Isu Palestin bukan sekadar pertikaian politik atau perebutan sempadan, tetapi sebuah krisis kemanusiaan yang telah berlarutan lebih tujuh dekad.
Ia dinodai oleh penjajahan tanpa belas, dihancurkan oleh pembersihan etnik dan kini dizalimi dengan genosid yang dilakukan melalui senjata kejam iaitu kelaparan.
Pada 30 Julai 2025, satu deklarasi antarabangsa yang dikenali sebagai Deklarasi New York diumumkan dengan sokongan 58 negara termasuk Liga Arab yang menggesa Hamas meletak senjata dan pelaksanaan Two-State Solution.
Namun, deklarasi ini sama sekali gagal menyentuh punca sebenar konflik iaitu pendudukan haram dan penindasan sistematik yang dilakukan secara berterusan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Hakikat ini adalah inti permasalahan yang telah berlarutan selama lebih tujuh dekad tetapi diketepikan dalam naratif rasmi yang dibawa.
Tidak menghairankan apabila deklarasi tersebut mengundang kritikan lantang daripada pelbagai pihak yang menolak sekeras-kerasnya isi kandungannya.
Sebaliknya, dokumen yang dikeluarkan dilihat lebih cenderung memberi legitimasi kepada agenda politik pihak tertentu, khususnya yang berusaha mengekang perjuangan sah rakyat Palestin di bawah undang-undang antarabangsa.
Pendekatan sebegini bukan sahaja mengaburkan realiti sebenar di lapangan, malah membuka ruang untuk mengekalkan status quo yang tidak adil.
Ia secara langsung menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri, termasuk hak untuk membebaskan tanah air mereka daripada pendudukan, membina negara yang berdaulat dan hidup dengan maruah tanpa ancaman keganasan serta aparteid yang dikenakan ke atas mereka.
Dalam konteks ini, deklarasi tersebut bukanlah satu langkah ke arah penyelesaian yang adil, tetapi sekadar mengulang kesilapan diplomasi antarabangsa yang telah lama gagal mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.
Menggesa Hamas untuk meletakkan senjata tanpa menamatkan pendudukan Israel adalah tuntutan yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.
Sebagai sebuah gerakan yang lahir daripada mandat pilihan raya yang sah, mendapat sokongan rakyat dan beroperasi dalam kerangka perjuangan pembebasan nasional, Hamas berhak mempertahankan rakyat serta wilayah Palestin daripada pencerobohan dan penindasan.
Hak untuk menentang penjajahan diiktiraf dalam Piagam PBB dan pelbagai konvensyen antarabangsa, sama seperti gerakan pembebasan lain dalam sejarah yang akhirnya diiktiraf dunia.
Menekan Hamas supaya melepaskan hak pertahanan diri sebelum penjajah berundur bukan sahaja mengancam kedudukan rakyat Palestin, malah memberi ruang kepada Israel untuk terus mengukuhkan cengkaman pendudukannya tanpa halangan.
Sebaliknya, ia digunakan sebagai alat politik untuk mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar iaitu pendudukan haram, sekatan dan genosid yang sedang berlangsung.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan menyokong sebarang rundingan lanjut mengenai konflik Israel-Palestin melainkan ia didahului dengan penamatan segera terhadap pendudukan, keganasan dan pembunuhan beramai-ramai.
Nada tegas ini senada dengan pendirian Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) yang merangkumi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).
Kelemahan asas Deklarasi New York
HIKAM menegaskan bahawa dokumen tersebut menyeleweng daripada prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi asas penyelesaiannya.
Pertama, dokumen tersebut secara selektif mengutuk Hamas tanpa mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan, seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. Lebih parah, deklarasi ini langsung mengabaikan 76 tahun sejarah pendudukan haram Israel sejak peristiwa Nakba.
Kedua, ia gagal menyatakan dengan jelas bahawa tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat adalah pembunuhan genosid, meskipun data menunjukkan lebih 60,785 rakyat Palestin telah terbunuh melibatkan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Angka korban ini terus meningkat setiap hari, menandakan sebuah tragedi kemanusiaan yang sedang berlangsung tanpa sebarang kuasa yang menghentikannya
Ketiga, cadangan penyelesaian dua negara yang dibawa hanyalah retorik kosong. Hakikatnya, Israel terus memperluas penempatan haram di Tebing Barat, menjadikan idea itu hampir mustahil dilaksanakan.
Realitinya, cadangan Two-State Solution yang dicanangkan dalam Deklarasi New York hanyalah sebuah ilusi politik yang tidak berpijak di bumi nyata. Pengalaman pahit Perjanjian Oslo membuktikan bahawa Israel tidak pernah mempunyai niat tulus untuk membenarkan wujudnya sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Sepanjang tempoh rundingan Oslo, penempatan haram Yahudi bukan sahaja tidak dihentikan, malah terus berkembang sehingga memecah belah wilayah Palestin kepada seakan-akan pulau-pulau kecil yang mustahil membentuk sebuah negara bersambung.
Hari ini, dengan penempatan haram yang meluas, kawalan penuh Israel ke atas Baitulmaqdis Timur serta penolakan terbuka pemerintah Israel terhadap negara Palestin, cadangan Two-State Solution sekadar menjadi retorik kosong yang mengaburi mata masyarakat antarabangsa yang jahil.
Keempat, pengiktirafan terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dilabel korup dan bersifat autokratik adalah langkah yang tersasar jauh daripada realiti di lapangan. Rekod buruk PA dalam melindungi rakyat Palestin menunjukkan mereka bukan pihak yang mampu menjadi wakil sebenar aspirasi rakyatnya.
HIKAM mendesak penguatkuasaan gencatan senjata kekal, memastikan laluan bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta menyokong proses keadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menuntut pertanggungjawaban jenayah perang Israel.
Selain itu, HIKAM turut menyeru supaya Malaysia menggalakkan kempen BDS (boikot, pelupusan, sekatan) terhadap entiti yang menyokong Israel serta meneruskan pendidikan dan diplomasi mengenai isu Palestin di peringkat nasional dan global.
Deklarasi Kuala Lumpur: Suara rakyat Malaysia untuk Gaza
Penegasan pendirian Malaysia menolak Deklarasi New York ini turut disokong oleh suara rakyat. Pada 9 Ogos 2025, Dataran Merdeka menjadi saksi kepada himpunan besar-besaran Malaysia Bangkit Untuk Gaza, menghimpunkan rakyat daripada pelbagai agama dan latar belakang, bersatu menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Dari pusat ibu kota, gema solidariti itu diterjemahkan dalam bentuk Deklarasi Kuala Lumpur, sebuah dokumen yang mengandungi sembilan tuntutan tegas kepada masyarakat antarabangsa.
Dokumen ini menuntut pihak terbabit untuk membatalkan sekatan darat, udara dan laut yang telah menjerut wilayah Gaza selama 17 tahun, membuka akses kemanusiaan yang bebas dan selamat serta memastikan pihak penjajah dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan mempercepat dan memperkukuh proses siasatan dan pendakwaan yang telah dimulakan oleh ICC dan ICJ sehingga mencapai keputusan muktamad dan pelaksanaan hukuman terhadap jenayah yang dilakukan.
Deklarasi Kuala Lumpur juga menyeru pembukaan kekal pintu masuk Rafah dan Kerem Shalom di bawah pengawasan bebas PBB, perlindungan terhadap petugas kesihatan, penghantaran pasukan perubatan antarabangsa serta pelaksanaan gencatan senjata kekal tanpa syarat.
Selain itu, dokumen ini menekankan penubuhan dana antarabangsa bebas untuk membina semula Gaza tanpa campur tangan atau sekatan pihak penjajah, memberi ruang kepada masyarakat sivil Gaza bersuara di pentas antarabangsa serta melaksanakan sekatan ekonomi, embargo ketenteraan dan kempen boikot global terhadap semua entiti yang terlibat dalam jenayah perang.
Mengapa penolakan ini penting?
Penolakan terhadap Deklarasi New York oleh Malaysia, HIKAM dan pelbagai pihak lain bukan sekadar soal prinsip diplomasi.
Ia adalah pernyataan bahawa keamanan sejati tidak boleh dicapai melalui dokumen yang mengabaikan keadilan. Sebarang penyelesaian yang meminggirkan hak rakyat Palestin untuk bebas daripada penjajahan hanyalah menangguhkan krisis, bukan menyelesaikannya.
Dalam konteks ini, suara Malaysia di pentas antarabangsa membawa mesej jelas iaitu pendudukan mesti berakhir, genosid mesti dihentikan dan keadilan mesti ditegakkan.
Tanpa semua itu, sebarang rundingan hanyalah mengulangi kitaran penindasan yang telah berlangsung selama lebih 76 tahun.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia