Dalam nadwah yang bertemakan “Islam dan Kenegaraan”, beliau menjelaskan konsep Fiqh al-Muwatanah (Fiqh Kewarganegaraan) iaitu fiqh tentang isu-isu berkaitan warga sesebuah negara dan hubungannya dengan negara tersebut menurut perspektif Islam dan syariah.
“Ia lahir daripada ikatan sosial antara warga sesebuah negara dan negara tersebut, hubungan kesetiaan, perkongsian dan pertanggungjawaban antara satu sama lain dalam semua suasana,” tambah beliau.
Menurut beliau, berdasarkan Fiqh al-Muwatanah, setiap orang yang dianggap warganegara dalam sesebuah negara Islam mempunyai hak yang sama rata, sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim, dan tidak ada warganegara kelas kedua atau kelas ketiga. Malahan, kaum Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w juga dianggap sebagai warganegara dan sebahagian daripada umat oleh Rasulullah s.a.w.
Jelas beliau, setiap warga sesebuah negara diberi hak yang sama rata, namun hak yang sama rata juga datang dengan tanggungjawab yang sama yang mesti dipikul oleh warganegara tersebut, yang mengambil salah satu prinsip yang menjadi asas fiqh kewarganegaraan iaitu:
“Memberi mereka hak seperti hak bagi umat Islam dan ke atas mereka tanggungjawab seperti tanggungjawab atas umat Islam.”
Dalam konteks Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya sedang majoriti rakyatnya orang-orang Islam, maka Fiqh al-Muwatanah (فقه المواطنة) menjadi amat penting, yang menyentuh dan menjawab kedudukan seluruh warganya, Muslim dan bukan Muslim, hak dan tanggungjawab mereka kepada negara dan sesama mereka.
Menurut Dr Parid, secara prinsip, semua warganegara adalah sama. Namun, jika terdapat perbezaan dalam mendapatkan hak, perbezaan itu adalah berdasarkan keperluan individu kerana faktor fizikal, keupayaan, sosio-ekonomi dan juga geografi. Namun, kelebihan yang diberikan mestilah tidak mengambil hak warganegara yang lain. Setiap warganegara berhak mendapatkan hak dalam pendidikan, ekonomi, kesihatan, dan politik yang sama berdasarkan polisi-polisi kerajaan.
Prinsip-prinsip yang dibangunkan oleh Fiqh al-Muwatanah ini selaras dengan semangat dan pengajaran daripada peristiwa Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiyyah, Khutbah Wida’ Rasulullah s.a.w dan juga berdasarkan perjanjian antara rakyat bukan Muslim dengan negara Islam.
Secara jelas, berdasarkan Piagam Madinah, Rasulullah s.a.w meraikan kepelbagaian bangsa, agama dan latar belakang warga Madinah yang tinggal bersama. Setiap kelompok daripada warga Madinah diraikan dengan tugas-tugas dan tanggungjawab yang sama dalam membangunkan negara kota tersebut, boleh menjadi panduan kepada umat Islam dalam kehidupan bernegara.
Peserta NUNJI ’15 memenuhi Auditorium PPAS dan bilik tambahan
Hal ini menjadi dasar kepada kehidupan bermasyarakat bagi kaum Muslimin sepanjang sejarah mereka dan sepatutnya menjadi panduan untuk umat Islam pada zaman moden ini dalam menjalani kehidupan bernegara bersama masyarakat berbilang bangsa, agama dan latar belakang. Inilah konsep keadilan dan kewarganegaraan berdasarkan Fiqh Kewarganegaraan dalam Islam.
Dr Parid turut menggariskan lapan asas dalam Fiqh Kewarganegaraan yang perlu diambil kira iaitu:
1. Kerahmatan adalah misi dan risalah ar-Rasul s.a.w;
2. Kemuliaan manusia dan fungsi penyempurnaan daripada kepelbagaiannya;
3. Kemanusiaan syariah Islam yang memelihara kemanusiaan manusia;
4. Toleransi dan kebebasan beragama;
5. Tiada larangan untuk berlaku baik dan adil kepada bukan Islam yang tidak memerangi umat;
6. Menerima bukan Islam sebagai rakyat;
7. Prinsip ‘Memberi mereka hak-hak seperti hak-hak bagi umat Islam dan ke atas mereka diberi tanggungjawab seperti tanggungjawab atas umat Islam’; dan
8. Prinsip ‘Berpegang teguh kepada perjanjian, kerahmatan, dan kemanusiaan’
Selain Dr Parid, program NUNJI ‘15 anjuran Gerakan Harapan Baru (GHB) dengan kerjasama Ummah Centre ini membariskan pakar-pakar ilmuan yang menjadi pembentang kertas kerja berkaitan “Islam dan Kenegaraan” antaranya Presiden WADAH, Dato’ Dr Siddiq Fadzil dan Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Dr Wan Salim Wan Mohd serta mengundang tokoh luar negara iaitu Said Muhammad Ferjani, mewakili Parti An-Nahdhah dari Tunisia pimpinan Rached Ghannouchi.
Forum turut diadakan bagi mengupas topik “Mengasaskan Politik Rahmatan Lil ‘Alamin Untuk Malaysia: Peranan Ulama’, Umara’ dan Ummah” dengan menampilkan dua panelis iaitu Timbalan Presiden IKRAM, Ustaz Hasanudin Mohd Yunus dan Ketua Wanita GHB, YB Dr Siti Mariah Mahmud.
NUNJI ‘15 yang julung kali diadakan disertai lebih 500 hadirin yang terdiri daripada para ulama’, asatizah serta pemikir Islam bagi membincangkan langkah awal mendapatkan input bagi merangka satu gambaran fiqh tempatan bagi Malaysia.