Sesibuk-sibuk ibu bapa dalam melaksanakan jadual kehidupannya, mereka tidak dapat lari daripada menunaikan tanggungjawabnya dalam mendidik anugerah terindah, kurniaan Allah iaitu insan yang bergelar anak.
Sedari kecil, sewajarnya ibu bapa mendidik anak dengan sebaiknya, mengajarkan akidah, akhlak dan pelbagai kewajipan ibadah. Hakikatnya, pendidikan yang sebenarnya adalah bermula daripada rumah dan bukanlah bermula di sekolah. Mendidik anak adalah bermula daripada lingkungan keluarga, di rumah sendiri.
Dalam kitab al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah (13: 11) disebutkan:
“Ibu bapa serta seorang wali daripada seorang anak hendaklah mengajarkan sejak awal lagi apa yang diperlukan oleh anak ketika ia mencapai usia baligh. Hendaklah anak sudah diajarkan akidah yang benar beriman kepada Allah SWT. Begitulah pula hendaknya anak diajarkan ibadah yang benar. Anak semestinya diarahkan untuk memahami kewajipan solat, puasa, bersuci dan seumpamanya.”
Perintah yang disebutkan di atas adalah bersesuaian sebagaimana sabda Rasulullah SAW. Daripada Amr bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya RA, beliau meriwayatkan bahawa SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِى الْمَضَاجِعِ
“Perintahkan anak-anak kamu untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh (7) tahun. Pukullah mereka jika tidak mengerjakannya ketika mereka berumur 10 tahun. Pisahkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud)
Perintah mengajak anak untuk solat diutamakan. Pada masa para sahabat, mereka juga mendidik anak-anak untuk berpuasa. Mereka sengaja memberikan mainan kepada anak-anaknya supaya sibuk bermain ketika mereka rasakan lapar sehingga anak-anaknya terus sibuk bermain hingga waktu Maghrib tiba.
Peranan ibu bapa amatlah penting untuk membentuk anak-anak iaitu generasi muda sekarang yang terdedah kepada gejala negatif luar kawalan yang mana jika tidak dicegah, akan mendatangkan kemudaratan yang serius kepada mereka dan institusi keluarga.
Fahamkan tentang perkara agama
Dalam kitab itu juga (al-Mawsu’ah) menyatakan:
“Hendaklah anak juga diperkenalkan haramnya zina dan liwat, juga diterangkan mengenai haramnya mencuri, meminum arak, haramnya dusta, mengumpat dan maksiat seperti itu. Sebagaimana pula diajarkan bahawa jika sudah baligh (dewasa), maka seorang anak akan dibebankan pelbagai kewajipan, dan diajarkan pula kepada anak setelah ia baligh.”
Perintah untuk mendidik anak di sini berdasarkan ayat:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim: 6)
Sebagaimana disebutkan dalam Tafsir Ibnu Katsir (7: 321), Saidina Ali RA mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah: “Beritahukanlah adab dan ajarilah keluargamu tentang Islam.”
Rasulullah SAW pernah mendidik Umar bin Abi Salamah RA mengenai adab makan yang benar. Beliau berkata pada Umar:
يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
“Wahai anak kecil, sebutlah nama Allah (bacalah bismillah) ketika makan. Makanlah dengan tangan kananmu. Makanlah yang ada dekatmu.” (HR Bukhari [5376] | Muslim [2022])
Kita semua punya peranan
Selain itu, jiran tetangga dan masyarakat perlulah memainkan peranan mereka dalam menasihati kehidupan anak-anak ini.
Sebagai contoh, apabila melihat seorang anak (walaupun bukan anaknya) yang melakukan perbuatan yang tidak baik seperti memukul kucing, mereka perlulah menyapa dan menasihatinya, agar perkara yang kecil itu dapat ditanganinya dengan baik.
Jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda sekarang, kebanyakannya adalah disebabkan oleh kelonggaran ibu bapa dalam mengawal tingkah laku serta perhubungan anak-anak mereka.
Memanglah banyak faktor yang mendorong kepada permasalahan ini antaranya peranan masyarakat. Ketika melihat anak-anak muda itu melepak dan melakukan perbuatan yang tidak baik, wajarkah ia dipandang sahaja dengan pandangan yang seolah-olah tidak nampak apa yang berlaku?
Tentunya tidak boleh begitu. Sewajarnya kita sebagai ahli masyarakat mengambil sikap peduli “anak engkau juga anak aku”. Maka dari situ, kekuatan untuk menyantuni anak-anak yang bermasalah itu dapat dilakukan.
Pantau pergerakan anak-anak
Di rumah, ibu bapa perlulah menjadi model peranan (role model) utama untuk dicontohi anak-anak mereka terutama dari segi mengamalkan adab dan sopan, gaya hidup sihat dan tidak terkecuali sentiasa berbuat kebaikan.
Namun kini, ramai dalam kalangan ibu bapa yang menunjukkan perlakuan buruk yang boleh mempengaruhi pemikiran dan tumbesaran anak-anak seperti menghisap rokok, meminum minuman keras, menagih dadah, bersikap ganas, malas dan sebagainya.
Justeru, ibu bapa perlulah memantau pergerakan anak-anak sedari awal mereka pandai berkawan, dengan siapa dirinya keluar dan ke mana mereka tuju. Perkara itu dilakukan bagi mengawal agar mereka tidak silap memilih rakan.
Adalah lebih baik ibu bapa mengenali ibu bapa anak-anak yang berkawan dengan anak mereka. Ia sedikit sebanyak dapat berkongsi tentang keadaan anak-anak mereka, ke mana mereka pergi dan apa yang mereka lakukan.
Iman tidak diwarisi
Ibu bapa merupakan perancang utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai hidup yang baik. Sebuah negara yang maju dan proaktif berakarkan masyarakat yang berakhlak, berilmu dan penyayang serta mengamalkan kehidupan yang baik lagi harmoni. Untuk itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya sentiasa melakukan kebaikan.
Sebagaimana kata-kata bahawa “apabila anak-anak diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab”.
Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa menjadi sumber rujukan utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Jika baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak mereka.
Namun, jelas sekali iman tidak dapat diwarisi. Akan tetapi penerapan sedari awal itu sedikit sebanyak memberikan impak yang baik buat anak-anak apabila mencecah usia remaja, belia dan selanjutnya.
Kita singkap kembali kisah Nabi Nuh yang mana anak dan isterinya tidak beriman, yang Allah lakarkan dalam al-Quran:
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.”
“Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) daripada orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” (Surah Hud: 42 – 43)
Nabi Nuh adalah kekasih dan utusan Allah SWT. Walaupun baginda seorang Nabi Allah, namun anaknya tidak beriman kepada seruannya.
Tutuplah aib saudaramu
Perkara ini juga perlu diterapkan sedari awal anak itu mengenal baik dan buruk setiap sesuatu yang dilakukan kerana ia memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan dan perhubungan sesama manusia.
Sebahagian manusia sibuk mengata, membicarakan aib saudaranya padahal ia sendiri tidak suka dibicarakan demikian. Boleh jadi orang yang diperkatakannya itu lebih mulia di sisi Allah.
Demikianlah sikap manusia yang sering kali disibukkan dengan hal yang sia-sia. Sebagaimana perumpamaan yang dapat dikaitkan dengan situasi sebegini, “Kuman di seberang laut nampak, namun gajah di depan mata tidak nampak”.
Dalam hal ini, ajarilah anak agar sentiasa membantu orang yang kesusahan, memudahkan urusan mereka dan tidak menyebarkan aib orang lain.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melepaskan kesusahan seorang Muslim daripada kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat. Barang siapa memudahkan orang yang susah, Allah akan mudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seseorang, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.” (HR Muslim)
Oleh yang demikian, mendidik anak itu perlulah dimulakan sedari awal agar ia mampu mendepani dunia luar yang akan dijelajahinya nanti. Begitu juga keluarga, jiran tetangga dan masyarakat tetap ada peranannya dalam membenteras dan menangani masalah sosial yang melanda kini.