Catatan Pengalaman Misi ‘BoT to Gaza’ (B2G)

Misi ini adalah misi audit BoT yang bertujuan untuk meninjau dan menilai perkembangan projek-projek yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Aqsa Syarif di Gaza agar memenuhi objektif pelaksanaan projek-projek tersebut. Di samping itu, Aqsa Syarif mahu membuat penilaian tentang potensi projek-projek susulan yang dicadangkan oleh pihak NGO-NGO di Gaza. Dengan tinjauan dan penilaian itu, Aqsa Syarif akan menyalurkan sumbangan berkaitan yang telah dikumpulkan kepada NGO-NGO yang berkenaan.

Berikut adalah olahan pengembaraan rombongan BoT ke sana bagi memantau perjalanan pelbagai projek ekonomi dan kebajikan Aqsa Syarif, berdasarkan catatan Facebook Dr Hafidzi dan Aqsa Syarif.

 

23 Januari 2012Kemasukan ke Gaza

Rombongan B2G memasuki Gaza selepas melalui sedikit ujian di sepanjang perjalanan dari Kaherah ke Rafah. Sekitar jam 5.15 petang, mereka melalui sedikit ujian yang mencemaskan di mana salah seorang dari anggota misi tercicir namanya dalam rekod keselamatan Mesir.

Setibanya di sana, mereka disambut oleh Ir Abdul Rahim Shihab dari Islamic Society of Jabaliya, Syeikh Abdul Latif yang mewakili Pejabat Aqsa Syarif di Gaza serta wakil-wakil media. Rombongan B2G diwawancara oleh TV Al-Quds dan beberapa stesen media tempatan.

 

Kunjungan Hormat ke atas PM Palestin

Perancangan anggota misi B2G pada hari pertama ialah untuk membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyyeh, walaupun tiada jaminan anggota misi B2G dapat menemui beliau. Mereka bersyukur kerana mendapat panggilan pada malam itu bahawa Ismail Haniyyeh berbesar hati menerima kunjungan mereka. Rombongan B2G mendapat penghormatan daripada beliau di samping satu lagi delegasi Malaysia dari MAPPIM.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan rakyat Gaza amat menghargai sumbangan dan perhatian rakyat Malaysia untuk perjuangan pembebasan Palestin. Bagi beliau ini adalah bukti bahawa umat Islam di Malaysia sentiasa melihat perjuangan Palestin sebagai perjuangan bersama umat Islam tanpa mengira batasan bangsa dan negara. “Sesungguhnya umat islam itu bersaudara”. Apatah lagi ia menyentuh tanah suci umat islam, ardhul Anbiya (bumi para Nabi), ardhul isra’ (bumi Isra dan Mikraj) dan kiblat pertama umat Islam.

24 Januari 2012 – Perasmian Pejabat Aqsa Syarif

Rombongan B2G diketuai Pengerusi Aqsa Syarif, Dr Hafidzi telah menghadiri majlis pembukaan pejabat Aqsa Syarif di Gaza pada tengahari. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kebajikan Sosial dan Tenaga Buruh Palestin, Ahmad Al-Kurd. Majlis dihadiri oleh beberapa wakil badan kebajikan di Gaza serta pihak media tempatan.

“Kami mewakili kerajaan dan rakyat Palestin akan sama-sama bekerjasama dalam membantu mempermudahkan segala urusan pejabat Aqsa Syarif, dan kami sangat mengalu-alukan pembukaan pejabat ini,” kata Al-Kurd.

Dalam pada itu, Dr Hafidzi pula memberi ucapan, kata beliau : “Pembukaan pejabat Aqsa Syarif ini diharap dapat memudahkan lagi pemantauan projek-projek Aqsa Syarif di Gaza dan memudahkan analisa segala keperluan rakyat Palestin dengan lebih teliti dan telus.”

 

Lawatan ke Ladang Lembu Jabaliya

Rombongan B2G turut mengadakan lawatan misi audit ke ladang lembu Islamic Society of Jabaliya (ISJ). Setakat ini sebanyak RM145,000 telah disalurkan dalam tiga peringkat iaitu RM100,000 pada tahun 2010; RM 25,000 pada tahun 2011 dan RM20,000 pada tahun 2012. Setakat ini ladang ternakan lembu yang diusahakan oleh ISJ ini memiliki 70 ekor lembu dan mereka berhasrat untuk membeli 70 ekor lembu lagi dari penternak Palestin dan diusahakan mengikut piawai penternakan yang tinggi. Ladang ternakan lembu ini sangat penting kerana ia membekalkan susu, yogurt dan keju yang amat penting bagi memenuhi keperluan makanan asasi rakyat Palestin di Gaza. Lembu di ladang ternakan ini diperah susunya dua kali sehari sebagaimana amalan ternakan profesional.

Satu lagi ladang ternakan ini berada di sempadan utara Jabaliya yang bersempadan dengan negara haram Israel. Ketika misi B2G membuat lawatan dan audit, kompleks perumahan rakyat Israel kurang dari 2 km dari ladang ternakan lembu tersebut. Semasa serangan pada tahun 2008-2009, kawasan ini menerima bedilan bertubi-tubi sehingga hampir semua rumah dan bangunan di sini ranap sama sekali.

Ladang ternakan ini turut mengalami kematian beberapa ekor lembu akibat bedilan tentera Israel. Namun kecekalan ISJ di bawah pimpinan Ir Abd Rahim Shihab yang tetap bertahan di tapak yang sama telah memberi kesan psikologi yang positif kepada penduduk di sekitar ladang ini. Mereka kembali ke rumah masing-masing dan membangunkan semula rumah mereka yang telah ranap. Ketika kami berada di sana, kesan-kesan serangan sudah tidak kelihatan dan keadaan kembali normal, bahkan pada malam tersebut sedang berlangsung majlis resepsi perkahwinan yang amat meriah.

 

Lawatan ke Projek Akuakultur

Industri akuakultur di Gaza sangat penting kerana aktiviti menangkap ikan telah disekat oleh Israel. Nelayan Gaza hanya dibenarkan pergi sejauh 3km dari pantai (kemudian di kurangkan kepada 2 km). Inilah kezaliman yang amat menyolok mata kerana undang-undang antarabangsa memberi hak kepada negara untuk melaksanakan aktiviti berkaitan ekonomi (termasuk menangkap ikan) sejauh 200 batu nautika (EEZ – Exclusive Economic Zone).

Untuk itu, anggota misi telah mengaudit projek akuakultur yang diusahakan oleh ISJ  yang turut dibiaya oleh Aqsa Syarif melibatkan dua jenis ikan. Yang pertama ialah tilapia merah (di Gaza disebut Bolti). Tempoh pengeluaran ialah enam bulan dengan purata berat seekor ikan 500 gram pada harga USD7 sekilogram, menyamai RM21 sekilogram.

Yang kedua ialah sparus aurata (di Gaza disebut Danis). Tempoh pengeluaran ialah 11 bulan dan purata berat seekor ialah 500 gram dengan harga pasaran USD13 sekilogram, menyamai RM 36 sekilogram. Kapasiti pengeluaran kedua-dua jenis ikan dari projek akuakultur ISJ ini ialah 60 tan (60,000 kg) iaitu 30 tan bagi setiap satu.

Fakta yang perlu diketahui adalah, harga pasaran ikan adalah sangat tinggi kerana bekalan bahan mekanan ikan diperolehi dari israel dengan harga yang melambung, akibat sekatan ekonomi dan tekanan Israel. Ini menyebabkan kos pengeluaran adalah tinggi.

Meskipun kos pengeluarannya tinggi, namun ISJ dapat membekalkan ikan segar kepada penduduk Gaza pada harga yang lebih rendah, bahkan dapat pula membekalkan ikan segar secara percuma kepada beratus keluarga miskin di Gaza secara tetap yang terdapat pada senarai pembelaan ISJ.

Kerana itu, amat penting bagi masyarakat antarabangsa membantu mengurangkan kos pengeluaran ikan dalam keadaan sekatan ekonomi dan kos pengeluaran yang melampau. Oleh itu Aqsa Syarif akan mengambil projek akuakultur ini sebahagian dari projek ekonomi mapan yang akan terus dibantu dengan sokongan dana dari rakyat Malaysia yang prihatin. Umat Islam diseru supaya meneruskan sumbangan untuk projek ini dan projek-projek lain melalui Aqsa Syarif.

 

Roti Malaysia

Roti yang dihasilkan oleh kilang roti persahabat Malaysia-Palestin mendapat tempat di kalangan penduduk Palestin di Gaza. Notis ini (gambar kiri) ditampal di sebuah kedai runcit yang mengiklankan roti Malaysia dijual pada harga diskaun sebanyak 15% dari harga pasaran. Ini adalah berdasarkan kepada konsep kilang roti yang dibina melalui dana sumbangan rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif adalah untuk membantu rakyat Gaza yang menderita akibat kepungan Israel.

Bagi penduduk miskin mereka akan mendapat bekalan secara percuma, bagi yang berkemampuan akan dijual pada harga kos. Di pasaran, roti Malaysia dijual pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Ini adalah satu model membangun dan memperkasa ekonomi umat islam yang mapan dalam suasana kepungan. Walaupun berada dalam situasi embargo, rakyat Palestin masih mampu untuk mandiri bahkan menjana ekonomi.

 

Profil Pelaksana Projek – ISJ

Islamic Society of Jabaliya (ISJ) adalah NGO pelaksana terbesar projek-projek Aqsa Syarif di Gaza. Pengerusinya Ir Abdul Rahim Shihab adalah seorang yang sangat komited untuk membantu penduduk Gaza yang miskin akibat sekatan Zionis Israel. Projek-projek Aqsa Syarif yang berjaya dilaksanakan melalui ISJ ialah kilang roti (Malaysian-Palestinian Friendship Bakery), projek kolam ikan dan ternakan lembu. Yang menarik dan uniknya, projek-projek tersebut ialah projek ini bukan sahaja lestari (sustainable) tetapi juga dapat menjana keuntungan.

Keuntungan ini diolah dalam bentuk menyediakan bantuan untuk keluarga miskin dan anak yatim. Pada kunjungan dan misi audit, rombongan B2G telah dijemput untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga miskin yang dibantu oleh Aqsa Syarif melalui ISJ. Pengerusi Aqsa Syarif dan rombongan telah dijemput untuk mengagih-agihkan roti dari kilang roti Malaysia-Palestin, ikan hasil ternakan ikan akuakultur dan bekalan susu, yogurt dan keju kepada lebih daripada 50 keluarga miskin.

Atas kepercayaan akan kemampuan ISJ mengendalikan projek-projek ini secara lestari (sustainable) maka Aqsa Syarif telah menyumbang dana tambahan sebanyak Euro 5,000 (RM30,000) untyuk projek ternakan lembu, Euro 7,500 (RM45,000) untuk kilang roti dan Euro 5,000 (RM30,000) untuk projek ternakan ikan.

 

Lawatan ke ISJ dan Penyerahan Bantuan

Selepas penyerahan bantuan bungkusan makanan kepada keluarga miskin yang dibantu oleh ISJ, delegasi audit Aqsa Syarif dibawa melawat pejabat ISJ serta diberi penerangan tentang operasi ISJ yang mempunyai 11 jabatan. Dari SOP (Standard Operating Procedure), sistem fail dan penyimpanan rekod yang rapi, pasukan audit B2G merasa amat berpuas hati dan yakin dengan amalan urus tadbir dan profesionalisme ISJ. Bahkan ISJ sedang menuju kepada pensijilan ISO. Jika ini menjadi kenyataan, maka ISJ akan memiliki sijil ISO 9000 yang pertama di Gaza.

Acara penutup sebelum anggota misi beredar ialah sekali lagi delegasi B2G Aqsa Syarif diberi penghormatan untuk menyerahkan bantuan wang kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim. Mereka telah dijemput untuk majlis penyerahan sumbangan sebanyak USD50 bagi setiap ibu tunggal. Sumbangan ini juga datangnya dari penjanaan pendapatan kilang roti dan ladang ternakan lembu. Ini satu lagi bukti bahawa model perniagaan yang dilaksanakan oleh ISJ adalah ‘self sustainable’ dan dapat pula memenuhi keperluan CSR (Corporate Social Responsibility) yang menjadi ciri mana-mana syarikat korporat yang berwibawa.

Perlu dicatat juga di sini, anak-anak yang hadir diberi mainan, gula-gula dan pensil yang ada bendera Malaysia untuk tujuan keceriaan. Apa yang disaksikan anak-anak ini, meskipun hidup dengan segala kekurangan menunjukkan adab yang amat mengkagumkan. Mereka tidak berebut-rebut walaupun ada anak-anak yang tidak mendapat mainan. Ada yang hendak menukar mainan dan mereka meminta izin terlebih dahulu. Semua anak-anak ini berdisiplin dan ibu-ibu mereka tidak menghadapi kesukaran untuk mengawal anak-anak tersebut sebagaimana yang lazimnya berlaku pada kebiasaannya. Apa yang disaksikan adalah ibrah (pengajaran) untuk renungan kita semua.

 

Menyelami Kehidupan Penduduk

Ketika menziarahi keluarga termiskin yang paling teruk terjejas akibat kepungan dan sekatan Zionis ke atas Gaza, anggota misi serba sedikit telah menyelami apa yang mereka terpaksa harungi setiap hari. Tiada sistem pembentungan disana di mana anggota misi mengharungi kawasan yang digenangi air najis yang tidak dirawat untuk menziarahi rumah Saudara Sidiq, salah sebuah keluarga termiskin. Air hujan pula melimpah ke dalam rumah kerana atap yang tidak sempurna dan rumah berada pada paras yang lebih rendah dari jalan serta tiada sistem perparitan.

Setiap kali hujan mereka ketakutan dan basah kesejukan. Mereka turut berkongsi dengan keldai, haiwan tunggangan sebagai pengangkutan yang cukup penting untuk mereka ke pasar dan urusan kehidupan yang lain. Dengan bilangan anak yang ramai, Sidiq yang mempunyai 12 orang anak, tidur dalam sebuah atau dua buah bilik yang sangat daif. Dapur dan tandas pula terletak bersebelahan.

Inilah realiti keluarga miskin yang paling teruk terjejas akibat kepungan dan sekatan ekonomi ke atas Gaza. ISJ berusaha untuk membekalkan susu, roti dan ikan hasil dari projek-projek kilang roti, ladang ternakan lembu dan kolam ikan yang dibangunkan dengan sumbangan dana dari Aqsa Syarif. Aqsa Syarif menyeru agar saudara dan saudari terus menyumbang untuk membantu ISJ menyelamatkan keluarga-keluarga yang daif ini. Mudah-mudahan kedudukan sosioekonomi mereka bertambah baik dan mereka dapat menumpukan pula pada usaha menyekolahkan anak-anak mereka.

 

25 Januari 2012 – Lawatan ke Kementerian Kesihatan Palestin

Lawatan misi B2G ke pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza telah diadakan di mana rombongan sebagai susulan kepada sumbangan ubat-ubatan yang diserahkan oleh delegasi A2G2 Aqsa Syarif (ketua misi Dr Zin Kandar) pada Ramadhan yang lalu.

Anggota misi B2G disambut oleh Dr Medhat Abbas, Pemangku Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza. Dalam ucapan beliau telah menerangkan tentang situasi kesukaran yang dihadapi oleh sektor perubatan dan kesihatan di Gaza. Keperluan yang paling kritikal ialah bekalan ubat-ubatan yang kehabisan stok dan kekurangan yang amat kritikal, di samping masalah pengendalian alat-alat kerana ketiadaan alat-alat ganti dan penyenggaraan.

Tambahnya, tentera Israel juga sudah disahkan menggunakan senjata yang sengaja ditambah dengan bahan kimia dan radioaktif yang boleh menyebabkan kanser dan juga kecacatan serta kemandulan. Kerana itu didapati insiden kanser di kalangan kanak-kanak adalah tinggi. Ini tidak termasuk lain-lain kecacatan kepada janin akibat terdedah kepada bahan radioaktif. Ini memang sengaja dilakukan untuk membunuh generasi akan datang.

Dr Medhat juga menceritakan pengalaman yang amat memilukan semasa serangan Israel pada tahun 2008-2009 di mana Kementerian Kesihatan Palestin diberi keizinan oleh pihak berkuasa Mesir untuk memindahkan 1200 pesakit yang tercedera akibat serangan Israel untuk menerima rawatan di Mesir. Malangnya apabila sampai ke sempadan Rafah bilangan tersebut dikurangkan kepada 300 orang.

Selanjutnya bilangan seramai 300 orang ini dikurangkan lagi kepada 70 pesakit sahaja. Beliau tidak dapat membayangkan betapa terseksanya jiwa beliau apabila terpaksa memilih 70 orang dari 1200 yang kesemuanya berada di dalam keadaan yang kritikal. Akhirnya pesakit-pesakit tersebut meninggal dunia di sempadan rafah akibat polisi zalim Mesir yang tunduk kepada Israel.

 

Sumbangan untuk Hospital Rantissi dan Perasmian Bilik Permainan

Dalam kunjungan tersebut, Aqsa Syarif telah menyerahkan USD15,000 untuk keperluan Hospital Rantissi untuk mengatasi masalah bekalan elektrik yang selalu terputus, akibat embargo dan kepungan Israel. Sumbangan ini adalah dari sebuah syarikat di Malaysia UPS (Uninterrupted Power Supply) bagi memastikan mesin dan peralatan seperti mesin hemodialisis yang amat bergantung kepada bekalan elektrik yang berterusan tidak terjejas fungsinya.

Pihak Aqsa Syarif mengucapkan terima kasih kepada pihak UPS dan kepada salah seorang anggota misi A2G2 Aqsa Syarif iaitu Saudara Khalil Khamis, Pengerusi Aqsa Syarif Hulu Selangor yang juga merupakan staf UPS. Peraturan Pihak Berkuasa Palestin di Gaza menetapkan semua bantuan samada wang atau ubat-ubatan, perlu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan yang akan mengeluarkan peruntukan tersebut kepada pihak penerima iaitu untuk Hospital Rantissi.

Rombongan misi B2G turut menghadiri majlis perasmian Bilik Permainan dan Perpustakaan di Hospital Pakar Kanak-Kanak Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi di Gaza City. Projek ini ditaja oleh Aqsa Syarif Berhad dan dilaksanakan oleh Khatwa Youth Foundation. Idea awal pembinaan bilik ini ialah selain merawat kanak-kanak dari sudut kesihatan badan, pihak hospital juga ingin mengurangkan tekanan psikologi daripada kanak-kanak yang kebanyakannya mengalami penyakit kanser.

 

Islamic University of Gaza (IUG): Terbaik di Rantau Arab

Rombongan B2G juga mengadakan lawatan ke Islamic University of Gaza (IUG) . Lawatan yang berobjektifkan pemantauan projek Aqsa Syarif di IUG ini disambut oleh Presiden IUG, Dr Kamalain Sha’ath. Di antara misi B2G Aqsa Syarif ialah untuk mengaudit bantuan sebanyak RM250,000 yang disalurkan kepada Islamic University of Gaza pada tahun 2009 bagi tujuan pembinaan semula makmal-makmal yang musnah akibat serangan Israel pada akhir tahun 2008 awal 2009.

Dalam pertemuan dengan Presiden Islamic University of Gaza dan pegawai utama universiti, anggota misi dimaklumkan bahawa IUG menduduki tangga ke-65 dalam ranking universiti dunia berdasarkan konsep ‘sustainability’ (mapan) dan berada di tangga teratas di kalangan universiti di negara-negara Arab. Pencapaian ini amat membanggakan bagi sebuah universiti yang berada di sebuah negara yang menghadapi embargo dan kepungan oleh Zionis Israel.

Anggota misi mendapati sebahagian besar dari makmal dan bangunan tersebut telah dibangunkan semula sehingga tiada tanda-tanda ia pernah mengalami kemusnahan yang besar sebagaimana yang dilihat pada gambar-gambar foto yang diserahkan kepada PACE (Palestine Centre of Excellence) ketika dikunjungi oleh Dr Jamal Khaduri (Pengerusi Board of Trustees IUG pada) pada tahun 2009 dahulu.

Gambar di atas menunjukkan makmal-makmal di Islamic University of Gaza yang dimusnahkan oleh Israel dalam serangan pada tahun 2008-2009 telah dibaik pulih dan dibina semula. Dalam serangan biadab tersebut sebanyak 74 makmal mengalami kemusnahan. Ini termasuklah makmal Mikrobiologi, Hermatologi, Genetik, Teknologi and Kimia Perubatan, Fizik, Sains Persekitaran dan Bumi, Biologi, Bioteknologi, Optik, Kimia, Kejuruteraan serta bangunan-bangunan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

International Association of Universities (IAU) yang mana IUG adalah ahlinya telah mengutuk serangan tersebut dan menyatakan komitmen untuk membantu IUG membina semula bangunan-bangunan yang musnah. Pada Jun 2009, PACE Malaysia (Palestine Centre of Excellence/JIM) telah dikunjungi oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IUG iaitu Dr Jamal Khaduri dan sebanyak RM250,00 telah diserahkan untuk tujuan pembiayaan pembinaan bangunan makmal tersebut.

Islamic University of Gaza mempunyai 20,269 pelajar iaitu 19,355 pra-siswazah dan 914 pasca-siswazah. Semasa lawatan ke IUG, B2G Aqsa Syarif telah dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira 200 pelajar pra-siswazah yang mengalami kesukaran untuk meneruskan pengajian disebabkan oleh masalah kewangan. Mereka perlu menjelaskan yuran pengajian semester yang akan bermula. Anggota misi telah membuat keputusan untuk memberi sumbangan sebanyak USD15,000 bagi tujuan tersebut. Wang tersebut boleh dimanfaatkan untuk melunaskan yuran pengajian untuk 20 orang pelajar.

Aqsa Syarif turut dibekalkan kertas cadangan bantuan pelajar miskin IUG. Ahli-ahli lembaga Aqsa Syarif akan berbincang dalam masa yang terdekat bagaimana langkah seterusnya untuk mengurangkan beban kewangan pelajar-pelajar miskin di Gaza akibat sekatan dan kepungan Israel. Bagi pihak Aqsa Syarif, ini adalah bantuan yang wajar diberi keutamaan kerana ia melibatkan usaha pembinaan modal insan di Gaza yang sangat penting untuk masa depan rakyat Palestin.

Sumber dan maklumat lanjut:
1. Facebook AQSA SYARIF
2. Facebook Dr Hafidzi Mohd Noor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia