Penganjuran debat yang dilaksanakan secara langsung semalam antara Rafizi Ramli dan Syahir Sulaiman patut dipuji kerana ia mencetuskan perbincangan yang serius berhubung dengan hala tuju ekonomi yang memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Perbincangan terbuka sedemikian mampu membuka mata rakyat Malaysia untuk membuat penilaian secara objektif dan rasional berhubung dasar dan polisi yang sewajarnya menjadi agenda utama dalam kalangan ahli-ahli politik di negara ini.  Â
Model ekonomi baharu yang dibawa oleh Rafizi sepatutnya dialu-alukan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ia berdasarkan kefahaman yang tuntas tentang isu dan cabaran ekonomi yang melanda negara.
Isu gaji pekerja yang rendah berbanding dengan kos sara hidup adalah isu penting yang diletakkan sebagai keutamaan oleh kerajaan. Perihal pentingnya untuk memberikan imbuhan yang wajar kepada pekerja pernah disentuh oleh IKRAM sebelum ini (rujuk artikel Laksana Upah Wajar, Tingkatkan Kemahiran Pekerja).Â
IKRAM secara prinsipnya menerima dengan baik dan telah mengulas tentang Ekonomi MADANI yang baru diluncurkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, rujuk artikel Ekonomi MADANI Memacu Kemakmuran Untuk Semua dan Naratif Ekonomi Madani: 5 Langkah Memacu Kemakmuran.
Pada masa yang sama, IKRAM mencadangkan model ekonomi yang meringankan beban fiskal kerajaan melalui ekonomi yang berasaskan nilai iaitu sistem ekonomi berasaskan sedekah, menyuburkan amalan menyumbang melalui filantropi, menggesa majikan membayar gaji wajar (living wage) sepadan dengan produktiviti, meningkatkan inovasi melalui teknologi dan menyemarakkan peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) demi kesejahteraan rakyat.Â
Model yang dicadangkan IKRAM adalah sistem ekonomi berasaskan sedekah yang sistemik dan sistematik. Model ini berfungsi dalam sistem ekonomi sedia ada dan menyokong sistem ekonomi pasaran bebas yang berlandaskan kegiatan-kegiatan ekonomi yang berasaskan nilai-nilai murni dan tulen.Â
Dalam sistem ekonomi berasaskan sedekah, kerajaan berperanan untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk mendorong sumbangan daripada individu dan komuniti bisnes demi manfaat golongan yang memerlukan.
Dengan kata lain, kerajaan berperanan untuk menyuburkan budaya filantropi secara sistemik dan sistematik. Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme penyelarasan antara pelbagai entiti yang menerima sumbangan, sama ada oleh agensi-agensi kerajaan persekutuan, agensi-agensi kerajaan negeri, NGO, yayasan dan lain-lain.Â
Dengan itu, melalui filantropi atau sumbangan secara sukarela, beban kerajaan untuk membantu rakyat melalui subsidi dan bentuk-bentuk bantuan lain dapat dikurangkan. Hal ini penting mengambil kira beban hutang kerajaan yang sudah mencecah RM1.5 trilion.Â
Pada masa yang sama, nilai-nilai murni untuk saling membantu perlu dipupuk dan disemarakkan dalam kalangan rakyat dan komuniti bisnes. Budaya ini dapat diwujudkan apabila rakyat mempunyai tahap perpaduan dan kesepaduan yang tinggi.Â
Sehubungan itu, usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat hendaklah sentiasa dipupuk, khususnya melalui pendidikan dan intervensi yang berterusan. Â
Ringkasnya, sistem ekonomi yang berasaskan sedekah yang sistemik dan sistematik dapat menyumbang ke arah dasar fiskal yang lebih mampan, pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.Â
Mohammad Abdul HamidÂ
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia