Jauhi dandanan bonggol unta

Trend wanita pada akhir zaman ini gemar menggayakan tudung dengan pelbagai bentuk dan warna.

 

Dalam mengenakan pakaian yang sedia ada, ada ketikanya kaum wanita terlepas pandang dalam berfesyen, berlebih-lebihan dalam berbusana, meniru orang kafir dari segi mengenakan pakaian megah.

 

Ada dalam kalangan wanita pula kelihatan suka menyanggul rambut pada bahagian atas kepala yang sangat tinggi. Rambut seorang wanita yang dikepang tinggi disamakan dengan bonggol unta.

 

Gaya bonggol unta ini sebenarnya adalah dilarang dalam Islam. Pun begitu, masih ada sesetengah wanita yang kurang maklum akan kesedaran dalam menjauhi gaya yang serupa dengan bonggol unta.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan bonggol unta? Mengapa Nabi SAW melarang sekeras-kerasnya? Berdasarkan sebuah hadis, Nabi SAW telah menyebutkan larangan ini sebagaimana sabda baginda:

 

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

 

“Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat. Satu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok, kepala mereka seperti bonggol unta yang miring. Wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal baunya dapat tercium dari jarak sekian dan sekian.” (HR Muslim, No. 2128)

 

Dalam Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar, beliau menuturkan mengenai makna bonggol unta mengikut hadis ini. Kata beliau:

 

“Kepala-kepala mereka diserupakan dengan bonggol-bonggol unta kerana mereka mengangkat kepangan-kepangan (anyaman) rambut tepat di tengah-tengah kepala mereka agar terlihat indah. Mereka melakukan hal itu agar rambut mereka terlihat lebat.” 

 

Sedangkan Imam al-Qurthubi berpendapat, “Kepala mereka diserupakan dengan bonggol unta kerana mereka meninggikan kepangan rambut di tengah kepala mereka dalam rangka memperindahkan diri dan dibuat-buat, mereka melakukan itu dengan sesuatu yang biasa dipergunakan untuk menebalkan rambut.” 

 

Mengikut teks hadis riwayat Muslim tadi menyatakan bahawa dandanan wanita seperti bonggol unta termasuk dalam dua golongan yang tidak akan mencium bau syurga. Ini bererti, gaya ini wajib dijauhi kerana wanita seperti ini akan mendapat ancaman berat kerana penampilannya telah menghalang dirinya masuk ke dalam syurga.

 

Kebaikannya juga tidak kelihatan, melainkan mendatangkan impak seperti:

  1. Tidak melambangkan wanita yang solehah kerana melanggar hukum agama yang telah ditetapkan untuk ditinggalkan oleh seluruh kaum Muslimah.
  1. Menarik perhatian manusia termasuklah lelaki ajnabi untuk memandangnya kerana bentuk hijab bonggol unta yang boleh mencipta godaan.
  1. Mendapat jaminan daripada Rasulullah SAW kepada wanita untuk tidak dimasukkan ke dalam syurga hanya kerana perbuatan yang ditegah.

 

Sekiranya dinilai, tiada kepentingan dan faedah dalam mengamalkan gaya sedemikian. Menambah seri pun bukan, cuma hanya membawa dosa dan kerosakan. Yang berpakaian tetapi sendat. Yang menutup aurat tetapi tidak menepati syarat dalam berpakaian.

 

Jika ditinjau hadis-hadis Nabi SAW yang lain menunjukkan banyaknya kerosakan yang berlaku di dunia berpunca daripada golongan wanita. Antara penyebab kebanyakannya adalah kerana lisan dan kekufurannya kepada suami. Inilah mengapa wanita menjadi calon paling terbanyak di neraka.

 

Daripada Imran bin Husain RA, Nabi SAW bersabda:

اطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاء

 

“Aku diperlihatkan di syurga, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum fakir. Lalu aku diperlihatkan neraka, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.” (HR Bukhari, No. 241 dan Muslim, No. 2737)

 

Wanita mudah masuk syurga, juga mudah masuk ke neraka. Hanya kerana satu kesalahan, seorang wanita tidak mampu menghidu bau syurga. Berhijab biarlah kena caranya mengikut metode Islami. 

 

Andai ada yang tidak mengetahui larangan tersebut sebelum ini, sudah tiba saatnya meninggalkan bentuk hijab yang menonjol dan haram di sisi Islam kerana ia sama sekali tidak mendatangkan keanggunan kepada wanita.

 

Wajarlah lagi umat Islam berganding bahu mengekang penularan budaya Barat yang telah merasuk jiwa anak-anak perempuan dari segi memperagakan pakaian, menerapkan semula pemakaian wanita mukminah supaya tidak tenggelam di zaman yang penuh kemodenan.

 

Buat wanita yang bertudung, perhatikan dandanan anda setiap kali menyarungkannya ke kepala. Tutup aurat dengan sempurna, semoga kita dihindarkan daripada menjadi golongan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. 

 

Syuhara Suriati

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia