Carilah usrah dan gapailah kejayaan,” kata Prof Madya Dr Azarisman Shah Mohd Shah tentang usrah yang menjadi faktor penting beliau berjaya meraih ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perubatan, yang memperkuatkan dan membina dirinya selain daripada sokongan keluarga.
Doktor pakar kardiologi ini merupakan Exco IKRAM Health dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa IKRAM Pahang telah menerima ijazah PhD tersebut dalam konvokesyen di The University of Adelaide, Australia pada 6 Mei lalu.
Mendapat sarjana muda perubatan di universiti yang sama pada tahun 2000, beliau menamatkan pengajian di peringkat sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006. Bersifat tidak mengalah dalam menuntut ilmu, pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan ini berjaya merealisasikan impiannya di peringkat yang lebih tinggi.
“Ketabahan dan ketahanan lebih mencerminkan diri saya, bukannya kecerdikan atau kepandaian.”
Sering diingatkan oleh kedua ibu bapa tentang kepentingan pendidikan sejak awal, beliau turut mendapat inspirasi daripada kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali antaranya hadis tentang kepentingan ilmu dan kupasan-kupasan yang sering dibincangkan dalam liqa’-liqa’ (pertemuan) usrah sejak menuntut di matrikulasi lagi.
“Sesiapa yang membuka satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan membukakan satu jalan untuknya ke syurga.” (HR Tirmidzi)
“Sesiapa yang Allah menginginkan kebaikan untuk seseorang, maka Dia akan memberikannya kefahaman dalam agama.” (HR Bukhari and Muslim)
Beliau sering diingatkan dalam ‘bulatan-bulatan ilmu’ untuk sentiasa ‘berniaga’ dengan Allah azza wa jalla (as-Saff: 10-11), memberikan masa dan tenaga dalam medan amal sambil mengharapkan kejayaan akademik sebagai imbalan dan ganjaran.
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad: 7)
Sepanjang perjalanan yang berliku ini katanya, hanya ada satu ketentuan yang pasti iaitu kehadiran individu-individu yang sefahaman, berusaha sedaya upaya di dunia yang fana ini, hanya sebagai sandaran untuk mendapatkan ganjaran yang terbaik di akhirat.
“Merekalah yang sering memberi galakan, menghulurkan bantuan, menyuntikkan semangat dan melahirkan harapan.
“Mereka yang tidak ternama inilah, rakan-rakan seusrah dan murabbi-murabbi kami yang menjadi pengaruh terbesar terhadap kejayaan akademik saya, selain kedua ibu bapa, isteri dan anak-anak serta kawan-kawan rapat,” jelasnya.
Sumber: QuranicGen
*Berminat sertai usrah? Sila mesej nama, umur, tempat tinggal/belajar dan nombor telefon bimbit di facebook JUS – Jom Usrah