Cita-cita Hassan al-Banna

Katanya lagi: “Demi Allah, saya tidak menilai karangan kamu berdasarkan panjang atau pendeknya”.

Para pelajarnya mampu ketawa mendengar kata-katanya dan kemudian mereka pun membahagi-bahagikan karangan di kalangan mereka. Tahun 1927 merupakan tahun akhir Hasan Al-Banna di Darul Ulum.

Salah satu tajuk karangan yang Syeikh Najati beri ialah: “Apakah Cita-Cita Anda Selepas Pengajian Nanti” dan “Cara-Cara Mencapai Cita-Cita Itu”.

Berikut adalah jawapan yang diberikan al-Banna:

“Saya berpendapat seorang yang baik akan mencari kebahagiaan dan panduan dengan berkhidmat kepada manusia. Dia merasa gembira apabila dia berupaya menghilangkan kesusahan orang dan membuat orang lain gembira. Dia sanggup berkorban untuk pembaharuan masyarakat sebagai keuntungan hakiki bagi dirinya. Dia berjihad bagi menghadapi kesusahan dan kesukaran dengan tabah dalam menegakkan kebenaran dan hidayah.

Dia cuba menyelamatkan hati manusia dengan merasai penyakitnya. Dia mengkaji ciri-ciri yang mengakibatkan kemerosotan akhlak dan masyarakat. Dia berusaha untuk menegakkan peraturan masyarakat Islam yang lebih baik. Dia memberikan kasih sayang kepada manusia. Dia berusaha sebanyak mungkin untuk meringankan penderitaan manusia dan mencipta suasana yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan manusia. Dia juga berusaha memimpin mereka yang telah sesat ke jalan yang benar”.

Huraian:

Al-Banna yakin tindakan yang tidak bermanfaat kepada orang lain dan juga dirinya ialah tindakan yang salah dan tidak berguna. Tindakan yang paling baik ialah tindakan yang bermanfaat kepada diri sendiri, saudara-mara, rakan taulan dan juga negara. Tindakan yang memberi manfaat kepada umum ialah tindakan yang hebat dan mulia.

Pendapat-pendapat beliau ini telah mendorong beliau memilih kerjaya dalam bidang pendidikan kerana para pendidik ialah sumber cahaya bagi rakyat. Mereka menghapuskan kejahilan dan menyebarkan cahaya ilmu di seluruh dunia.

Para pendidik ini seumpama lilin yang menyala sambil memberi cahaya kepada orang lain. Beliau yakin cita-cita tinggi yang dapat dicapai manusia ialah mencari keredhaan Alllah dengan cara yang diterima dan dirahmati-Nya. Seorang manusia yang ingin mencapai ita-cita ini berada dalam persimpangan jalan. Setiap jalan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Dia boleh memilih salah satu antara keduanya.

Jalan yang pertama ialah falsafah sufi yang sebenar. Prinsip jalan ini ialah keikhlasan amalan dan menjauhkan diri dari kesibukan sebarang makhluk yang baik dan tidak baik. Jalan ini lebih dekat dan selamat dari jalan-jalan yang lain.

Jalan yang kedua ialah tarbiah dan dakwah. Jalan ini sama seperti jalan pertama tadi dari keikhalasan dan amalan. Perbezaan jalan ini dari jalan pertama tadi ialah:

(i) Dari segi hubungannya dengan manusia
(ii) Dari segi kajian terhadap manusia dan institusi-institusi kemanusiaan
(iii) Dari segi penglibatannya dalam kegiatan-kegiatan masyarakat
(iv) Dari segi menyediakan penawar untuk merawat penyakit-penyakit masyarakat

Inilah jalan yang lebih mulia di sisi Allah SWT. Al-Quran menggelarnya jalan yang terpuji. Rasulullah SAW sendiri menyebut kepentingan dan kelebihan jalan ini. Selepas merantau di alam sufi, beliau memilih jalan yang kedua kerana ia lebih mulia dan lebih penting.

Beliau juga yakin bahawa seseorang yang telah mencapai ketinggian ilmu dan berpandangan jauh sudah tentu memilih jalan yang kedua. Kata al-Banna:

“Kaumku sudah tidak mempedulikan agamanya lantaran pergolakan politik yang sedang dilaluinya dan keadaan masyarakatnya yang terpengaruh dengan Barat. Mereka telah lupa kepada pencapaian-pencapaian gemilang nenek moyangnya. Berbagai-bagai aliran fahaman bukan Islam telah bercampur-baur dengan agama Islam yang tulen itu sehingga menghasilkan fahaman-fahaman yang penuh kekeliruan dalam Islam.

Dalam bentuknya yang jelas, tulen dan mudah itu telah hilang dari pandangan. Di samping itu, terdapat pula tabir khurafat yang menyekat pertumbuhan fikiran kita. Ringkasnya, umat Islam sedang meraba-raba dalam kegelapan jahiliyah.

Golongan terpelajar dan para belia pula tenggelam dalam jurang keraguan. Sikap ini merosakkan mereka. Iman mereka menjadi lemah dan mereka pun cenderung ke arah fahaman ateisme (mulhid). Saya yakin manusia dari segi fitrahnya adalah berkasih sayang. Dia akan mencari sesuatu yang menjadi sasaran kasih sayangnya.

Tumpuan kasih sayang saya ialah seorang sahabat. Dia bersemadi dalam diri saya seumpama roh saya sendiri. Saya menumpukan kasih sayang saya kepadanya (Ahmad Afandi al-Sakri). Dia begitu meninggalkan kesan dalam persahabatan kami. Keyakinan saya dalam perkara ini adalah mendalam dan jelas.

Hanya yang perlu ialah untuk melihatnya menjadi kenyataan. Cita-cita saya terbahagi kepada dua bahagian:

1. Cita- Cita Khas

Kebahagian keluarga dan saudara mara serta kesetiaan kepada para sahabat tercinta sentiasa mendapat keutamaan dalam hati saya.

2. Cita-Cita Umum

Saya ingin menjadi guru dan pemimpin. Saya ingin mendidik kanak-kanak pada siang hari dan mendakwah ibu bapa mereka pada waktu malam melalui perbincangan dan syarahan dalam agama. Ini boleh juga dilakukan dengan mengarang buku-buku dan melawat tempat-tempat.”

Menurut al-Banna lagi:

“Untuk mencapai cita-cita yang pertama (cita-cita khas), saya telah meneliti sesuatu itu dengan baik. Untuk melaksanakan cita-cita yang kedua, saya telah menyediakan dua senjata akhlak iaitu ketegasan dan pengorbanan. Kedua-dua senjata ini perlu bagi seorang tokoh pembaharuan. Bahkan rahsia kejayaan berada pada kedua-dua senjata ini.

Tokoh pembaharuan yang ada dua senjata ini tidak akan menghadapi kegagalan yang mungkin menjejaskan maruah atau mendatangkan malu kepadanya. Di samping itu, ia juga memerlukan kepada cara praktikal iaitu meneruskan pengajian”.

Huraian:

Al-Banna juga telah menghubungi orang yang sependapat dengannya dan menyokong orang-orang yang berpendapat demikian. Al-Banna sentiasa berdoa kepada Allah agar Dia menerima ushanya dan memberikan kekuatan untuknya melakukan tugas. Katanya:

Semoga jasmani dan rohani saya mendapat bantuan Allah agar saya dapat menjalankan tugas saya ini. Semoga Allah memberi saya keberkatan dan rahmat seperti yang terdapat dalam firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 7:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.

Ini adalah perjanjian antara saya dengan Allah dan guru saya menjadi saksi kepada perjanjian ini. Saya membuat keputusan ini seorang diri. Tiada sesiapa yang mempengaruhi saya kecuali perasaan saya sendiri.

Keputusan ini ialah hasil daripada kesungguhan saya kepada Allah yang mengetahui rahsia hati manusia. Guru saya, Hasan Yusuf Najati memeriksa karangan saya itu dan memberi markah yang sangat baik iaitu tujuh setengah daripada 10.”

Dalam karangan tersebut al-Banna menyebut tentang sahabatnya, Ahmad Afandi al-Sakri yang sama-sama berkongsi perasaan dengannya. Beliau telah berhenti berniaga dan menutup kedainya kerana hendak bersama-sama bergiat aktif dalam dakwah bersama beliau.

Beliau masuk berkhidmat dengan Lembaga Pelajaran Buhairah agar dapat bersama al-Banna apabila tamat pengajian nanti. Tidak lama kemudian, cita-cita ini berjaya dilaksanakan. Al-Banna mendapat kerja di Kementerian Pelajaran dan Ahmad Afandi pula ditukar ke sana. Mereka pun dapat bersama-sama semula di Kaherah untuk beberapa lama.


Sumber: http://abuamru1208.blogspot.com/2013/03/cita-cita-imam-as-syahid-hasan-al-banna.html

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email k[email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia