Pelbagai polemik dan isu-isu baru yang timbul seiring dengan peredaran zaman yang menuntut para ‘doktor umat’ ini untuk bijak merealisasikan permasalahan ummah.
Malang sekali apabila ada dai yang tidak cukup persiapan ilmunya memaksa diri dengan berani mengeluarkan pandangan atau fatwa-fatwa mereka. Natijahnya, terjadi kemalangan ilmu lantaran terburu-buru dalam memberi pandangan atau fatwa. Inilah antara krisis keilmuan sepanjang zaman para dai yang membawa kepada jenayah ilmu yang kronik.
Tanpa didasari ilmu
Apabila seseorang dai yang membicarakan perihal Islam gagal untuk mengaitkan pandangan atau fatwanya itu dengan ilmu, maka mereka telah tenggelam dalam dosa dan pendustaan. Mereka lupa untuk menghitung bicara atau pandangan mereka itu samada membawa kepada keredaan Allah ataupun kemurkaan-Nya.
Dalam salah satu hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dijelaskan bahawa:
“Barang siapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya akan ditanggung oleh orang yang memberi fatwa.” (HR Abu Daud)
Begitu juga pesanan oleh Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ al-Fatawa, beliau berkata:
“Barang siapa yang berbicara tentang hal ehwal agama tanpa ilmu, maka dia dikira berdusta sekalipun dia tidak berniat untuk berdusta.”
Tawaduk dengan ilmu
Keikhlasan dan kemuliaan diri para dai dapat dilihat apabila mereka mempunyai sifat tawaduk dengan ilmu. Mereka ini membataskan diri daripada berkata-kata pada perkara yang mereka tiada pengetahuan tentangnya. Malah, mereka juga tidak malu untuk mengatakan “Aku tidak tahu” mengenai sesuatu urusan yang tidak diketahuinya.
Ramai para salafussoleh telah ditanya tentang banyak masalah lalu mereka menjawab bagi sebahagian lain dengan apa yang mereka ketahui. Kata Abdullah bin Mas’ud RA dalam sebuah hadis:
“Orang yang mengetahui sesuatu hendaklah mengatakan apa yang diketahuinya, tetapi yang tidak mengetahui hendaklah berkata, “Wallahu a’lam” (Dan Allah yang lebih mengetahui). Ini kerana salah satu aspek daripada ilmu adalah mengatakan, “Aku tidak tahu”, jika kamu tidak mengetahui sesuatu secara pasti.” (HR Bukhari)
Jangan ‘goreng’
Mereka-reka sesuatu yang tidak diketahui adalah musuh agama ini. Islam meraikan pelbagai pandangan ilmiah yang disertakan hujah dan dalil, tetapi menolak apa jua rekaan atau tokok tambah dalam agama. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang dituju kepada Nabi-Nya yang bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammmad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk daripada orang yang mereka-reka.” (Surah Saad : 86)
Para dai perlu rajin dan proaktif dalam melakukan kajian, rujukan mendalam dan pembacaan ilmiah yang meluas dalam pelbagai bidang. Namun, sekiranya sesuatu bidang itu kita tiada pengetahuan tentangnya, rujuklah pada yang lebih pakar.
Tidak perlu tergesa-gesa dan semberono dalam mengeluarkan pandangan. Apabila kita ‘menggoreng’ sesuatu perkara yang kita tidak ketahui tentangnya, maka ia hanya akan menjadi bahan ketawa dan membunuh karakter dai itu sendiri.
Tambahan pula, apabila ianya sudah sebati dengan diri dalam menyampaikan pendapat atau fatwa, akan timbullah pandangan yang pelik-pelik, cerita yang tidak masuk akal, riwayat dongeng dan pelbagai lagi kisah ‘kartun’ semata-mata untuk memikat para audiens.
Amanah dalam menyampaikan
Para dai perlu jujur dan amanah dalam menyampaikan ilmu. Setiap yang disampaikan atau diperkatakan perlu mengikuti disiplin ilmu dan tidak terburu-buru memperkatakan sesuatu sebelum memastikan kesahihannya.
Para mad’u (orang yang didakwah) hari ini lebih kritis dalam beragama. Mereka sentiasa menyemak dan mengkaji apa jua maklumat, dalil atau hujah yang diberikan oleh para dai atau agamawan.
Justeru, tindakan seseorang dai mengaku sesuatu yang tidak diketahuinya, tidaklah menjatuhkan kredibiliti dan kemuliaannya, malah menunjukkan keikhlasan dan sikap amanah pada ilmu yang dimiliki.
Ibnu Qayyim ada memetik kata-kata Ibnu Sirin dalam kitabnya yang masyhur, I’lamul Muwaqqi’in:
“Kematian seseorang dalam kebodohan dianggap lebih baik daripada mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui.”
Oleh itu, menjadi tanggungjawab para dai agar berterusan mempertingkatkan piawaian ilmu agar dalam bidang yang dimiliki. Tidak sekadar itu, mereka juga perlu ikhlas dan mengakui kekurangan diri serta tidak malu bertanya kepada yang lebih berilmu, agar nilai agama ini tidak menjadi fitnah dan memberi gambaran buruk kepada penganut agama lain.
Khyrul Hycal Hadi
Pelajar Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Aktivis IKRAM Muda Sabah