Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 telah mencatat sejarah penting apabila kesemua sepuluh negara anggota menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Our Shared Future.
Deklarasi ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan sebuah pelan strategik jangka panjang yang bertujuan membentuk masa depan Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat. Ia melakar hala tuju strategik untuk memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah rantau yang aman, makmur dan inklusif.
Deklarasi ini juga berlaku dalam konteks geopolitik yang semakin kompleks. Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China menandakan anjakan besar dalam landskap kerjasama serantau dan global.
Gabungan tiga kuasa rantau utama iaitu ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Republik Rakyat China bukan sahaja memperbaharui komitmen terhadap perdagangan bebas dan pembangunan mampan, malah menzahirkan pendekatan diplomasi bersepadu bagi menangani isu serantau seperti ketegangan kuasa besar dan perubahan iklim.
Dalam pada itu, sidang ini membuka lembaran baharu dalam hubungan antarabangsa, merintis kerjasama antara Asia Tenggara, Asia Barat dan Asia Timur yang lebih inklusif dan saling bergantung.
Kejayaan ini menekankan peri pentingnya hubungan rentas sektor dan rentas sempadan, termasuk dalam bidang teknologi, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan pembangunan modal insan.
Kuala Lumpur Declaration on ASEAN 2045: Our Shared Future mengiktiraf peranan pelbagai pemegang taruh bukan kerajaan, termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebagai tonggak utama dalam merealisasikan visinya.
Sumbangan NGO dalam ekosistem ASEAN bukan sesuatu yang baharu. Sejak dua dekad yang lalu, NGO tempatan dan serantau telah menjadi rakan pembangunan yang aktif dalam memperjuangkan hak asasi manusia, pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan pembangunan komuniti.
NGO memainkan peranan sebagai penghubung antara komuniti akar umbi dengan pembuat dasar, sekali gus membolehkan realiti di lapangan diterjemahkan kepada dasar dan pelaksanaan program yang lebih inklusif.
Dalam menjayakan Deklarasi ASEAN 2045, peranan ini perlu diperkasa dan distrategikan semula agar impaknya lebih besar, bersepadu dan bersifat rentas sempadan.
Deklarasi ini menetapkan lima tonggak strategik utama dalam membina sebuah Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inklusif dan dinamik iaitu memperkukuh perpaduan dan pemerkasaan rakyat, memperluas integrasi ekonomi dan kesalinghubungan serantau, mempercepat transformasi digital dan kelestarian, memelihara keamanan dan kestabilan serta memperkukuh institusi dan tadbir urus ASEAN.
Kelima-lima tonggak ini memberikan ruang luas untuk NGO menyumbang secara langsung, sama ada melalui penyediaan perkhidmatan sosial, penglibatan dalam advokasi dasar, peningkatan keterlibatan masyarakat atau penyampaian suara komuniti rentan kepada pentas serantau.
Kesedaran masyarakat tentang ASEAN dan deklarasi ini juga perlu digerakkan secara agresif dan kreatif. Tanpa kefahaman dan penghayatan di peringkat akar umbi, dokumen sehebat mana pun akan kekal di atas kertas.
Keberkesanan gabungan NGO telah terbukti dalam beberapa inisiatif serantau terdahulu. ASEAN Youth Forum misalnya telah menjadi platform penting dalam menyuarakan pandangan belia ASEAN sejak lebih sedekad lalu dan cadangan mereka dibentangkan dalam sidang kemuncak rasmi.
ASEAN People’s Forum pula merupakan bukti bagaimana gabungan NGO, kesatuan sekerja dan komuniti dapat menyampaikan deklarasi rakyat yang dirumuskan secara kolektif kepada pemimpin-pemimpin tertinggi rantau ini.
Namun begitu, potensi besar ini masih dibayangi oleh cabaran struktur dan dasar yang menghambat penglibatan efektif masyarakat sivil dalam ekosistem ASEAN.
Realitinya, badan-badan bukan kerajaan yang berusaha untuk menyumbang secara strategik kepada ASEAN berhadapan dengan pelbagai kekangan yang berpunca daripada peraturan dalaman yang ketat dan tatacara penyertaan yang kurang mesra.
Walaupun peranan NGO telah diiktiraf secara simbolik dalam deklarasi dan forum-forum tertentu, ruang penglibatan mereka masih bersifat terhad, tidak konsisten dan sering bergantung kepada kerelaan politik negara anggota atau jawatankuasa yang relevan.
Antara cabaran utama ialah ketiadaan saluran tetap dan berstruktur untuk penyertaan masyarakat sivil dalam proses pembuatan keputusan ASEAN. Sehingga hari ini, tiada mekanisme yang benar-benar menjamin kehadiran wakil masyarakat sivil dalam mesyuarat rasmi ASEAN kecuali melalui akreditasi yang ketat dan proses yang sulit.
Lebih menyukarkan, interaksi antara ASEAN dan masyarakat sivil kerap kali bersifat satu hala dan tertumpu kepada topik-topik teknikal semata-mata seperti pengurusan bencana, kesihatan awam atau program latihan.
Walaupun bidang-bidang ini penting, masyarakat sivil atau NGO turut membawa isu kritikal yang menyentuh isu keadilan sosial, demokrasi, hak asasi manusia dan ketelusan iaitu topik yang sering dipandang sensitif dalam konteks ASEAN yang berpegang kepada prinsip tidak campur tangan.
Akibatnya, isu yang berbangkit untuk penyelesaian serantau tidak mendapat maklum balas tindakan yang sewajarnya.
Cabaran lain yang tidak kurang penting ialah kekangan kewangan dan keupayaan logistik yang dihadapi oleh NGO tempatan untuk menyertai sidang-sidang ASEAN yang lazimnya diadakan di ibu kota negara anggota dan menggunakan bahasa Inggeris rasmi yang sarat dengan istilah teknikal serta dokumentasi yang kompleks.
Hal ini menjadikan banyak NGO yang sebenarnya paling dekat dengan realiti lapangan terpinggir daripada perbincangan dasar.
Walaupun begitu, ruang untuk pembaikan tetap wujud, dan di sinilah pendekatan yang berhikmah dan progresif perlu diambil oleh semua pihak.
Pertama sekali, ASEAN perlu mengambil langkah berani untuk memperkukuh mekanisme penyertaan masyarakat sivil dengan menubuhkan satu platform tetap dan bebas yang membolehkan NGO menyertai proses perundingan dan semakan dasar secara berkala.
Mekanisme ini harus bersifat terbuka kepada pelbagai jenis organisasi termasuk yang tidak berdaftar secara formal tetapi terbukti aktif di lapangan.
Kedua, ASEAN boleh menginstitusikan semula ASEAN Peoples’ Forum sebagai badan perunding rasmi dengan mandat yang jelas dan diiktiraf, serta memastikan hasil resolusi forum tersebut dibentangkan dalam mesyuarat tertinggi ASEAN, bukan sekadar dokumen yang disimpan tanpa tindakan susulan.
Ketiga, negara anggota wajar membuka ruang untuk mempermudah proses akreditasi NGO dan memperuntukkan pembiayaan khas untuk membolehkan wakil masyarakat sivil menyertai perbincangan serantau, terutamanya daripada kalangan komuniti rentan, belia dan kumpulan minoriti. Penyertaan yang lebih luas mampu memberikan impak yang sebenar dalam dasar awam dan tingkah laku industri.
Masyarakat sivil pula hendaklah memperkukuh solidariti merentas negara serta memperluas jaringan advokasi yang tidak hanya bergantung pada saluran rasmi dalam kerangka ASEAN, malah turut membentuk wacana awam melalui medium media, pendidikan dan gerakan sosial di peringkat akar umbi.
Penyertaan masyarakat sivil bukan sekadar pilihan politik, tetapi satu keperluan moral dan strategik bagi menjamin ASEAN kekal relevan dalam dunia yang semakin kompleks.
Dengan latar belakang cabaran global seperti perubahan iklim, peningkatan ketegangan politik, ketidaksamaan ekonomi dan krisis kemanusiaan rentas sempadan, suara rakyat adalah kompas utama yang mampu membimbing ASEAN untuk kekal dalam landasan keadilan dan kemanusiaan.
Justeru, dengan mengangkat semangat tema Sidang ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kelestarian”, marilah kita gerakkan langkah bersama, bukan hanya dalam kalangan pemerintah, tetapi juga dalam kalangan rakyat demi membina Komuniti ASEAN yang bukan sekadar inklusif dalam slogan, tetapi juga inklusif dalam tindakan dan hakikat.
Di sinilah peranan masyarakat sivil perlu bukan sekadar diundang, tetapi diiktiraf sebagai rakan kongsi dalam membentuk masa depan rantau ini secara bersama.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia