Cuaca Panas Super El Nino: Risiko yang Perlu Kita Tahu

cuaca panas

Pernahkah anda berasa cuaca kini jauh lebih panas berbanding beberapa tahun lalu? Ramai menganggap ia sekadar perasaan biasa atau lumrah hidup di negara tropika seperti Malaysia. 

Hakikatnya, para saintis telah lama menyatakan bahawa suhu global sedang meningkat akibat perubahan iklim. Kesan paling ketara ialah gelombang haba yang kini berlaku lebih kerap, lebih lama dan lebih ekstrem. Apa yang dahulu dianggap luar biasa, kini semakin menghampiri “normal baharu”.

Malaysia tidak terkecuali. Walaupun sudah terbiasa dengan cuaca panas, khususnya ketika peralihan monsun atau fenomena El Nino di Lautan Pasifik, gelombang haba yang sedang dan bakal berlaku dijangka lebih mencabar daripada kebiasaan.

Menurut laporan terbaru Copernicus Marine Service Kesatuan Eropah, bulan Jun mencatatkan suhu permukaan laut paling panas pernah direkodkan, iaitu sekitar 21.0°C, sekali gus memecahkan rekod sebelumnya pada tahun 2023 dan 2024. 

Saintis memberi amaran bahawa suhu lautan yang semakin meningkat ini bukan sahaja menandakan pemanasan global yang berterusan, tetapi juga berpotensi memperkuat kesan El Nino serta meningkatkan lagi suhu ekstrem dalam bulan-bulan mendatang. Pemanasan lautan ini memberi kesan langsung kepada corak cuaca global kerana laut berfungsi sebagai “penyimpan haba” utama bumi. 

Ramalan 39°C: Isyarat yang tidak boleh dipandang ringan 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan suhu di negara ini boleh mencecah 39°C atau lebih sekiranya fenomena Super El Nino berlaku pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Angka ini memberi petunjuk kepada tekanan besar terhadap kesihatan, bekalan air dan kehidupan harian.

Apa yang berlaku di Eropah baru-baru ini memberi gambaran jelas. Gelombang haba ekstrem di Perancis pada bulan Jun dilaporkan meragut hampir 1,000 nyawa. Walaupun negara-negara Eropah mempunyai musim panas setiap tahun, peningkatan suhu yang luar biasa telah menyebabkan sistem kesihatan mereka tertekan dengan peningkatan kes penyakit berkaitan haba.

Perbezaannya ialah masyarakat di sana tidak terbiasa dengan suhu terlalu tinggi seperti di negara tropika. Namun, perubahan iklim sedang mengubah corak cuaca di seluruh dunia, termasuk Malaysia yang turut merekodkan peningkatan kes kesihatan berkaitan cuaca panas.

Apabila tubuh manusia tidak lagi mampu bertahan 

Tubuh manusia sebenarnya mempunyai mekanisme semula jadi untuk mengawal suhu melalui peluh. Namun, mekanisme ini mempunyai had. Apabila suhu persekitaran terlalu tinggi atau pendedahan berlaku terlalu lama, badan boleh kehilangan keupayaan untuk menyejukkan diri.

Tanda awal sering dipandang ringan. Antaranya ruam panas, rasa terlalu dahaga dan berpeluh berlebihan. Ramai terus bekerja atau menjalani rutin harian tanpa menyedari tubuh sedang mengalami tekanan haba.

Keadaan boleh bertambah serius kepada keletihan melampau, pening, sakit kepala, loya dan muntah yang dikenali sebagai “heat exhaustion”. Jika tidak ditangani segera, ia boleh berkembang menjadi “heat stroke” apabila suhu badan melebihi 40°C.

Pada tahap ini, tubuh tidak lagi mampu mengawal suhu sendiri. Mangsa boleh mengalami kekeliruan, sawan, pengsan dan dalam kes tertentu, kematian jika rawatan kecemasan tidak diberikan segera.

Siapa paling berisiko? 

Walaupun semua orang terdedah kepada risiko, terdapat kumpulan yang lebih mudah terjejas.

Kanak-kanak mempunyai sistem kawalan suhu yang belum matang. Warga emas pula kurang berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan suhu. Wanita hamil serta individu dengan penyakit kronik seperti jantung, asma, paru-paru kronik, diabetes, darah tinggi dan kanser berada dalam kategori berisiko tinggi.

Bagi pesakit jantung, cuaca panas memaksa jantung bekerja lebih keras untuk menstabilkan suhu badan. Hal ini meningkatkan risiko komplikasi. Pesakit asma dan penyakit paru-paru pula lebih mudah mengalami sesak nafas, lebih-lebih lagi apabila kualiti udara turut terjejas dalam keadaan panas ekstrem.

Namun kesan Super El Nino tidak berhenti pada kesihatan manusia sahaja.

Super El Nino: Kesan rantaian yang lebih luas 

Super El Nino bukan sekadar fenomena cuaca panas. Ia boleh mencetuskan rantaian kesan besar yang melibatkan kesihatan, air, tenaga dan rantaian sekuriti makanan negara.

Fenomena ini mengubah corak hujan di rantau Asia. Sesetengah kawasan mengalami kemarau berpanjangan, manakala kawasan lain berdepan hujan lebat luar biasa. Ketidakseimbangan ini menjadikan pengurusan sumber air dan pertanian semakin mencabar.

Di Malaysia, antara risiko utama ialah bekalan air. Kemarau berpanjangan boleh menurunkan paras empangan dan menjejaskan bekalan air domestik. Dalam masa yang sama, ia memberi kesan kepada pengeluaran tenaga hidroelektrik yang masih menjadi sebahagian penting sistem tenaga negara.

Apabila suhu meningkat, penggunaan penyaman udara turut melonjak. Permintaan elektrik yang tinggi dalam tempoh yang sama boleh memberi tekanan kepada sistem tenaga negara.

Dalam sektor pertanian, cuaca panas dan kekurangan air boleh menjejaskan hasil tanaman. Kos pengeluaran meningkat kerana petani perlu menampung kos pengairan, baja dan bahan api yang lebih tinggi. Akhirnya, harga makanan di pasaran turut meningkat dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.

Sejarah mencatatkan kesan El Nino pada 1997-1998 menyebabkan kebakaran hutan besar di Indonesia sehingga jutaan hektar terbakar dan jerebu rentas sempadan menjejaskan seluruh rantau. Sekiranya situasi sama berulang, Malaysia berisiko berdepan krisis kualiti udara yang lebih serius.

Selain itu, cuaca panas turut mempercepat pembiakan nyamuk, meningkatkan risiko denggi. Bekalan air dan makanan yang terdedah kepada suhu tinggi juga lebih mudah tercemar, meningkatkan risiko penyakit bawaan makanan dan air.

Daripada fenomena cuaca kepada isu kelangsungan hidup

Yang jelas, Super El Nino bukan sekadar isu meteorologi. Ia adalah isu sistemik yang merangkumi kesihatan awam, ekonomi, tenaga, pertanian dan keselamatan makanan.

Oleh itu, pendekatan reaktif sahaja tidak mencukupi. Persediaan perlu dilakukan lebih awal melibatkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

Langkah pencegahan kesihatan asas perlu diberi perhatian. Antaranya memastikan penghidratan mencukupi, mengelakkan aktiviti berat pada waktu panas terik serta memakai pakaian sesuai. Majikan juga memainkan peranan penting dengan mengatur waktu kerja dan menyediakan rehat serta bekalan air mencukupi untuk pekerja luar.

Jika simptom awal berlaku, individu perlu segera berada di tempat teduh, menyejukkan badan dan mendapatkan rawatan jika perlu. Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa.

Cuaca norma baharu 

Perubahan iklim sedang mengubah cara kita hidup. Cuaca panas yang dahulu dianggap biasa kini membawa risiko yang lebih kompleks dan serius.

Soalnya bukan lagi sama ada Malaysia akan berdepan cuaca lebih ekstrem, tetapi sejauh mana masyarakat dan negara bersedia menghadapinya.

Apa yang hari ini dianggap “sekadar panas” mungkin sebenarnya adalah isyarat awal kepada cabaran yang lebih besar. Dan seperti banyak krisis lain, kesiapsiagaan awal sering menjadi perbezaan antara ketahanan dan kerentanan.

Basmin Maarof

Pegawai Kanan

Jabatan Komunikasi Korporat

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia