Diari Dakwah: Setulus Syahadah di Jalan Hidayah

Penghargaan harus diberikan kepada para aktivis dakwah yang berkongsi pengalaman iaitu Zun Arif Hakim Abd Rahman (Pengurus Dakwah Ikram Pusat), Norasma Azia Mohd Yusoff (Pegawai Dakwah Hidayah Centre Pusat), Jusni Ghazali (Pengurus Hidayah Centre Pulau Pinang), Hj Wahiduddin Mohd Aris (Pengerusi JK Dakwah Ikram NS) dan Hj Muhammad Fakharuddin Abd Kudos (Pengerusi JK Dakwah Ikram Subang Jaya) serta semua mereka yang terlibat dengan aktiviti pengislaman ini.

 

[Hidayah 1] Dua datang serentak

Dua orang saudara kita telah melafazkan syahadah di Pejabat Hidayah Centre Pulau Pinang (HCPP) pada Ahad 15 April 2012 yang lalu. Saudara Jacky Lau dari Pulau Pinang dan Saudara Julianito Seremo dari Filipina seakan dirancang datang pada waktu yang sama.

Selepas berdialog kira-kira 30 minit, dan kedua-dua pihak berpuas hati, lafaz dua kalimah syahadah diajar pada kedua-duanya sekali gus. Hadiah disumbangkan oleh HCPP kepada kedua-duanya. Biarlah kita tanamkan azam untuk membimbing saudara kita sebaik mungkin.

 

[Hidayah 2] Warga Afrika kembali kepada fitrah

Seorang warga Afrika telah kembali kepada Islam pada tanggal 16 April 2012 di Hidayah Centre. Beliau bernama Abdullah Okoro (gambar bawah kiri) daripada Benin City, Nigeria, berusia 28 tahun dan masih menuntut di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.


 

[Hidayah 3] Dua peluk Islam termasuk warga Amerika

Keberkatan Jumaat telah membawa sinar Islam kepada Andrei (gambar atas tengah) daripada Amerika Syarikat yang kini bekerja di Kota Bharu, Kelantan dan Low Mun Choong (gambar atas kanan) yang bekerja di Kuala Lumpur. Sesi perkongsian tentang Islam lebih kurang jam 10 pagi di Hidayah Centre.

Bersaksikan Zun Arif, Asrulshah, Nirul dan Khairul yang telah membawa Bro Mun Choong dan beberapa orang lagi yang hadir, perkongsian berakhir dengan majlis syahadah kedua-duanya secara serentak.

 

[Hidayah 4] Hidayah seorang pembantu rumah Filipina

Pada Jumaat 20 April 2012 usai solat Asar, seorang wanita Filipina beragama Kristian Katolik telah kembali kepada agama fitrah. Nama asal beliau ialah Gloria E Montejo dan beliau kini menetap di Malaysia sebagai pembantu rumah.

Beliau diperkenalkan dengan Hidayah Centre melalui seorang saudara baru bernama Maryam yang baru lapan bulan memeluk agama Islam. Sesi pengislaman diruskan oleh Asrulshah, seorang staf Hidayah Centre. Antara yang diterangkan ialah Rukun Iman, Rukun Islam dan kebenaran al-Quran menurut kajian sains moden.

Setelah sesi penerangan sekitar 45 minit dijalankan, Gloria ditanya soalan lazim samada beliau menerima Islam ini dengan rela hati atau ada unsur-unsur paksaan. Dengan ikhlas beliau menerima Islam sebagai cara hidup yang sebenarnya atas pilihannya sendri.

Beliau berasa sangat gembira apabila dinyatakan bahawa beliau kini umpama kain putih yang bersih daripada noda dan dosa. Dosa yang diampunkan oleh Allah SWT, bukan Jesus Christ yang difahaminya sebelum ini.

Beliau diingatkan tentang peri pentingnya menuntut ilmu-ilmu Islam dan al-Quran sebagai panduan hidup, di samping bersama-sama berkongsi keindahan Islam ini dengan rakan-rakan dan ahli keluarga beliau agar mereka juga akan dapat memasuki syurga Allah bersama-sama dengan beliau.

 

[Hidayah 5] Lelaki Buddha kembali kepada fitrah

Seorang lagi lelaki berbangsa Tionghua yang beragama Buddha sebelumnya telah menemui hidayah di Hidayah Centre pada Sabtu 5 Mei 2012. Saudara Au Yeong Khai Weng @ Kevin berusia 27 tahun telah melawat Hidayah Centre kira-kira empat bulan lepas. Pada ketika itu beliau telah disantuni oleh Ikram Yeoh, sukarelawan Hidayah Centre untuk mengetahui tentang Islam dan prosidur pengislaman.

Anak ke-3 daripada tiga beradik ini telah mendapat restu ibunya untuk memeluk agama Islam. Cuma ayahnya agak tidak bersetuju dengan pengislaman beliau. Namun, beliau akan tangani ayahnya dengan baik.

Sesi penerangan dibuat dengan bantuan Ikram Yeoh, yang berkongsi pengalaman bagaimana beliau tertarik dengan Islam dan sejarah beliau diislamkan di Hidayah Centre. Ia disusuli dengan penerangan ringkas tentang konsep keesaan Allah SWT serta Rukun Iman dan Rukun Islam.

Klip video Ikram hasil kerja Hishamuddin Alham, Open your Eyes oleh Maher Zain dipaparkan mengisahkan Abu Bakar, seorang warga Australia yang memeluk Islam setelah mengkaji al-Quran tentang kekuasaan Allah melalui kajian sains.

Kevin turut dikongsikan juga ayat yang berkaitan dari surah al-Baqarah 164:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di laut dengan muatan yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkanNya bumi setelah mati (kering) dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi (semua itu) sungguh, merupakan tanda-tanda kebesaran Allah, bagi orang-orang yang mengerti.”

Apa yang menarik, beliau telah dibawa ke Hidayah Centre oleh tiga rakan yang belum pun kenal apa itu usrah, apa itu islah dan dakwah, telah melakukan suatu kerja mulia, membawa manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya Allah, tugas utama para Nabi diutuskan.

Tahniah kepada mereka yang telah menjemput rakan-rakan non-muslim ke program-program anjuran Hidayah Centre. Beliau mengekalkan nama asalnya setelah syahadah bagi mengelakkan salah faham terhadap keluarga dan mengambil hati ayahnya.

 

[Hidayah 6] Setelah syahadah, bantuan bulanan disumbang kepada Hidayah Centre

Pada 8 Mei 2012, Hidayah Centre Pusat menyaksikan seorang lagi hamba Allah kembali kepada agama fitrah. Saudara Steven @ Lam Wai Hong, seorang ahli perniagaan berusia  yang menetap di Taman Desa. Beliau mengaku sebagai seorang yang tiada agama, namun percaya bahawa adanya Tuhan yang menciptakan alam ini.

Beliau mencari-cari agama yang sebenarnya. Beliau dikurniakan seorang kawan baik, Saudara Khosim yang membawa beliau ke Hidayah Centre. Mereka telah berkenalan lebih 22 tahun. Khosim mengetahui tentang Hidayah Centre melalui pencarian di internet.

Masanya tiba Steven mengucap dua kalimah syahadah menuruti bait-bait syahadah yang diajarkan setelah mendengar sesi penerangan tentang Iman, Islam dan Ehsan. Suasana tiba-tiba menjadi begitu syahdu, dengan pendingin udara yang menyejukkan ruang udara Bilik Islah. Dua rakannya tidak dapat menahan sebak, mengalirkan air mata kerana manjadi saksi sahabatnya kini seorang Muslim.

Ketika ditanya apa perasaan Saudara Khosim? Steven pula dengan bangganya menjawab, Khosim menangis kerana terlalu gembira. Suasana ini memang sukar diterangkan dengan kata-kata, hanya mereka yang mengalami dan menyaksikan sahaja dapat merasainya.

Beliau telah ditemani untuk mendaftar keislamannya di JAWI. Kelihatan Steven ceria sahaja. Semasa mengisi borang pendaftaran di JAWI pegawai berkenaan bertanyakan nombor akaun bank untuk sumbangan kepada mualaf sebanyak RM1,500. Beliau menolak walaupun dipujuk berkali-kali.

Beliau nyatakan yang beliau akan sumbangkan kepada Hidayah Centre kerana tiada keperluan beliau untuk menerima wang tersebut. Walaupun baru sehari memeluk Islam rasa ingin menyumbang kepada Islam dan perkembangannya sudah membara.

Beliau dinasihatkan dengan pesanan oleh Syeikh Dr Jamal Syati bahawa Deen ini sangat bernilai yang tiada suatu pun yang boleh menggantikannya, terus belajar tentang Islam dan Al-Quran dan kongsikan kebaikan Islam dengan saudara mara yang belum mendapat nikmat Islam dan Iman ini. Beliau mengekalkan namanya sebagai nama Islam sebagai Lam Wai Hong.

[Hidayah 7] Siswa semester pertama mendapat hidayah

Setelah bertahun mengkaji dan membanding agama Islam dengan agama-agama lain akhirnya dengan hidayah Allah, Liew Chie Chin (gambar kiri), pelajar semester pertama sebuah kolej swasta di Seremban mengucapkan syahadah pada 9 Mei 2012 di hadapan Pengerusi JK Dakwah Ikram Negeri Sembilan, Hj Wahiduddin disaksikan oleh 10 rakan beliau. Beliau mengambil nama Nurul Husna binti Liew Teng Cheong.

Cenderahati berbentuk terjemahan Al-Quran, Buku Fardu Ain, Buku Islam Untuk Semua, telekong dan Sejadah dihadiahkan kepada beliau. Mudah-mudahan dengan usaha yang gigih dan diberkati, lebih ramai lagi pelajar Islam mengislahkan diri dan menjalankan dakwah sehingga ramai lagi yang memeluk Islam.

 

 

[Hidayah 8] Hasrat peluk Islam sejak IPT

Majlis pengislaman saudara baru telah diadakan dengan jayanya dalam suasana penuh syahdu dan kesyukuran di Pejabat Ikram Subang Jaya Putra Heights pada Ahad 13 Mei 2012. Saudara Roland Chee (gambar kanan), seorang pemuda Cina telah melafazkan syahadahnya di hadapan Tn Hj Muhammad Fakharudin, Pengerusi JK Dakwah Ikram Subang Jaya dan rakan-rakan yang lain.

Saudara Roland telah mempunyai hasrat memeluk Islam tatkala masih belajar di IPT lagi dan hasrat ini tertangguh kerana khuatir tidak mendapat kebenaran orang tua. Dengan kemasukan adiknya sendiri dalam Islam baru-baru ini telah menguatkan semula hasratnya yang mendalam untuk turut sama merasai kemanisan Iman dan Islam.

Tambahan pula, abangnya sendiri juga berhasrat untuk bersama-sama mereka dalam masa terdekat. Ibunya sendiri (walaupun masih belum Islam) telah memberi kebenaran dan kerjasama untuk beliau memeluk agama Islam yang suci ini. Semoga Allah SWT menetapkan iman dan istiqamah mereka sebagai Muslim yang sejati.

 

[Hidayah 9] Dua wanita Filipina terima hidayah

Pada Ahad 13 Mei 2012, sekali lagi Hidayah Centre menyaksikan pengislaman dua penganut Kristian hasil dakwah rakan mereka, Maryam. Mereka menemui hidayah dalam suasana penuh mahabbah disaksikan lima rakan-rakan Filipina yang lain yang telah memeluk Islam kurang daripada satu tahun. Mereka merupakan pelajar Class4Reverts Hidayah Centre yang semakin bertambah dari masa ke semasa. Hari tersebut sepatutnya adalah sesi Class4Reverts menjadi sesi pengislaman.

Rosemarie Cardend Monteves menganut Church of Christ, satu ajaran Kristian yang sangat berpengaruh di Filipina. Berusia 23 tahun, beliau bekerja sebagai pembantu rumah. Manakala, Josephine Capipin Valdev pula adalah seorang penganut Protestant berusia 52 tahun yang kini bertugas di sebuah hotel di sebagai penyambut tetamu.

Mereka akhirnya menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT setelah memahami konsep satu Tuhan dan hanyasanya Allah, Tuhan yang berhak diabdikan diri. Dalam sesi penerangan yang disampaikan, beliau dikongsikan antara lain maksud Islam yang berasal daripada perkataan Arab, Aslama bermaksud Total Surrender To Almighty Allah, Willing Subbmission To Allah, Willing Obedience to Allah.

Tidak dapat tidak, beliau diberi perbandingan dengan Kristian yang telah terpesong dengan mengangkat Nabi Isa as sebagai anak Tuhan. Bagaimana bisa Tuhan dilahirkan dan dibunuh di kayu salib? Perbicaraan juga berkisar kepada maksud ayat dari surah Al-Ikhlas Say He is God The One and Only, Allah the Self-Sufficient Master, whom all creatures need, He begats not, nor was He begotten. And there is none co-equal or comparable unto Him. Mereka mendengar dengan faham sambil tidak berhenti-henti menyalin di buku nota mereka.

Mereka ditayangkan klip video Open Your Eyes oleh Maher Zain. Josephine akui, lagu tersebut mempunyai makna yang sangat medalam. Dan dia biasa mendengar lagu tersebut daripada telefon bimbit kawannya.

Gambaran kekuasaan Allah terserlah melalui keindahan kejadian alam semesta, tertibnya jutaan planet di orbit, air terjun yang indah, lautan yang membiru, awan yang bergerak pantas, semuanya tunduk patuh kepada perintah Allah swt. Maryam bertanya usai penerangan ringkas dan tayangan video clip tersebut:

Maryam: Have you open your eyes, your heart and your mind after listening to this? Yes jawab mereka.

Maryam: Has anybody forced you to become a Muslim? No jawab mereka ringkas.

Asyhadu Alla Ilaha ILlalah, Wasyhadu annamuhammadur Rasulullah…I bear witness that there is no God to be worshiped except Allah. I bear witness that Muhammad is the last messenger of Allah.

Kedua-dua mereka serentak mengucap mengikuti ucapan yang saya tuturkan. Josephine merasai satu perubahan dalam dirinya, meremang bulu roma katanya. Allahu Akhbar!  Mereka umpama bayi yang baru dilahirkan. Bersih dari segala dosa. Penuh dengan kebaikan.

Josephine memilih nama Aisyah sempena nama isteri Rasulullah SAW manakala Rosemarie memilih nama Rajiah bermaksud penuh harapan. Mari kita doakan semoga Allah teguhkan iman mereka berdua dan kuatkan iman mereka.

 

[Cetusan Hidayah – Tugas kita]

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar. Begitu syahdu mengamati pengalaman mereka yang kembali kepada fitrah iaitu Islam. Adalah suatu nikmat yang tidak terhingga menyaksikan mereka yang mengucapkan syahadah, apatah lagi bagi mereka yang mengislamkannya. Sebagai seorang Islam atau aktivis dakwah, kita seharusnya terpanggil untuk mengaktifkan dakwah di daerah masing-masing.

Menurut Pengurus Dakwah Ikram Pusat, Saudara Zun Arif Hakim Abd Rahman, salah satu keperluan setiap JK Dakwah Ikram Daerah ialah mewujudkan Unit Pengislaman. Unit ini berfungsi untuk menguruskan pengislaman iaitu:

  • Mengadakan sesi penerangan tentang Iman dan Islam
  • Melaksanakan Syahadah
  • Urusan mendaftar pengislaman dengan Jabatan Agama Islam
  • Menyantuni saudara baru
  • Menghadiahkan reversion kit berupa sejadah, telekung, buku brief illustrated guide understanding Islam.

Dengan wujudnya unit ini, ia boleh memanjangkan pahala pengislaman ke daerah-daerah. Amat penting bagi saudara Muslim ini dilibatkan dengan kelas untuk reverts agar mereka membina iman yang teguh dalam diri mereka, insya-Allah.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia