SHAH ALAM – Pengundi di Malaysia perlu dididik untuk memilih ahli Parlimen atau wakil rakyat yang benar-benar berkualiti, kompeten dan berintegriti sebagai salah satu usaha reformasi pilihan raya.
Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin berkata, ahli Parlimen yang menonjolkan sifat-sifat tersebut diyakini mampu meningkatkan mutu perbahasan dalam Parlimen.
“Pendidikan pengundi penting supaya mereka memilih wakil yang kompeten dan berintegriti tinggi, bukannya yang menyogok duit atau hanya pandai senyum untuk mengambil hati, tetapi yang boleh membawa aspirasi dan suara rakyat ke dalam Parlimen.
“Kita perlukan ahli Parlimen yang kompeten yakni boleh menguasai subjek tentang isu semasa, antarabanga, rajin membaca dan petah serta pandai memberikan hujah.
“Bukan hanya berbahas dengan emosi tetapi berdasarkan fakta dan dalil yang sahih supaya perbahasan tersebut menjadi lebih mendalam serta memberi kesan kepada penggubalan dasar polisi yang boleh membawa masyarakat dan negara ke mercu lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Reformasi Parlimen Penentu Kestabilan Negara’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis ialah Mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut tentang reformasi pilihan raya, Badlishah Sham menjelaskan, negara perlu melaksanakan penguatkuasaan tentang had belanja oleh calon dalam pilihan raya.
Sumber: Sinar Harian (4 November 2021)