Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) prihatin dan mengikuti dengan dekat perkembangan semasa ekonomi negara.
Kenaikan kos sara hidup, isu sekuriti makanan dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) telah menimbulkan kerisauan dan memberi tekanan kepada rakyat di negara ini, ketika hutang isi rumah berada pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 89 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), setakat Disember tahun lepas.
IKRAM mengambil maklum peri pentingnya kerajaan mempunyai sumber hasil yang mampan dan mampu menguruskan hutang kerajaan dengan baik dan penuh integriti.
Sedia maklum, situasi hutang kerajaan diburukkan lagi apabila negara terpaksa menanggung hutang akibat daripada salah laku dan ketirisan, seperti yang berlaku melalui skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tidak dinafikan cabaran-cabaran ekonomi semasa mempunyai kaitan dengan realiti yang sedang dihadapi di dalam ataupun di luar negara, umpamanya Perang Rusia-Ukraine yang berlarutan dan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dunia.
Isu-isu yang dihadapi adalah petunjuk kepada kelemahan sistem ekonomi negara sedia ada.
Oleh itu, IKRAM menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan sistem ekonomi yang berasaskan sedekah yang menyeluruh (sistemik) dan tersusun (sistematik) yang mampu mencapai kemakmuran ekonomi yang mampan dan berdaya tahan pada masa hadapan.
Kemajuan sains, teknologi dan inovasi hendaklah dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara.
Dalam masa terdekat, IKRAM menggesa agar kerajaan lebih prihatin terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat Malaysia dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:
1. Semua bentuk bantuan atau insentif untuk membantu rakyat hendaklah dipastikan sampai kepada kumpulan sasaran dan tidak tiris. Untuk mencapai tujuan ini, kecekapan dalam sistem penyampaian hendaklah ditingkatkan.
2. Meningkatkan kawal selia dalam pengurusan kewangan negara untuk memastikan tiada ketirisan dan rasuah.
3. Sidang Parlimen yang bakal berlangsung hendaklah membincangkan dengan teliti isu-isu ekonomi dari semua sudut.
Cadangan-cadangan ini selari dengan hasrat IKRAM untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Rahmah dengan 12 ciri yang telah digariskan, terutamanya ciri ke-8, ekonomi yang mampan, ciri ke-9 agihan kekayaan yang saksama serta ciri ke-10 pembangunan yang lestari.
IKRAM menggesa agar pucuk pimpinan negara memperbaiki integriti, kecekapan dan profesionalisme kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara ketika rakyat digesa untuk berhemah dalam menguruskan kewangan mereka.
Mohammad Abdul Hamid
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia