Bunuh Diri Di Malaysia: Bagaimana Majikan Berperanan

Bunuh Diri Di Malaysia: Bagaimana Majikan Berperanan | IKRAM

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020.

Manakala dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, sebanyak 467 kes bunuh diri telah dilaporkan.

Kes bunuh diri diuruskan oleh dua pakar iaitu doktor psikiatri dan ahli psikologi klinikal kerana ia melibatkan penyakit mental.

Manakala pakar seperti kaunselor, ahli psikologi kaunseling dan pekerja sosial memberi sokongan tambahan atau menjadi barisan hadapan ketika cetusan awal penyakit mental yang boleh membawa kepada bunuh diri.

Pakar-pakar di atas banyak menyumbang dalam mencegah, mengurus dan merawat kes bunuh diri di Malaysia.

Walau bagaimanapun, kebanyakan intervensi mereka adalah di peringkat mikro walaupun ada juga yang menyumbang di peringkat makro. Peringkat makro yang dimaksudkan di sini adalah peringkat organisasi. 

Terdapat ahli psikologi yang tugasnya bukan untuk mendiagnosis atau merawat kes-kes penyakit mental, tetapi sangat terlatih dalam memahami dan menyelesaikan masalah di peringkat pekerja, pasukan dan organisasi. Mereka dikenali sebagai ahli psikologi industri dan organisasi.

Menggalakkan Aktiviti Kesyukuran (Gratitude) di Tempat Kerja

Hidup ini penuh dengan nikmat dan penuh dengan ujian. Antara latihan yang diperlukan oleh kanak-kanak sebelum mereka menjejak umur baligh/dewasa ialah emosi kebergantungan kepada Allah SWT.

Nikmat dan ujian ini akan sentiasa kita lalui sepanjang kehidupan dan memerlukan latihan berterusan.

Ia tidak semudah menuturkan kata-kata motivasi dan inspirasi yang tidak tulen, memaksa-maksa pemikiran positif yang toksik atau sekadar memberi nasihat dan tazkirah yang berorientasikan akal dan kognitif, tanpa menyentuh hati dan emosi.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) daripada Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.” [An-Nahl 16: 53]

Dalam konteks majikan dan organisasi, mereka boleh membudayakan aktiviti syukur dan gratitude untuk melatih pekerja agar mampu meningkatkan kualiti kesihatan mental supaya impak negatif ketika ditimpa musibah seperti pandemik dapat dikurangkan.

Ini termasuk mencegah pemikiran bunuh diri, mengurus apabila ada risiko tercetusnya pemikiran bunuh diri dan memudahkan rawatan apabila sudah ada pemikiran bunuh diri.  

Menggalakkan Aktiviti Kebingkasan di Tempat Kerja

Walaupun manusia itu diuji dengan emosi kepayahan dan kesengsaraan, manusia juga diberi kapasiti sebagai makhluk yang terbaik untuk mencegah, mengurus dan merawatnya. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: 

“Sungguh, Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” [Al-Balad 90:4]

“Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [At-Tin 95:4] 

Majikan dan organisasi boleh membudayakan aktiviti kebingkasan, keliutan atau resiliens untuk melatih pekerja untuk mampu bangkit semula daripada tekanan emosi ketika ditimpa musibah termasuklah pada musim pandemik.

Aktiviti kebingkasan ini penting untuk mencegah pemikiran bunuh diri, mengurus apabila ada risiko tercetusnya pemikiran bunuh diri dan memudahkan rawatan apabila sudah ada pemikiran bunuh diri. dalam kalangan pekerja. 

Semua Emosi – Positif atau Negatif- Adalah Fitrah Manusia

Allah SWT mencipta emosi khuatir sebagai satu fitrah untuk kita berusaha bersungguh-sungguh dan kemudian bangkit semula menumpukan aduan emosi kebergantungan kepada Allah SWT yang tidak akan bersikap judgemental terhadap kita.

Ketika krisis Perang Badar, Nabi Muhammad SAW berdoa, “Ya Allah Azzawajalla, penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah Azzawajalla, berikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Azzawajalla, jika Engkau membinasakan pasukan Islam ini, maka tidak ada yang akan beribadah kepada-Mu di muka bumi ini.” [HR Muslim 3/1384, No. 1763]

Allah SWT juga mencipta emosi sedih sebagai satu fitrah untuk kita belajar bersyukur kerana mampu mengalami emosi kerinduan akibat kehilangan dan bangkit semula mengambil pengajaran dan menumpukan emosi keredaan kepada Allah SWT yang berkuasa mewujudkan faktor-faktor untuk kita mengurus rasa kesedihan tersebut.

Nabi Muhammad SAW juga tatkala wafat anak lelaki baginda berasa tersengat sedih sehingga diriwayatkan baginda bersabda:

“Mata mengalirkan airnya, hati begitu sedih dan kami tidak kata kecuali apa yang diredai oleh Tuhan. Dan sesungguhnya kami atas perpisahanmu hai Ibrahim, begitu sedih.” [Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram 3/60-62]

Majikan Urus Emosi

Menjadi suatu yang normal untuk kadang-kadang seorang pekerja itu berasa bimbang atau sedih di tempat kerja ataupun ketika bekerja dari rumah.

Majikan dan organisasi perlu wujudkan suasana “It’s okay not to be okay” kerana semua kita adalah manusia. Memaksa melihat semua perkara secara positif dengan cara menafikan emosi negatif boleh melahirkan persekitaran positiviti yang toksik di tempat kerja.

Paksaan sebegini boleh menjejaskan kesejahteraan mental lebih ramai pekerja, berisiko mencetuskan penyakit mental dan jika tidak dicegah, diurus dan dirawat, ia berisiko juga untuk mewujudkan pemikiran bunuh diri dalam kalangan pekerja.

Semua pekerja (termasuk majikan sendiri) pasti mengalami isu naik turun kualiti kesihatan mental.

Jadilah majikan dan organisasi yang sentiasa memenuhi keperluan fizikal, mental, emosi dan spiritual pekerja-pekerjanya, dan tidak menganiayai pekerjanya secara fizikal, mental, emosi dan spiritual. 

Kita memerlukan tempat kerja dan organisasi dengan budaya yang mesra kesihatan mental dengan sistem sokongan rasmi dan tidak rasmi yang jelas.

Ada sesetengah pekerja yang mengalami penyakit mental tapi masih boleh menjadi pekerja yang berprestasi tinggi.

Jadilah majikan dan organisasi yang memenuhi keperluan pekerja yang mengalami penyakit mental supaya mereka boleh terus menyumbang kepada produktiviti organisasi dan organisasi pula menjadi contoh tempat kerja yang mesra kelainan upaya mental. 

Semoga kita dapat merenungi dan menghayati sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Daripada Abdullah bin Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” [HR Bukhari, No.2442, 6901, dan Muslim, No.2580]

Berikut adalah pautan untuk rujukan mewujudkan tempat kerja yang mesra kesihatan mental: Creating a Mental-Health-Friendly Workplace.

Dr Alizi Alias
Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
Profesional, Saintifik dan Islamik

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia