Setiap keluarga mengalami kedinamikan yang unik dan salah satu aspek yang sering menjadi fokus perhatian adalah karakter anak.
Sesetengah orang memandang anak sebagai sumber keberkatan dan rezeki bagi keluarga, sementara yang lain mungkin menganggapnya sebagai tanggungan atau beban.
Seorang “anak rezeki” mungkin membawa kebahagiaan dan keceriaan, manakala “anak beban” mungkin melibatkan tanggungjawab dan cabaran. Anak sering dianggap sebagai anugerah dan sumber kebahagiaan bagi orang tua. Senyum, tawa dan cinta anak-anak membawa keceriaan yang tak ternilai dalam kehidupan keluarga.
Perkara ini dipengaruhi oleh sejumlah faktor seperti nilai-nilai budaya, situasi ekonomi dan pandangan personal. Artikel ini akan menjelajahi perspektif yang berbeza terkait apakah anak dianggap sebagai rezeki atau beban dalam konteks keluarga?
Kehadiran anak
Kehadiran anak dalam hidup pasangan suami isteri adalah satu kegembiraan dan kebahagiaan. Selain itu, hadirnya anak juga dianggap dapat menjadikan kehidupan keluarga lebih bermakna. Momen-momen bersama anak-anak dianggap berharga dan memberikan kebahagiaan.
Sebagai ayah dan ibu, mereka sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah. Kehidupan terus berjalan dan anak semakin dewasa menempuh hari-hari kedewasaannya. Walau bagaimanapun, ayah dan ibu semakin sunyi, terkadang kebahagiaan mereka hilang bersama kegembiraan anak.
Ada ibu bapa yang bersyukur atas kelahiran anak mereka yang merupakan “amanah” daripada Allah SWT. Namun, ada ibu bapa yang berdoa setiap hari hanya untuk mengharapkan anak-anak yang diamanahkan ini mampu menyebut satu perkataan sahaja iaitu “ibu” mahupun “ayah”.
Kebahagiaan tidak hanya bergantung pada keindahan, tetapi ditentukan juga oleh cara kita melihatnya mengikut tafsiran dunia kita sendiri. Fahamilah, bahagia di dunia hanyalah sementara.
Oleh itu, menjadi hamba yang benar-benar mengabdikan diri kepada Tuhannya dan sentiasa mengharapkan syurga Allah SWT adalah makna sebenar kebahagiaan.
Penerus generasi keluarga
Anak sebagai penerus generasi keluarga merujuk pada anggota keluarga yang diharapkan untuk melanjutkan tradisi, nilai-nilai dan tanggungjawab keluarga ke generasi berikutnya. Sebagai anak penerus generasi keluarga, seseorang mungkin memiliki peranan khusus dalam menjaga dan meneruskan warisan keluarga.
Hal ini termasuklah aspek seperti etika, budaya, agama dan moral. Anak-anak ialah aset masa depan dan generasi penerus bangsa yang mempunyai kesukaran dan keterbatasan dalam memahami dan melindungi diri daripada pelbagai pengaruh sistem yang sedia ada.
Masa kanak-kanak ialah masa untuk membesar dan berkembang. Perkembangan pada masa ini merupakan asas bagi tahap perkembangan berikutnya. Perlakuan pada masa kanak-kanak harus diberikan perhatian dengan teliti supaya ia membantu mereka untuk terus berkembang.
Tambahan pula, anak-anak dapat memiliki watak dalam membangunkan dan menjaga hubungan keluarga. Perkara ini melibatkan jalinan komunikasi yang baik dengan anggota keluarga lainnya serta memberikan dukungan emosional dan praktis.
Meskipun anak-anak diharap untuk mengekalkan tradisi, tetapi mereka juga perlu bersedia untuk perubahan dan perkembangan dunia. Mereka dapat memainkan peranan dalam membawa keluarga ke era moden sambil tetap mengekalkan nilai tradisional.
Umum mengetahui bahawa ramai pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Anak merupakan dambaan bagi setiap pasangan yang berkahwin. Anak juga dianggap sebagai pembawa rezeki untuk keluarga dan pengikat kasih sayang.
Oleh itu, jangan pernah menafikan perkara yang sudah jelas. Apabila anak “buat perangai”, mulalah ibu bapa naik angin sehingga ada yang menganggap anak itu membebankan mereka, sedangkan selama ini merekalah pembawa rezeki untuk keluarga.
Justeru, ibu bapa tidak perlu berasa terbeban atau terlalu berkira dengan anak-anak. Meraka inilah yang menjadi asbab rezeki kepada keluarga.
Ada juga ibu bapa yang sangat bimbang untuk menambah bilangan anak memikirkan tentang kos yang semakin meningkat.
Membesarkan anak memerlukan tanggungjawab kewangan yang besar. Kos pendidikan, rawatan kesihatan dan keperluan seharian boleh menjadi beban yang sangat berat kepada sesetengah ibu bapa.
Tekanan hidup
Dasawarsa ini, bahkan sejak dahulu lagi, isu pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia boleh dikatakan menjadi buah mulut seluruh dunia.
Pembuangan bayi ini berlaku antaranya disebabkan tekanan hidup dalam kalangan mereka yang lemah pegangan agama. Natijahnya, tidak kisahlah sama ada pelakunya ibu, bapa, nenek atau sesiapa sekalipun, janganlah berfikir untuk melakukan perkara yang amat tidak wajar itu.
Ketahuilah bahawa anak itu adalah satu rezeki yang tidak terhingga nilainya yang dianugerahkan Tuhan untuk dididik dan dibimbing menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapa serta masyarakat di sekelilingnya.
Sehubungan dengan itu, anak-anak memerlukan masa dan perhatian yang sewajarnya. Bagi ibu bapa yang memiliki kesibukan yang melampau, hal ini dirasakan menjadi beban tambahan yang mengganggu masa dan tenaga mereka.
Benar, membesarkan anak-anak memerlukan banyak masa, perhatian dan tenaga yang signifikan. Ibu bapa yang terlalu sibuk seringkali menghadapi cabaran untuk mencari keseimbangan antara pekerjaan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang nekad terjun dari balkoni rumahnya di tingkat dua perumahan penjawat awam di Putrajaya beberapa tahun lalu mungkin menjadi bukti betapa perkara ini benar dan serius.
Kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian dalam keadaan rumah berkunci sejak pagi hingga tengah hari itu mengalami kecederaan di bahagiaan mulut dan gigi berikutan tindakan tersebut. Apabila ditanya, dia berkata bahawa dia berasa takut dan lapar dan ingin pergi ke pejabat ibunya.
Insiden seperti ini berlaku akibat ibu bapa zaman sekarang yang sibuk berkerjaya, mencari duit dan bersaing dalam dunia materialistik.
Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa kos hidup yang tinggi menjadi punca ibu bapa mengejar harta sehingga gagal melaksanakan tanggungjawab serta peranan sebagai ibu bapa sejati.
Sesibuk mana pun ibu bapa, mereka perlu meluangkan masa paling berkualiti bersama anak-anak walaupun sekejap. Gunakan peluang yang ada sekarang. Jangan menyesal kerana tidak meluangkan masa berharga dengan anak-anak apabila mereka sudah meningkat dewasa.
Tuntasnya, elakkan diri daripada menjadi ibu bapa yang walaupun ada, namun diibaratkan seperti tiada.
Ingatlah bahawa persepsi individu terhadap “anak rezeki” dan “anak beban” boleh berbeza-beza dan dipengaruhi oleh nilai budaya, agama dan perspektif peribadi mereka.
Pemahaman tentang kedua-dua istilah ini juga boleh berubah dari semasa ke semasa berdasarkan pengalaman hidup dan prinsip yang dipegang oleh seseorang atau masyarakat.
Cabaran dan keberkatan
Kesimpulannya, setiap anak membawa cabaran dan keberkatan tersendiri. Meskipun membesarkan anak memerlukan pengorbanan, kehadiran mereka memberikan makna yang mendalam dalam kehidupan.
Disebabkan hal tersebut, perlu adanya keseimbangan adunan antara tanggungjawab sebagai ibu bapa dan kebahagiaan bersama anak-anak.
Selain itu, penting untuk mengembangkan kefahaman bahwa setiap anak memiliki potensi dan sokongan yang unik dalam membentuk keluarga dan masyarakat.
Dengan memperlakukan anak sebagai anugerah dan kesempatan untuk hidup dan maju bersama, keluarga akan dapat mengatasi setiap cabaran dan menikmati kebahagiaan yang dibawa oleh kehadiran anak-anak.
Adleen Nuha Abdull Aziz
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)