Bukti Kewujudan Tuhan: Menyanggah Hujah Ateis

Bukti Kewujudan Tuhan: Menyanggah Hujah Ateis | IKRAM

Persoalan mengenai kewujudan Tuhan melingkari kehidupan manusia sejak zaman-berzaman. 

Walaupun ia bukanlah persoalan utama bagi kebanyakan manusia memandangkan lebih ramai yang beragama berbanding yang tidak beragama, namun statistik mutakhir ini menunjukkan bilangan mereka yang sudah tidak mengakui adanya Tuhan semakin meningkat di seluruh dunia.

Kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center pada 2015 menunjukkan kumpulan yang tidak menganut apa-apa agama mencapai 16 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia, kedudukan ketiga dalam senarai agama paling besar di dunia selepas Kristian (31.2 peratus) dan Islam (24.1 peratus).

Ateis Dan Kewujudan Tuhan

Bagi seorang Muslim, kewujudan Tuhan tidak menjadi isu kerana keimanan kepada Allah, Tuhan sekalian alam merupakan rukun pertama dalam Rukun Iman.

Walaupun manusia tidak dapat melihat Tuhan dengan pancaindera, namun Muslim meyakini kewujudan Tuhan melalui ayat-ayat al-Quran yang diturunkan-Nya, juga melalui pengamatan kepada kejadian alam dan manusia.

Wahyu dan akal fikiran kurniaan Tuhan digunakan secara seiringan dalam menghayati keagungan dan kekuasaan-Nya, seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya. 

Firman Allah dalam al-Quran (yang bermaksud):

“Dan Dialah yang mencipta dan meramaikan kamu di bumi dan kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang mengatur pergantian malam dan siang, tidakkah kamu berfikir tentangnya?” (Al-Mu’minuun 23 : 79-80) 

“Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.”

“Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.” (Al-Jaathiyah 45 : 4-5)

Namun kita menyedari bahawa masih ramai insan di dunia ini yang tidak mengakui atau meragui kewujudan Tuhan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak beragama.

Bagi golongan ateis, hujah mereka mudah, “Aku tidak nampak Tuhan, jadi bagi aku Tuhan itu tiada..”, atau “Alam ini terjadi dengan sendirinya..”

Mungkin juga persoalan-persoalan mencabar seperti, “Jika Tuhan mencipta sesuatu, siapa yang mencipta Tuhan?” atau “Jika Tuhan itu ada, kenapa Tuhan biarkan manusia dalam kesusahan dan ditimpa bencana?” yang membelenggu golongan agnostik, membuatkan mereka meragui kewujudan Sang Pencipta dan langsung memilih untuk tidak beragama.

Malah mungkin juga dia seorang yang beragama, namun masih tidak menemui jawapan yang memuaskan melalui agamanya mengenai persoalan asas manusia, “Bagaimana aku boleh berada di sini? Siapa yang menciptakan aku?”

Kisah Rasul Terdahulu

Melalui sirah, kita mengetahui bahawa ada nabi dan rasul terdahulu yang turut berhadapan dengan manusia yang menolak kewujudan Tuhan, malah mengaku menjadi Tuhan.

Nabi Ibrahim a.s. misalnya, berhadapan dengan Raja Namrud pemerintah Babylon yang menganggap dirinya Tuhan. Nabi Ibrahim berdialog dengan Namrud dan mengajaknya berfikir tentang kewujudan Tuhan. Dialog ini terkandung dalam al-Quran melalui ayat berikut (yang bermaksud):

“Tidakkah kamu memperhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya kerana Allah telah memberinya kerajaan (kekuasaan). Ketika Ibrahim berkata, ‘Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.’ Dia berkata, ‘Aku pun dapat menghidupkan dan mematikan.’ Ibrahim berkata, ‘Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat.’ Maka bingunglah orang yang kafir itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.” (Al-Baqarah 2 : 258)

Begitu juga dengan Nabi Musa a.s. yang berhadapan dengan Firaun, raja Mesir yang mengaku dirinya adalah Tuhan. Nabi Musa a.s. menunjukkan mukjizatnya berupa tongkat baginda yang boleh bertukar menjadi ular yang besar dan menelan ular-ular kecil kepunyaan ahli-ahli sihir Firaun.

Mukjizat ini telah menyedarkan ahli-ahli sihir tersebut akan kewujudan Tuhan dan membawa mereka kepada iman. Malah Firaun sendiri sebelum ditenggelamkan di dalam Laut Merah, beliau sempat mengakui akan kewujudan Tuhan. Namun sudah terlambat untuk beliau bertaubat dan beliau bersama bala tenteranya mati dalam kehinaan. 

“Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah ia (pada saat yang genting itu): ‘Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah daripada orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)’.

(Allah berfirman): ‘Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi daripada orang-orang yang melakukan kerosakan?’” (Yunus 10 : 90-91)

Hujah Analogi Akal

Kewujudan Tuhan boleh dibuktikan jika akal digunakan dengan sebaiknya. Jika direnung pada kejadian bahagian-bahagian di dalam alam semesta yang saling berkait secara harmoni dan serasi, juga sistem tubuh badan manusia yang begitu unik, kompleks dan teratur, adalah tidak munasabah untuk mengatakan segala ciptaan ini wujud dengan sendirinya.

Akal yang waras akan mengatakan bahawa setiap ciptaan pasti ada penciptanya. Analoginya, jika anda mempunyai telefon bimbit, pasti anda meyakini bahawa telefon bimbit itu ada syarikat yang mengeluarkannya, sama ada Samsung, Lenovo, Nokia atau Apple (sekadar menyebut beberapa nama). Tidak mungkin telefon bimbit yang begitu canggih teknologinya boleh tercipta dengan sendirinya.

Berhubung dengan perkara ini, Allah menempelak mereka yang tidak mempercayai kewujudan-Nya melalui ayat-ayat berikut dalam al-Quran (yang bermaksud):

“Atau apakah mereka tercipta tanpa asal-usul atau apakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Atau apakah mereka yang telah menciptakan langit dan bumi? Sebenarnya mereka tidak yakin dengan apa yang mereka katakan.” (At-Tuur 52 : 35-36)

Analogi lain yang boleh difikirkan, jika seseorang melihat adanya kesan tapak kaki di pepasir di pantai, dia pasti meyakini bahawa kesan tapak kaki itu ditinggalkan oleh manusia yang melalui pantai tersebut tidak lama sebelum itu, walaupun dia tidak melihat kejadian tersebut berlaku. 

Dia pasti tidak percaya jika dikatakan kesan tapak kaki tersebut secara kebetulan terbentuk akibat ombak dari laut yang mendesir pantai dari masa ke masa. Realitinya, dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar, namun kita percaya kewujudannya kerana kita dapat merasai kesan yang ditinggalkannya. 

Begitulah juga jika kita berhadapan dengan pendapat yang mengatakan, “Aku tidak nampak Tuhan, jadi bagi aku Tuhan itu tiada..” Kita boleh katakan kepadanya, “Dalam dunia ini banyak perkara yang kita tidak nampak, tapi kita yakin ia ada..”

Berikan analogi yang sesuai dengan suasana semasa bagi membuktikan kenyataan kita, misalnya arus elektrik. Kita tidak nampak arus elektrik dengan mata kasar, namun kita yakin ia wujud disebabkan berfungsinya alat-alat elektrik di sekeliling kita seperti kipas, lampu, peti sejuk, televisyen, cerek elektrik, komputer dan sebagainya.  

Ajakan kepada manusia untuk berfikir mengenai analogi yang mudah difahami adalah satu pendekatan dakwah yang baik. Imam Abu Hanifah pernah ditanya oleh sekumpulan manusia mengenai bukti kewujudan Tuhan.

Beliau menjawab, “Aku sedang berfikir mengenai sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia berlayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya.”

Mereka yang mendengar perkataan Imam Abu Hanifah ini terus berkata, “Ini adalah suatu kisah gila yang tidak masuk akal.”

Imam Abu Hanifah menjawab, “Kamu menganggap orang yang mengatakan kapal dapat berlayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa pencipta dan pengurus?” Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu tergamam dan akhirnya memeluk Islam.

Pendekatan yang sama digunakan oleh Imam Malik yang pernah ditanya oleh Khalifah Harun ar-Rasyid mengenai bukti kewujudan Tuhan. Beliau menjelaskan, “Buktinya, setiap manusia dikurniakan mulut dan lidah yang lebih kurang sama, tetapi bahasa, suara dan intonasi setiap seorang daripada mereka berbeza.”

Imam Syafii pula apabila ditanya mengenai bukti kewujudan Tuhan, beliau menjawab, “Lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?” 

Bukti Fenomena Alam

Ilmu berkaitan sains semasa juga boleh dimanfaatkan untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Banyak fenomena alam semesta yang mana bila dikaji secara terperinci, boleh menafikan pendapat yang mengatakan alam ini wujud dengan sendirinya.

Malah seorang saintis Barat iaitu Andrei Linde dalam artikelnya, The Self-Reproducing Inflationary Universe (Scientific American, vol. 271, 1994) telah mengatakan, “Teori Big Bang menetapkan kesemua bahagian alam semesta mengembang secara serentak (selepas ledakan). Namun, bagaimana bahagian-bahagian alam yang berbeza ini mengembang secara seimbang (synchronize) pada peringkat awal ini? Siapakah yang memberikan arahan itu?” 

Stephen Hawking juga pernah menulis di dalam bukunya, A Brief History of Time seperti berikut, “Sekiranya laju pengembangan satu detik selepas ‘dentuman besar’ itu lebih kecil, bahkan daripada satu bahagian per seratus ribu juta, alam semesta ini akan hancur sebelum ia mencapai ukuran sekarang.”

Sememangnya kejadian awal alam semesta berlaku melalui satu perancangan yang begitu teliti. Andai kata ia berlaku secara kebetulan, bagaimana mungkin dentuman yang dahsyat itu boleh menghasilkan susunan objek-objek alam yang begitu tepat dan luar biasa?

Misalnya perjalanan matahari dan bulan yang begitu teratur dan harmonis dan tidak pernah terbabas dari garis edarnya. Hasilnya boleh dilihat melalui fenomena pertukaran malam dan siang yang sentiasa menepati waktunya. 

Mari kita terus berfikir mengenai kejadian bumi. Kedudukan bumi terletak kira-kira 150 juta kilometer dari matahari. Kalaulah jarak bumi dari matahari kurang daripada jarak sekarang, sudah pasti suhu bumi meningkat dan tidak akan ada benda hidup yang boleh wujud (sebagaimana planet Utarid dan Zuhrah yang lebih dekat dengan matahari).

Kalaulah jarak bumi dari matahari lebih jauh daripada jarak sekarang pula, pasti suhu bumi akan menjadi terlalu sejuk dan tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup dalam keadaan tersebut (seperti planet Marikh yang mempunyai jarak 228 juta kilometer dari matahari).

Maka persoalannya, siapakah yang menentukan kedudukan bumi ini yang begitu tepat sehingga boleh ada makhluk bernama manusia yang dapat hidup di atasnya dengan selesa? 

Tidak mungkin bumi boleh menentukan kedudukannya sendiri tanpa ada arahan daripada sesiapa. Pemberi arahan itu adalah Allah, Tuhan yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui segala ciptaan-Nya, juga Tuhan yang mentadbir perjalanan alam semesta. 

Firman Allah dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Apakah kamu tidak melihat bahawa Allah mempermudah untuk kamu apa yang ada di bumi. Bahtera yang berlayar di lautan berlayar dengan izin-Nya. Dan Dia menahan (objek-objek) langit daripada jatuh ke bumi. Semuanya berlaku dengan izin-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Penyayang kepada manusia.” (Al-Hajj 22 : 65)

Bukti Kejadian Manusia

Mari kita berfikir tentang kejadian manusia pula. Bermula dengan satu sel yang terlalu kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, sel ini kemudiannya berkembang menjadi dua, empat, lapan, enam belas, tiga puluh dua dan begitulah seterusnya.

Kemudian sel-sel ini berubah menjadi otot, tulang, otak, mulut, mata, telinga, jari dan sebagainya, dan kemudian membentuk satu tubuh badan manusia yang sempurna.

Ajaibnya, bagaimana sel-sel itu boleh tahu cara untuk menjadi setiap satu daripada anggota tubuh badan manusia, malah berada pada kedudukan dan susunan yang tepat? Siapakah yang memberi arahan kepada sel-sel yang membentuk hidung manusia dengan kedudukan kedua-dua lubang hidung menghala ke bawah dan tidak ke atas?

Apa pula akan terjadi kalau lubang hidung manusia menghala ke atas? Adakah semua ini terjadi secara kebetulan dan tidak dirancang? Sudah tentu tidak.

Terbukti ada satu kuasa besar yang mencipta dan memberikan arahan supaya sel-sel ini membentuk tubuh badan manusia dengan begitu cantik sekali. Dialah Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. 

Firman Allah dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Sesungguhnya Kami menciptakan insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (At-Tiin 95 : 4)

Ateis Menemui Hidayah

Banyak lagi penemuan-penemuan lain berkaitan sains semasa yang boleh kita ketengahkan untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Malah bukti-bukti ini telah menerbitkan keyakinan di dalam diri ramai manusia yang tidak beragama untuk menerima kewujudan Tuhan, malah turut menjadi asbab kepada sebahagian mereka untuk memeluk agama Islam.

Lebih menarik, fenomena ini turut berlaku di negara-negara Barat yang mempunyai ramai penganut ateis, malah melibatkan tokoh-tokoh besar yang menjadi pakar rujuk dalam pelbagai bidang. 

Antara kisah ateis yang terkenal ialah Dr. Antony Flew, seorang pakar dalam bidang ilmu falsafah, juga merupakan pakar rujuk ateisme yang berasal dari Britain. Beliau memperjuangkan falsafah ateisme selama 50 tahun dan telah menghasilkan lebih 30 buku mengenai ateisme.

Namun pada tahun 2004 (ketika berusia 81 tahun), Dr. Antony Flew mengisytiharkan keyakinan beliau akan kewujudan Tuhan. Perubahan keyakinan beliau adalah disebabkan kajian beliau yang mendalam tentang kejadian DNA yang merupakan sebahagian daripada ilmu sains moden.

Pada tahun 2007, beliau bersama Roy Abraham Varghese menulis sebuah buku bertajuk “There is a God: How the World’s Most Notorious Atheist Changed His Mind.

Dr. Jeffrey Lang, profesor dalam bidang Matematik di Universiti Kansas, Amerika Syarikat pula adalah seorang individu ateis yang kini merupakan penganut Islam.

Beliau lahir dalam keluarga Kristian Roman Katolik, namun kemudiannya menjadi ateis kerana mendapati banyak kontradiksi dan kecelaruan dalam agama lamanya. Beliau akhirnya memilih untuk memeluk Islam setelah membuat kajian terhadap isi-isi al-Quran yang sarat dengan ilmu sains moden.

Seorang lagi tokoh ateis yang memeluk Islam ialah Profesor Periyadarshan dari India. Selain merupakan pakar psikoterapi, beliau juga adalah pakar rujuk ateisme di negara asalnya.

Beliau akhirnya mendapat hidayah untuk bersama dalam agama Islam setelah membuat kajian terhadap kitab al-Quran. Beliau meyakini bahawa kitab tersebut adalah autentik dan datang secara langsung daripada Tuhan. Kisah beliau diceritakan dalam akhbar arabnews.com pada 12 Mac 2010 di bawah tajuk “Indian Atheist Embraces Islam.”

Sesungguhnya tanda-tanda kewujudan Tuhan ada di mana-mana. Ia boleh diperoleh melalui al-Quran, juga terbentang luas pada seluruh alam ciptaan-Nya. Tanda-tanda itu juga ada pada diri manusia itu sendiri, sebagaimana kata-kata Allah dalam al-Quran (yang bermaksud):

“Kami memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat (tanda-tanda) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka, ia adalah benar.” (Fussilat 41 : 53)

Wan Muhammad Wan Ibrahim adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Daie dan Sukarelawan, Hidayah Centre Foundation dan Ketua Jawatankuasa Dakwah IKRAM Negeri Selangor.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia