IKRAM sambut Bulan OKU sepanjang Disember

SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menganjurkan Sambutan Bulan Orang Kurang Upaya (OKU) sepanjang bulan Disember ini.

 

Ketua Pasukan Petugas Masyarakat Progresif IKRAM, Hj Ainullotfi Abdul Latif berkata, sambutan ini merupakan anjuran bersama Yayasan IKRAM Malaysia yang disokong sepenuhnya oleh Majlis Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM).

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Sambutan Bulan OKU yang disiarkan secara langsung dalam talian pada Jumaat, 3 Disember, bertepatan dengan tarikh sambutan Hari OKU Antarabangsa.

 

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif terlibat dalam isu-isu kemasyarakatan dan sentiasa peka serta prihatin terhadap apa yang dirasai oleh golongan rentan dalam masyarakat kita, IKRAM akan terus bersama mengangkat isu OKU ini melalui kerja-kerja advokasi, pendidikan masyarakat dan bantuan langsung untuk mereka,” tambahnya.

 

Menurut Ainullotfi, penganjuran Sambutan Bulan OKU sepanjang bulan Disember, termasuk Konvensyen Anjakan Paradigma 2021 pada 11 Disember ini, merupakan satu inisiatif IKRAM untuk tujuan tersebut.

 

“IKRAM meletakkan seluruh bulan Disember sebagai masa untuk Sambutan Bulan OKU di seluruh negara dan mengaturkan beberapa program baginya.”

 

Beliau berharap dengan adanya program sebegini, masyarakat akan lebih peka dan celik mengenai isu-isu OKU di seluruh pelusuk negara, dan bersama-sama meletakkan OKU sebagai warganegara yang akan turut menyumbang kepada masyarakat dan negara, selain diberikan bantuan yang sewajarnya.

 

Kata Ainullotfi, kesedaran masyarakat terhadap pelbagai jenis ketidakupayaan ini amat penting, terutamanya mereka yang terkesan dengannya, kerana ini membolehkan ketidakupayaan ini difahami dan ditangani dengan sebaiknya dan tidak dikesampingkan, atau OKU itu sendiri ditanggapi dengan pandangan yang salah.

 

“Masyarakat perlu dididik untuk melihat isu ini secara menyeluruh, merangkumi hak mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat, memberikan mereka kesamarataan dalam peluang dan aspirasi, memudahkan mereka dalam aksesibiliti baik secara fizikal mahupun secara maknawi, agar mereka boleh hidup secara normal seperti orang lain dan dapat mandiri.”

 

Untuk itu, ujar beliau, IKRAM merasakan isu OKU ini bukan hanya perlu dilihat sebagai tanggungjawab Jabatan Pembangunan OKU di dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi merentas bidang dan kementerian.

 

“Penyelarasan yang efektif bagi mengangkat isu OKU ini amat perlu dalam semua aspek kehidupan mereka, terutamanya merangkumi aspek-aspek Kesihatan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sumber Tenaga Manusia, Kerajaan Tempatan dan lain-lain lagi.”

 

Tambah Ainullotfi, kedudukan OKU di Malaysia juga boleh diangkat lebih tinggi lagi.

 

“Walaupun kita telah ada Akta Orang Kurang Upaya 2008, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022, masih terdapat banyak hambatan di dalam memberikan OKU hak dan kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.”

 

Jelasnya, penguatkuasaan peruntukan-peruntukan yang telah digariskan perlu dijalankan dengan lebih bersungguh-sungguh.

 

“Untuk tujuan yang sama juga, sementelahan kini Parlimen sedang membahaskan Bajet Negara 2022, IKRAM menyeru agar pihak Kerajaan melibatgandakan lagi peruntukan bagi isu OKU, bukan hanya dalam konteks bantuan kebajikan secara langsung, tetapi lebih penting untuk membantu memperkasakan mereka untuk menjalani kehidupan secara normal dengan sebaiknya.”

 

Menurutnya, ini termasuk peruntukan pembangunan bagi menambah baik infrastruktur membantu kebolehcapaian OKU di seluruh negara, program-program latihan dan peningkatan diri termasuk dalam bidang ekonomi dan pendidikan, bantuan alat keperluan OKU, serta sistem sokongan yang lebih efisien dan efektif dalam jentera pentadbiran.

 

“Selain daripada itu, mereka yang membantu OKU, seperti penjaga atau caregivers, sukarelawan dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat secara langsung dengan mereka hendaklah turut disokong dalam Bajet ini, kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak telah meringankan beban pihak Jabatan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.”

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia