Debat Model Ekonomi Rafizi-Syahir: Retorik atau Realiti?

Debat Model Ekonomi Rafizi-Syahir: Retorik atau Realiti? | IKRAM

Debat antara Rafizi Ramli dengan Syahir Sulaiman mengenai ‘Model Baharu Ekonomi Malaysia’ telah membuka ruang buat rakyat secara keseluruhannya menilai pandangan atau buah fikiran pihak mana yang lebih kritikal dan realisitik dalam konteks cabaran ekonomi Malaysia dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun akan datang. 

Pada dasarnya, apabila sesuatu perdebatan yang wujud melibatkan dasar ekonomi, tidak ada sebarang pandangan atau idea yang benar ataupun salah, kerana setiap dasar mempunyai baik dan buruknya tetapi kesesuaian pendekatan yang menjadi perbezaan. 

Namun begitu, jika kita menelusuri ucapan pembukaan wakil Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman tidak menggambarkan model ekonomi sebenar kerana ia hanya berkisar soal prinsip dan tiang asas kepada pembangunan ekonomi semata-mata. 

Oleh sebab itu, di sebalik perbezaan pendapat dan pendekatan yang ingin dibincangkan, kita tidak boleh lari daripada mengkaji masalah struktur ekonomi Malaysia kerana prinsip utamanya mudah, penyelesaian tidak mungkin wujud tanpa mengetahui punca permasalahan sebenar yang berlaku. 

Tadbir urus jadi kunci

Malaysia terlalu bergantung kepada keberhasilan semula jadi dan limpahan kekayaan tersebut sehingga mengabaikan masalah struktur yang melibatkan pemegang taruh terbesar terhadap pertumbuhan ekonomi negara iaitu nilai penggajian buruh. 

Dari sudut logiknya, bagaimana pertumbuhan ekonomi negara mahu berkembang dengan pesat jika kita terus mengalami paras purata gaji buruh yang tidak berubah sedangkan kos sara hidup rakyat semakin meningkat dan faktor kepada masalah tersebut tidak hanya berada dalam lingkungan kawalan kerajaan?

Oleh sebab itu, kita dapat melihat tindakan kerajaan atau Perdana Menteri sebelum ini hanya mengambil jalan pintas dengan memberi tambahan subsidi terhadap beberapa barangan asas supaya meringankan beban rakyat, namun masalah dasarnya masih tidak dapat diselesaikan dan akhirnya kerajaan terpaksa menanggung beban yang lebih besar. 

Sebahagian besar pemimpin negara sebelum ini menganggap inisiatif kerajaan sama ada memperkenalkan cukai baharu atau menambah nilai subsidi sebagai dasar ekonomi telah menyebabkan masalah struktur ekonomi Malaysia berada pada tahap yang semakin kritikal. 

Pada realitinya, prinsip asasnya ialah sistem percukaian dan subsidi sentiasa bersifat fleksibel dan bergantung kepada keadaan semasa, di samping memerlukan tindakan drastik untuk menyelesaikan masalah struktur yang sedia ada. 

Dalam konteks yang lebih luas, masalah struktur yang diwarisi pada hari ini juga telah menjejaskan pertumbuhan nilai matawang dan ia memerlukan pengukuhan terhadap prospek serta pelbagai program berimpak tinggi untuk mencipta lebih banyak peluang pelaburan. 

Kelantan dianaktirikan? 

Keseimbangan yang dicapai melalui sistem federalisme yang diamalkan di Malaysia telah diterjemahkan melalui Perlembagaan Persekutuan yang sudah termaktub di mana garis pemisahan di antara kuasa kerajaan persekutuan dan negeri sudah jelas. 

Secara peribadi, saya tidak memahami mengapa Syahir cuba membuat provokasi membangkitkan soal sistem federalisme yang diamalkan kerana berdasarkan fakta yang sedia ada, tidak ada mana-mana negeri yang disisihkan secara mutlak. 

Sebagai contoh, beliau membangkitkan soal royalti minyak yang tidak diserahkan kepada kerajaan negeri Kelantan sejak 30 tahun lalu, sedangkan pada realitinya khazanah minyak dan projek tersebut hadir dari kerajaan persekutuan walaupun tidak dinafikan wujud kerjasama dalam beberapa aspek bersama kerajaan negeri. 

Berdasarkan rekod peruntukan one-off kerajaan persekutuan kepada keseluruhan kerajaan negeri, Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan terbesar jika dibandingkan aktiviti dan pelaburan ekonomi yang dibangunkan. 

Oleh yang demikian, permasalahan struktur ekonomi pada realitinya berpunca daripada tadbir urus dan tata kelola yang lemah, dan sejauh mana idea dan model ekonomi baharu yang dibentangkan, ia tidak akan memberi apa-apa makna jika masalah kecekapan pentadbiran tidak diuruskan dengan baik. 

Dilema kestabilan politik

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman ada membangkitkan soal kestabilan politik dan ekonomi yang menjadi teras utama kepada matlamat model ekonomi yang dibentangkan. 

Secara peribadi, mungkin Syahir masih dalam dilema dan kurang kepakaran dari sudut perkiraan angka kerana itu merupakan tiang asas yang paling besar yang dipertaruhkan oleh Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan ekonomi negara.

Selepas rakyat dan negara terpaksa mengharungi pelbagai peristiwa hitam yang menggugat kestabilan negara dalam tempoh lima tahun yang lalu, sudah pasti isu pokok yang menjadi kegusaran pelabur adalah kestabilan politik. 

Oleh yang demikian, kestabilan politik tidak lagi suatu isu yang perlu diperdebatkan dengan lebih mendalam kerana fakta dan angkanya kekal dan tidak berubah, namun yang menjadi keutamaan ialah ke mana hala tuju ekonomi yang ingin dipacu dan ia sudah pun diterjemahkan dalam peluncuran ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ sejak dua minggu yang lalu. 

Secara kesimpulannya, debat Rafizi-Syahir merupakan satu anugerah buat seluruh rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang memilih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ia sepatutnya menjadi penanda aras buat semua parti politik atau pemimpin untuk tampil dengan lebih berani dan berakal dalam menentukan nasib dan masa depan rakyat. 

Fiezan Hakimi
Bekas Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia 
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi 
Universiti Sains Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia