Deklarasi Pemimpin dan NGO-NGO Pelbagai Agama Menjelang PRU15

Deklarasi Pemimpin dan NGO-NGO Pelbagai Agama Menjelang PRU15

Pemimpin agama dan NGO-NGO pelbagai agama terpanggil untuk menyatakan beberapa perkara yang kami anggap sangat perlu untuk kepentingan rakyat dan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 ini. Kami berpendapat satu pembaharuan perlu dilaksanakan segera ke atas pengendalian sistem demokrasi berparlimen berdasarkan raja berperlembagaan kita. Sebahagiannya ada dihuraikan dalam 8 deklarasi yang disebutkan di bawah.

Kami menganggarkan mewakili sekurang-kurangnya 5 juta ahli dan penyokong yang juga merupakan bakal pengundi PRU15.

Deklarasi ini akan diutuskan kepada semua Ketua parti politik yang bertanding dalam PRU15 untuk mendapat sokongan dan janji terima pakai 8 syor kami. Satu sidang media akan diadakan tiga hari sebelum hari mengundi untuk mengumumkan maklum balas dari pemimpin-pemimpin tersebut.

Kenyataan yang datang daripada gabungan agama pastinya akan menyebut keperluan untuk bertoleransi dan menghormati di antara penganut agama (dan kaum), terutamanya di tengah kempen politik yang hangat. Seperti lazimnya, kempen yang menggunakan “racial cards” atau politik identiti dan membeli undi akan digunakan untuk meraih undi.

Kajian 25 tahun “identity politics” membuktikan ada kaitan positif (positive correlation) dengan korupsi yang endemik. Korupsi dalam semua bentuk perlu dihapuskan. Satu budaya baru yang benci dan jijik kepada rasuah seperti benci dan jijik kepada dadah perlu dipupuk.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam pelancaran buku Tan Sri Dr Kamal Hassan – Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu, bertitah, rasuah di Malaysia ada pada skala bahaya, mengakibatkan pembangunan yang tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan yang tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

Walaupun agama akan sentiasa memainkan peranan utama dalam politik Malaysia, isu agama masih boleh ditangani dengan menghormati sesama insan, dan tanpa merampas, menindas atau menafikan hak sesiapa.

Deklarasi ini merujuk juga kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian hakiki Negara kita dan hak semua rakyat, termasuk Orang Asli dan Orang Asal Sarawak dan Sabah. Parti Politik dan calon-calon mesti melanggan konsep menyeluruh dan bukan semata-mata bersifat parokial atau serantau dalam komitmen mereka kepada Negara.

Deklarasi Pemimpin dan NGO-NGO Pelbagai Agama Menjelang PRU 15

Berikut adalah penegasan Deklarasi kami:

1. Kami menyeru kepada pemimpin politik negara dari semua parti, baik dari pihak pemerintah mahupun pembangkang, supaya menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Perkara ini perlu dipelihara dan dihormati memandangkan Perlembagaan Persekutuan merupakan rujukan perundangan tertinggi negara.

Undang-undang negara perlulah dihormati oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam keghairahan berkempen semasa PRU-15 nanti. Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah syarat dan keperluan kepada keamanan negara yang menjamin ketatasusilaan dan kesejahteraan masyarakat pasca PRU-15.

2. Kami menuntut agar para pemimpin politik memastikan supaya konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dikekalkan dan diamalkan dengan setulusnya. Ketiga-tiga cabang ini merupakan komponen utama yang membentuk struktur Demokrasi Berperlembagaan Negara yang perlu terus diperkasakan.

3. Kami menuntut agar berlaku pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya Negara dan Peguam Negara. Ini bagi memastikan kuasa pendakwaan bebas dari pengaruh pihak Eksekutif.

Perkara ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penumpuan kuasa mutlak hanya terletak di tangan individu atau pihak-pihak tertentu yang boleh menjurus kepada salah guna kuasa.

4. Kami menuntut semua institusi dan agensi semak imbang dan penguatkuasaan bebas, tegas dan berintegriti. Setiap ketua institusi ini perlu dilantik oleh Parlimen setelah dinilai Jawatankuasa Khas Parlimen dan dengan itu bebas dari pengaruh Eksekutif.

Hanya dengan institusi yang bebas, tegas dan adil, bahana rasuah dan salah guna kuasa dapat dibanteras dengan berkesan.  Budaya rasuah di peringkat elit dan yang berkuasa boleh dibanteras dengan adanya Akta Pendanaan Politik supaya boleh dipantau dan dikawal rapi. Begitu juga dengan penghapusan tender runding terus kecuali dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan dalam arahan Perbendaharaan.

5. Kami menyeru agar semua pihak menjunjung sebuah demokrasi yang matang, supaya rakyat yang merupakan para pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU-15 kelak. Ini akan membolehkan rakyat membuat penilaian sebaiknya dan seterusnya membuat pilihan yang terbaik, serta para pemimpin dapat melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan.

Dengan ini, semua calon dan parti perlu diberi ruang  yang cukup dalam media kerajaan dan swasta untuk menyampaikan mesej dan manifesto masing-masing kepada pengundi.

6. Kami menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus, bersih dan adil mengikut lunas-lunas undang-undang bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia benar-benar dapat diterjemahkan melalui pilihan raya ini. Salah guna aset kerajaan dalam berkempen untuk parti adalah satu kesalahan yang perlu dielak. Begitu juga usaha menabur duit rasuah politik perlu dipantau dan diambil tindakan.

7. Kami mencadangkan supaya debat terbuka diadakan segera di antara calon-calon parti-parti politik, khususnya di peringkat nasional untuk memberi peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto dan kelebihan masing-masing. Hanya dengan debat atau dialog terbuka, kebolehan dan ilmu seseorang calon boleh dinilai dengan baik. Rakyat tidak boleh di selewengkan dengan penipuan kerana ada naratif balas yang boleh menyerlahkan hakikat kebenaran.

8. Kami mengingatkan semua parti supaya berhati-hati memilih calon yang bakal bertanding serta memastikan agar  hanya calon-calon yang berintegriti dan kompeten  sahaja diketengahkan dalam pilihanraya akan datang. Pengundi perlulah menunaikan tanggung jawab menolak calon yang terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan yang mempamerkan kekayaan yang luar biasa. 

DOA DAN ASPIRASI KAMI

Kami, pemimpin dan NGO-NGO pelbagai agama seluruh negara dengan penuh harapan menyeru pengundi-pengundi PRU 15 ini untuk keluar mengundi  beramai-ramai melaksanakan tanggung jawab membuat pilihan bijak mengangkat calon-calon dan parti politik yang menyokong syor kami untuk pembaharuan segera landskap politik dan institusi semak imbang dan kuat kuasa negara di abad ke-21 ini.

Politik atau siasah adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan ke arah kebaikan rakyat, khususnya generasi masa hadapan. Memberikan keselesaan, keadilan, kesejahteraan, keselamatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat. Pembolotan khazanah dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh diterima dan dibudayakan.

Disokong oleh:

  1. Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN)
  2. The Christian Federation of Malaysia (CFM)
  3. Pertubuhan IKRAM Malaysia
  4. Malaysian Buddhist Association (MBA)
  5. Gabungan NGO Islam Negeri Sabah (CONCERN)
  6. Malaysia Hindu Sangam (MHS)
  7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  8. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
  9. Vajrayana Buddhist Council of Malaysia (VBCM)
  10. Buddhist Missionary Society of Malaysia (BMSM)
  11. Malaysia Gurdwara Council (MGC)
  12. Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawn Muslim Malaysia
  13. Pertubuhan Iqra Malaysia (PIM)
  14. Persatuan Al-Hidayah
  15. Association of Nextgen Christians of Malaysia (ANCOM)
  16. Persatuan Darul Fitrah
  17. Young Buddhist Association of Malaysia (YBAM)
  18. Research and Information Centre On Islam (RICOI)
  19. INSAF
  20. Sabah Islamic Future Network (SIFN)
  21. Malaysian Buddhist Bhikkhuni Association (MBBA)
  22. Persatuan Promosi Harmoni Malaysia
  23. Persatuan Sasana Abhiwurdhi Wardana
  24. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  25. Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM)
  26. Yayasan Perpaduan Malaysia
  27. Islamic Propagation Society International (IPSI)
  28. Islamic Information & Services Foundation (IIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia