banyak menimbulkan unsur perpecahan. 

Penjenayah perang yang  telah disabitkan kesalahan diraikan dalam saluran TV dan keganasan terhadap kumpulan minoriti sering tidak dihukum.

Mereka turut mengaitkan kejadian ini dengan ketidakstabilan selama berdekad-dekad ekoran daripada konflik sejak tahun 1990an serta kesulitan ekonomi  yang dialami secara berterusan.

Berikutan tragedi tembakan yang mengejutkan ini, Menteri Pendidikan Serbia, Branko Ruzic meletakkan jawatan. 

“Sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab dan dibesarkan dengan baik, seorang profesional dalam memenuhi semua tugas awam setakat ini, seorang ibu bapa dan juga sebagai warga Serbia, saya membuat keputusan yang rasional untuk meletakkan jawatan,” kata Ruzic dalam surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Serbia, Ana Brnabic.

Rakyat Tunjuk Perasaan

Puluhan ribu rakyat Serbia berhimpun di ibu kota Belgrade Isnin lalu, memenuhi jalan raya bagi menuntut keselamatan yang lebih baik, pengharaman berunsur keganasan di media dan perletakan jawatan Menteri yang penting. Protes yang sama telah diadakan di beberapa bandar Serbia yang lain.

Penunjuk perasaan dan penyokong pembangkang menuntut stesen TV dan tabloid yang mempromosikan kandungan ganas ditutup. Mereka juga mahukan pengharaman akhbar pro-kerajaan yang kerap mencetuskan ketegangan yang mensasarkan pihak lawan politik yang tidak sehaluan.

Penunjuk perasaan turut menuntut sidang parlimen tergempar dan perbahasan tentang keadaan keselamatan keseluruhan.

Lanjutan daripada kejadian ini, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah dalam usaha mencegah keganasan di sekolah dan mengurangkan bilangan senjata yang dipegang oleh orang awam. 

“Akan ada keadilan. Raksasa ini tidak akan pernah melihat cahaya hari, sama ada raksasa kecil mahupun raksasa kecil yang lebih tua,” kata Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, sambil melabelkan perbuatan ini sebagai serangan pengganas. Beliau mencadangkan kawalan senjata baharu yang ketat.

Vucic mencadangkan moratorium ke atas permit senjata tanpa mengira jenis senjata. Beliau juga mengumumkan semakan permit senjata sedia ada dan mengadakan pemeriksaan perubatan dan psikologi yang lebih kerap terhadap pemilik senjata. 

Menurutnya, kerajaan juga akan mengambil 1,200 pegawai polis baharu bagi meningkatkan sekuriti di sekolah.

Polis Serbia pada Isnin lalu mengumumkan pengampunan sebulan kepada mereka yang menyerahkan senjata haram. Mereka melaporkan 1,500 senjata telah diserahkan pada hari pertama operasi. 

Reaksi Pakar

Pakar psikologi klinikal, Branka Kordic memberitahu media Al Jazeera bahawa para belia di negara itu telah membesar dalam persekitaran yang tidak sihat kerana masyarakat menawarkan mereka perkara-perkara yang salah.

“Moral sivik tidak wujud iaitu menghormati dan mengambil berat terhadap orang lain. Ia adalah mengenai pembohongan, menipu di mana sahaja anda pergi dan anak-anak membesar dalam lingkungan nilai negatif ini,” katanya.

“Cukuplah untuk anak-anak melihat parlimen kita. Ahli Parlimen meludah, menjerit menghina dan kanak-kanak menonton rancangan TV realiti yang mengerikan ini. Dan kemudian kita bertanya kepada diri sendiri bagaimana ini berlaku? Kita patut terkejut kerana ia tidak berlaku lebih awal.” ujarnya lagi.

Kordic berkata, daripada semua langkah yang diumumkan, tiada larangan ke atas sebarang rancangan bermasalah.

“Rancangan realiti yang mengerikan dan menjijikkan ditunjukkan seperti Zadruga. Apa gunanya mengawal senjata apabila kita membesarkan anak-anak kita di bawah taraf maruah manusia?” selar Kordic.

Mengulas lanjut, Kordic berkata, “Guru telah berkata mereka tidak tahu cara untuk menguruskan kanak-kanak yang agresif. Semua orang memerlukan bantuan, tetapi bantuan tidak datang dari mana-mana. Semuanya telah dipolitikkan,” kata Kordic.

Pakar psikologi, Marina Nadejin Simic memberitahu media Al Jazeera bahawa sistem pendidikan Serbia memerlukan pembaharuan dan sistem kesihatan perlu memberi lebih perhatian kepada kesihatan mental golongan muda.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sumber: 
[1] Estimating global civilian – Held firearms numbers
[2] Al Jazeera, Reuters, CNN

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia