Dewan Perwakilan Nasional (DPN) ke 8 Sesi 2014-2018 yang bersidang pada hari ini 20 Februari 2016 telah meluluskan pindaan Undang-undang IKRAM bagi memansuhkan syarat umur 30 tahun bagi menjadi anggota Jawatankuasa Negeri (JKN) dan syarat umur 25 tahun bagi menjadi anggota Jawatankuasa Daerah (JKD). Pindaan ini melibatkan masing-masing Fasal 28.3 dan Fasal 31.
Walaubagaimanapun, syarat Ahli Teras bagi menjadi anggota JKN dan Ahli Teras atau Ahli Aktif bagi menjadi anggota JKD terus kekal.
Pemansuhan had umur ini bertujuan memberi peluang kepada orang muda untuk turut terlibat menganggotai JKN dan JKD bagi turut sama menggerakkan aktiviti IKRAM di peringkat Negeri dan Daerah.
Pada sidang yang sama, DPN juga telah meluluskan pindaan-pindaan bagi menambah bilangan anggota JKN yang membolehkan Majlis Perwakilan Negeri (MPN) memilih tidak lebih daripada 8 orang anggota JKN (berbanding 7 sekarang) dan YDP Negeri boleh melantik tidak lebih daripada 7 orang (berbanding 4 orang sekarang).
Manakala di peringkat daerah, pindaan dilakukan bagi membolehkan Mesyuarat Agung Daerah (MAD) memilih tidak lebih daripada 8 orang anggota JKD (berbanding 5 sekarang) dan YDP Daerah boleh melantik tidak lebih daripada 7 orang (berbanding 4 orang sekarang). Pindaan-pindaan ini melibatkan Fasal 28.5.7 dan Fasal 28.5.8 serta Fasal 31.3.7 dan Fasal 31.3.8.
Pindaan-pindaan ini akan dimajukan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan sebelum ia berkuatkuasa.
Pindaan-pindaan bagi menambah bilangan anggota JKN dan JKD dibuat bagi memperkukuhkan perjalanan JKN dan JKD, insyaa-Allah.
Hj Nahar Md Nor
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia