Cara Hikmah Tangani Islamofobia dan Reaksi Melampau

Islamofobia dan reaksi melampau atas nama agama sering dianggap dua krisis yang berasingan. Hakikatnya, kedua-duanya saling berkait dan berpunca daripada kegagalan memahami serta mengamalkan agama secara adil, beradab dan berteraskan hikmah.

Malaysia sejak sekian lama dibina atas asas kepelbagaian agama, budaya dan kaum. Dalam kerangka ini, Islam dimaktubkan sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, satu ketetapan asas yang perlu difahami bukan sekadar dari sudut undang-undang, tetapi dari segi falsafah pembinaan negara.

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi bukan bermaksud penafian hak penganut agama lain, tetapi menuntut kefahaman dan penghormatan bersama terhadap hak persetujuan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Masyarakat bukan Islam wajar memahami dan menghormati kedudukan ini, manakala umat Islam pula dituntut membawa agamanya dengan keadilan, rahmah dan kebijaksanaan.

Namun kebelakangan ini, media sosial semakin dipenuhi ketegangan identiti, polarisasi agama dan sentimen saling mencurigai. Islamofobia dalam konteks Malaysia hari ini jarang muncul sebagai kebencian terbuka terhadap Islam.

Kecenderungan ini lazimnya terzahir sebagai kebimbangan melampau terhadap amalan dan penzahiran Islam, syak wasangka terhadap aktiviti dakwah, serta kecenderungan melabel ekspresi Islam yang tegas sebagai ekstrem atau mengancam keharmonian.

Pada masa yang sama, sebahagian reaksi umat Islam terhadap salah faham ini pula bersifat keras dan tidak berhikmah. Bahasa menghukum, kecenderungan melabel pihak lain sebagai musuh agama serta pendekatan konfrontasi bukan sahaja gagal meredakan keadaan, malah mengeruhkan lagi persepsi terhadap Islam.

Di sinilah pendekatan wasatiyyah perlu ditegaskan iaitu umat Islam tidak wajar bereaksi secara melampau, namun masyarakat bukan Islam juga perlu menghormati Islam sebagai agama rasmi Perlembagaan. Kegagalan memahami garis panduan ini berisiko menjejaskan keharmonian dan kestabilan sosial negara.

Krisis sebenar: Cara kebenaran dibawa

Hakikat yang perlu diakui dengan jujur ialah krisis hari ini bukan berpunca daripada ajaran Islam itu sendiri, kerana Islam adalah agama yang sempurna. Sebaliknya, krisis ini berakar daripada cara agama difahami dan diamalkan oleh penganutnya.

Dalil al-Quran dan hadis tidak pernah kurang dipetik. Namun yang semakin pudar ialah adab memahami dalil, kebijaksanaan menyampaikan kebenaran dan rahmah dalam mengurus perbezaan.

Kebenaran tidak pernah menjadi punca perpecahan atau ketakutan. Sebagai sesuatu yang sahih dan tetap, masalah timbul apabila kebenaran digunakan sebagai alat untuk menyerang, bukan sebagai asas untuk menegakkan keadilan.

Apabila agama dibawa tanpa kebijaksanaan, kebenaran yang sepatutnya membimbing disalahgunakan untuk kepentingan kelompok. Keadaan ini menyebabkan Islam digambarkan sebagai agama yang menghukum, bukannya agama yang membawa penyembuhan dan rahmah.

Justeru, punca masalah bukanlah kebenaran, tetapi cara kebenaran itu diolah dan diletakkan. Kesannya, masyarakat bukan Islam melihat Islam dengan rasa takut, sementara umat Islam sendiri semakin terpecah.

Umat wasatiy: Adil, seimbang dan cemerlang

Dalam Islam, prinsip wasatiyyah merupakan teras pembinaan umat yang unggul. Umat wasatiy adalah umat yang bersederhana, adil, seimbang dan cemerlang seperti yang dihuraikan oleh Almarhum Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.

Kesederhanaan dalam Islam bukan sekadar berada di titik tengah antara dua ekstrem. Kesederhanaan ialah kecemerlangan dan kebijaksanaan dalam menegakkan kebenaran.

Ia bukan kompromi terhadap prinsip, tetapi kematangan dalam mengamalkan prinsip. Umat wasatiy ialah umat yang cemerlang dalam mempromosikan hikmah.

Pembinaan umat wasatiy menuntut tiga teras utama iaitu iman yang kukuh, takwa yang membimbing, dan ilmu yang mencerahkan. Daripada asas inilah lahir umat yang berani mempertahankan kebenaran tanpa mengorbankan adab dan rahmah.

Namun pada hari ini, semangat wasatiy semakin terhakis dalam wacana dan amalan masyarakat. Ketegasan sering disalahertikan sebagai kekerasan, manakala hikmah dianggap kelemahan. Dalam suasana ini, Islamofobia dan reaksi melampau saling menguatkan antara satu sama lain.

Taif dan visi masa hadapan Rasulullah SAW

Sirah Nabi Muhammad SAW memberikan gambaran yang sangat jelas tentang hikmah yang berpandangan jauh. Ketika berdakwah di Taif, Baginda dihina, dicaci dan dilontar batu sehingga berdarah.

Namun Baginda tidak membalas dengan doa kebinasaan atau kemarahan. Rasulullah SAW memiliki visi masa hadapan (futuristic view), bahawa daripada generasi yang menolak hari ini, akan lahir generasi yang menerima kebenaran pada masa hadapan.

Kesabaran Baginda bukan tanda kelemahan, tetapi kebijaksanaan seorang pemimpin yang memahami bahawa hidayah tidak lahir daripada paksaan atau emosi, tetapi daripada akhlak dan keteladanan.

Ketaasuban: Dari dakwah ke politik

Antara punca utama ketegangan agama dan sosial hari ini ialah ketaasuban atau fanatisme sempit. Ketaasuban bukan sekadar sikap tegas, tetapi keadaan yang memperlihatkan kesetiaan kepada kelompok, ideologi atau individu mengatasi kebenaran dan keadilan.

Dalam politik, ketaasuban menjadikan perbezaan pandangan sebagai permusuhan. Sedangkan hakikatnya, perbezaan pandangan sepatutnya menjadi ruang untuk membina bersama, bukan menghancurkan.

Ketaasuban menutup pintu dialog dan mematikan empati. Lebih membimbangkan, ia sering diselindungkan atas nama mempertahankan agama. Ayat al-Quran dan hadis dipetik untuk membakar emosi, bukan menenangkan jiwa.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, ketaasuban menjadi racun sosial yang menghakis kepercayaan antara komuniti dan secara tidak langsung menyuburkan Islamofobia.

AISAR: Mengembalikan asas moral dan spiritual masyarakat

Dalam menghadapi realiti ini, Asas Islam Rahmah (AISAR) wajar diketengahkan sebagai kerangka pemikiran dan pendekatan untuk mengembalikan keseimbangan masyarakat.

AISAR bukan slogan baharu dan bukan usaha kosmetik untuk meredakan kritikan, tetapi sebagai asas pembaikan tamadun dan pembinaan jiwa manusiawi.

Konsep AISAR yang diperkenalkan IKRAM menegaskan bahawa Islam mesti dibawa dengan asas moral dan spiritual yang kukuh, berpaksikan rahmah, hikmah, keadilan dan kemanusiaan. Islam bukan sekadar apa yang diperjuangkan, tetapi bagaimana ia diperjuangkan.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 125 menjadi asas penting kepada AISAR, iaitu seruan ke jalan Tuhan mesti dilakukan dengan hikmah, nasihat yang baik dan perbahasan yang paling mulia. Ayat ini adalah panduan mengurus konflik sosial, bukan sekadar teks dakwah. Ia menuntut pendekatan yang berlapang dada dan berpandangan jauh.

Kebenaran yang disampaikan tanpa hikmah akan berubah menjadi fitnah dan agama yang dibawa tanpa rahmah akan melahirkan ketakutan, bukan hidayah.

Menurut Syaikh Dr. Shalih bin Abdullah bin Humaid, Imam Masjidil Haram, ayat ini menegaskan untuk menyeru manusia kepada agama Islam dengan cara yang sesuai dengan keadaan objek dakwah, pemahaman dan kedudukannya, melalui nasihat yang mengandungi motivasi dan peringatan, serta berdebat dengan cara yang lebih baik dari sisi perkataan, pemikiran dan konteks.

Tambahnya, kita tidak bertugas memberi manusia hidayah, akan tetapi tugas kita hanya menyampaikan dakwah kepada mereka.

Menuju masa depan Malaysia yang matang

Menghadapi cabaran Islamofobia dan reaksi melampau memerlukan pendekatan yang matang dan berjangka panjang.

Masyarakat bukan Islam perlu memahami dan menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan falsafah perlembagaan negara.

Umat Islam pula wajib memastikan cara agama dibawa mencerminkan keadilan, hikmah dan rahmah.

Jika imej Islam hari ini menambah ketegangan dan perpecahan, maka yang perlu diperbetulkan ialah cara Islam difahami dan dibawa.

Islam diturunkan sebagai rahmat untuk seluruh alam. Hanya Islam yang dihidupkan dengan hikmah, keadilan dan rahmah mampu menjadi jawapan kepada Islamofobia dan reaksi melampau.

Inilah cabaran besar umat Islam hari ini dan inilah tanggungjawab bersama demi masa depan Malaysia yang aman, matang dan berdaya tahan.

Hj. Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia